RENCANA UTAMA

Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelip

Lampu malap alat Hafiz untuk panggil kelip-kelip



SUASANA malam di Sungai Cherating, Pahang bergemerlapan dengan cahaya bintang yang memenuhi segenap ruang langit. Peluang seperti itu jarang sekali dapat dilihat di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

Biarpun namanya jarang didengar, sungai tersebut lebih popular dalam kalangan pelancong asing terutamanya dari Eropah.

Terdapat tarikan istimewa di sungai yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) di utara bandar Kuantan dan 16 km dari bandar berdekatan, Chukai, Terengganu.

Sungai Cherating ialah sebatang sungai paya bakau yang masih terpelihara struktur semula jadinya daripada pembangunan komersial. Keadaan sungai yang juga bersih tanpa pencemaran menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Setenang suasana yang dirasakan pada siang hari di Sungai Cherating, begitu juga pemandangan indah yang dapat dinikmati pada sebelah malam. Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menyertai lawatan melihat kelip-kelip di sungai tersebut.

Sangkaan awal merasakan lawatan tersebut pasti tidak banyak bezanya dengan pengalaman menyaksikan kelip-kelip di beberapa lokasi lain yang pernah dikunjungi sebelum ini.

Namun, segalanya berubah tatkala melihat sekawan kelip-kelip berterbangan ke arah bot yang kami naiki sebaik pemandu pelancong menghantar isyarat cahaya kepada kelip-kelip itu.

Terpegun

Tiada kata-kata dapat menggambarkan pengalaman menakjubkan yang disaksikan bersama tiga buah bot pelancong lain. Ia ibarat melihat bintang di langit terbang menghampiri pengunjung di situ.

Begitulah kebolehan yang dimiliki oleh seorang pemandu pelancong, Mohd. Hafiz Abdul Majid, 43. Mohd. Hafiz yang lebih mesra dengan panggilan Hafiz berasal dari Myanmar. Lelaki yang mendapat pendidikan daripada Universiti Yangon, Myanmar berhijrah ke Malaysia sejak 21 tahun lalu.

Bapa kepada tiga anak itu mempunyai kepakaran berkomunikasi dengan kelip-kelip menggunakan empat jenis lampu bercahaya malap yang berbeza-beza. Dengan lapan corak gerakan berlainan, dia menghantar frekuensi cahaya kepada kelip-kelip supaya datang ke arahnya.

Komunikasi magis antara Hafiz dengan serangga tersebut membuatkan para pengunjung terpegun dan begitu teruja.

PELANCONG diwajibkan menyarung jaket keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


"Saya pernah mencuba teknik yang sama terhadap kelip-kelip di tempat lain namun tidak berjaya kerana setiap spesies mempunyai 'bahasa' berbeza. Macam manusia juga," katanya sambil tersenyum.

Kebolehan graduan sarjana muda Sejarah itu pernah disiarkan dalam majalah pelancongan luar negara seperti Lonely Planet.

"Pada tahun 2008, secara tidak sengaja saya berjaya menarik kelip-kelip menuju ke arah bot ketika membawa pelancong melihat kelip-kelip pada waktu malam.

"Sejak itu, minat untuk mengkaji kelip-kelip kian membara dan saya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti Simposium Kelip-kelip Antarabangsa 2010 yang diadakan di Kuala Lumpur," jelas ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Pahang itu sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, kelip-kelip yang terdapat di sungai Cherating adalah spesies Pteroptyx bearni non-sychronous.

Bagaimanapun, kaedah komunikasi tersebut tidak boleh digunakan kepada spesies kelip-kelip lain.

Menurut Hafiz, Kebangkitan 8888 di negara kelahirannya pada 8 Ogos 1988 telah membawa Hafiz berkelana ke Malaysia.

