RENCANA UTAMA

Resipi khusus pesakit dialisis

Resipi khusus pesakit dialisis

BUKU resipi ini mendidik pesakit dialisis cara-cara penyediaan makanan.


MENJALANI hidup sebagai pesakit buah pinggang memerlukan keperluan asas sama seperti mereka yang sihat. Antaranya, termasuklah makan, minum, melakukan aktiviti dan sebagainya meskipun dengan pendekatan yang berbeza.

Menyedari kekangan sebagai pengamal perubatan dan jururawat ekoran pertambahan bilangan pesakit saban tahun, mereka tampil dengan buku panduan pengambilan nutrien.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Ghazali Ahmad memberitahu, pihaknya sedar kebanyakan masalah dihadapi pesakit yang menjalani rawatan dialisis adalah berkaitan dengan pengurusan pengambilan makanan dan minuman.

"Pemakanan boleh memberi impak sama ada secara langsung dan tidak kepada keupayaan pesakit. Pemakanan yang tidak betul boleh menyumbang kepada kematian secara tiba-tiba," jelas beliau ketika ditemui pada majlis pelancaran Buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 di Akademi Perubatan Malaysia, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kualiti hidup pesakit boleh terjejas akibat komplikasi pemakanan.

Pesakit yang menjalani dialisis jelas Ghazali, perlu mengawal pengambilan makanan dan minuman.

"Pengambilan garam yang berlebihan menyebabkan kawalan tekanan darah terganggu. Buah dan sayur pula menyebabkan paras potasium meningkat, jika tidak, pesakit berkemungkinan berdepan dengan masalah sembelit," ujarnya bahawa pesakit dialisis berdepan dengan diet yang sangat ketat.

Prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh majoriti pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, sekumpulan pegawai-pegawai di HKL dari Jabatan Dietetik dibantu oleh pakar-pakar nefrologi tampil dengan buku resipi khusus buat pesakit dialisis iaitu Resipi Pesakit Dialisis 2013 yang diterbitkan dengan sokongan sebuah syarikat global berasaskan penyelidikan biofarmaseutikal, Abbvie Sdn. Bhd.

Ghazali memberitahu, resipi-resipi dalam buku tersebut telah diuji oleh pesakit, pakar pemakanan dan dirinya sendiri.

Dialih bahasa

"Ini buku resipi pertama yang dibuat khas untuk pesakit dialisis di Malaysia. Sebelum ini pesakit merujuk kepada pakar pemakanan di klinik dan hospital mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dimakan tanpa memberikan panduan penyediaan," katanya sambil memberitahu, buku tersebut sedikit sebanyak membantu pesakit dialisis mengenai cara-cara penyediaan makanan yang sewajarnya.

Buku resipi yang dicetak sebanyak 1,000 naskhah itu boleh didapati di klinik nefrologi di HKL. Bagi memudahkan orang ramai mendapat akses kepada buku tersebut ia boleh didapati untuk dimuat turun di www.hkl.gov.my.

Buku tersebut diterbitkan dalam bahasa Melayu dan akan dialih bahasa ke dalam bahasa Inggeris, Cina dan Tamil bagi versi secara talian.

Setiap resipi yang terdapat dalam buku ini disediakan mengikut keperluan pesakit buah pinggang dengan mengambil kira nilai kalori, protein, potasium, lemak, sodium, karbohidrat dan fosfat.

IKAN berkuah asam pedas merupakan salah satu resipi di dalam buku Resipi Pesakit Dialisis 2013.


Dalam pada itu, Pengurus Besar Rantau Abbvie Asia Selatan, Muru Annamalai bangga menjadi sebahagian daripada usaha tersebut.

"Mengubah dan memperbaiki kehidupan pesakit-pesakit dialisis adalah fokus utama AbbVie Malaysia.

"Pengurusan pemakanan penting dalam mengekalkan status kesihatan sekali gus dapat mencegah atau merawat komplikasi," katanya ketika ditemui pada majlis yang sama.

Tambah beliau, pihaknya komited untuk membantu pesakit-pesakit dialisis di negara ini dengan memberikan mereka kuasa untuk menjadikan hari-hari yang dilalui lebih baik daripada sebelumnya.

"Walaupun terpaksa melalui rejim diet yang ketat, kami mahu melihat pesakit tersenyum dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," ujarnya.

Perbezaan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 berbanding buku resipi lain ialah resipi yang dipilih merupakan resipi biasa.

"Resipi-resipi yang dibukukan ini adalah resipi biasa yang dimasak setiap hari tetapi telah dianalisis kandungan protein, sodium (garam), potasium, fosfat dan cecair dalam resipi tersebut.

"Kita lampirkan juga resipi masakan bergoreng kerana ramai orang kata bahawa orang sakit tidak boleh makan makanan bergoreng," jelas Pakar Pemakanan HKL, Datin Nor Sharita Mohd. Saad. sambil menasihatkan pesakit supaya tidak mengambil masakan bergoreng setiap hari.

Dalam buku tersebut juga dinyatakan kandungan potasium dan fosfat dalam setiap makanan yang diambil.

Antara resipi yang terkandung dalam buku tersebut ialah ikan berkuah asam pedas, ikan bawal tiga rasa, ikan tenggiri masak kari, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, nasi kerabu ikan, popia goreng bersos, agar-agar mangga dan smoothie strawberi.

Buku resipi yang dicetak sebanyak 1,000 naskhah boleh didapati di klinik nefrologi di HKL. - NURUL IZZA ROSLY

Process time in ms: 47