VARIA

Pesta buku antarabangsa terbesar

Pesta buku antarabangsa terbesar


WAHAB (lima dari kiri) menyerahkan poster PBAKL kepada Pengurus Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar dalam satu lawatan MBKM ke pejabat Kosmo! baru-baru ini.


PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL 2013) merupakan acara yang wajib berlangsung di ibu negara setiap tahun. Ia menjadi medan bagi syarikat penerbitan mempromosi dan menjual secara terus kepada pembaca.

Pesta buku yang telah memasuki penganjuran kali ke-32 pada tahun ini juga disambut sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang jatuh pada 23 April setiap tahun.

PBAKL 2013 berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu merupakan acara tahunan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ia turut disokong Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia dan Persatuan Kontraktor Buku Malaysia.

Tidak ketinggalan Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia turut memberikan kerjasama.

Delegasi Arab

Acara yang berlangsung selama 10 hari bermula 26 April lalu itu menampilkan 800 gerai mewakili 250 syarikat swasta serta kerajaan dari dalam dan luar negara.

Antara syarikat penerbitan tempatan yang terlibat ialah Dewan Bahasa dan Pustaka, Gempak Starz, Sasbadi, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta Jemari Seni Sdn. Bhd.

Pengarah MBKM, Abdul Wahab Ibrahim memberitahu, pesta buku tahunan itu dianjurkan berdasarkan dua prinsip asal majlis tersebut.

“MBKM diwujudkan bertujuan memupuk sikap membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan untuk memajukan industri buku negara. Penganjuran pesta buku ini juga merupakan salah satu cara pihak kami melaksanakan prinsip majlis untuk membudayakan sikap membaca di Malaysia.

“PBAKL kali ini juga menjanjikan kelainan apabila delegasi syarikat penerbitan dari Arab Saudi turut dijemput sebagai negara jemputan ke pesta buku ini. Selain buku-buku hasil nukilan penulis dari negara itu, mereka juga mengajar cara membudayakan amalan membaca di Arab Saudi kepada pengunjung yang hadir,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dengan tema Buku Menjana Kepintaran Kreatif, ia bertepatan dengan objektif penganjuran PBAKL 2013 iaitu untuk meneruskan kecemerlangan dalam mengadakan aktiviti yang berupaya membudayakan sikap membaca.

Tambah Abdul Wahab, tema itu juga mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia bukan sekadar membaca, malah menyuntik minat untuk terlibat dalam penghasilan sesebuah karya.

Selain pameran buku baharu di pasaran serta jualan buku dengan tawaran harga menarik, pelbagai aktiviti dan program turut disediakan untuk para pengunjung PBAKL 2013.

Antaranya ceramah penulisan, bengkel penerbitan buku, pelancaran buku dan sesi bertemu penulis.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini mengenai PBAKL 2013 sila layari laman web www.kualalumpurbookfair.my/2013

Process time in ms: 31