Kebangkitan 8888 atau lebih dikenali sebagai Pemberontakan 8888 merupakan peristiwa kebangkitan rakyat Myanmar menuntut demokrasi. Kerajaan Myanmar pimpinan Jeneral Ne Win pada ketika itu telah digulingkan oleh pihak tentera. Bagi meleraikan demonstrasi pihak tentera telah membunuh ribuan orang awam termasuk pelajar dan sami Buddha.

Ekoran daripada peristiwa berkenaan ribuan mahasiswa meninggalkan Myanmar kerana bimbang terhadap tindak balas pihak pemerintah kepada mereka. Bagaimanapun, kebanyakan mereka pulang ke tanah air selepas keadaan tenang.

Selepas menamatkan pengajiannya, Hafiz berhijrah ke negara ini sekali lagi dan bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di Cherating.

Lima tahun berkhidmat di restoran itu, beliau meneruskan pengajian jarak jauh di Sekolah Persuratan Antarabangsa Singapura (ICSS). Namun, pengajiannya terbantut di tengah jalan ekoran ketiadaan dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, isteri Hafiz, Zawiyah Ghazali, 29, menyangka Hafiz bergurau ketika mula-mula memberitahu tentang kelebihannya itu.

Dia tidak percaya kerana tidak pernah melihat orang lain berinteraksi dengan kelip-kelip sebelum ini.

Zawiyah yang turut membantu Hafiz menguruskan perkhidmatan pemandu pelancong itu menceritakan pengalaman manis ketika dikunjungi oleh beberapa orang pelancong dari Perancis.

Menurutnya, pelancong tersebut beriya-iya menyatakan tentang kebolehan suaminya dan ada diterbitkan di beberapa buah majalah pelancongan di Perancis sehingga berjaya menarik mereka ke Cherating.

"Mereka menunjukkan majalah yang dimaksudkan tetapi kami tidak memahami artikel tersebut kerana ia tidak ditulis dalam bahasa Inggeris.

"Ada juga pelancong tempatan yang berseloroh mengatakan Hafiz menggunakan jampi kerana melihat dia menggerak-gerakkan isyarat tangan sewaktu berinteraksi dengan kelip-kelip," katanya sambil tersenyum ketika ditemui di kediamannya di Kampung Cherating Lama baru-baru ini.


PENGUNJUNG diberikan taklimat selama 15 minit berkaitan kelip-kelip dan habitatnya sebelum dibawa melawat di Sungai Cherating.


Sejak mengendalikan perkhidmatan Aktiviti Cherating Hafiz pada tahun 2006, mereka berdua telah mengupah tiga orang boatman untuk membantu Hafiz membawa pelancong asing dan tempatan.

Seorang lagi pemandu pelancong berlesen dari Terengganu, Ariffin Hassan, 54, mengenali Hafiz kira-kira enam tahun lalu.

Ariffin yang mesra disapa Pak Su memberitahu, Hafiz merupakan seorang pemandu pelancong yang ikhlas menjalankan tugasnya dan mahir mengenai selok-belok kelip-kelip.

"Pengunjung dan pelancong yang datang ke sini bukan sekadar melihat kelip-kelip tetapi mengetahui apa itu kelip-kelip.

"Apa yang Hafiz buat berbeza dengan pemandu pelancong lain kerana dia mampu menjawab setiap soalan pengunjung tentang kelip-kelip," ujarnya yang turut bekerjasama dengan Hafiz membawa pelancong melihat penyu bertelur di Teluk Mak Nik di Kemaman, Terengganu.

Pak Su juga mengakui sikap ramah Hafiz mampu menambat hati pelancong tempatan dan luar berkunjung semula ke Kampung Cherating Lama untuk menyaksikan kelip-kelip.

Seorang pelancong tempatan, Jasmine Lau, 43, berkata, pengalaman melihat kelip-kelip di Cherating seperti melihat magis, apatah lagi pemandangan malam yang dipenuhi bintang di langit.

"Pada mulanya saya agak takut kerana tidak biasa dengan keadaan gelap, namun pemandangan tersebut benar-benar menakjubkan," ujarnya.

Process time in ms: 46