MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Slogan 'ubah' pembangkang ada racun tersembunyi

Slogan 'ubah' pembangkang ada racun tersembunyi

28/04/2013 2:56am

SARATOK – Slogan ‘ubah’ yang sering dilaungkan pakatan pembangkang sebenarnya mempunyai 'racun' berbisa yang tersembunyi untuk mempengaruhi pemikiran rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sebaliknya slogan itu hanya merupakan gimik yang sarat dengan kekecewaan yang hanya bertujuan untuk memancing undi rakyat.

“Kita tidak mahu orang yang hanya boleh berjanji manis seperti seolah-seolah yang keluar daripada mereka itu adalah madu tetapi sebaliknya dalam madu itu ada racun.

“Jadi, saya yakin pada 5 Mei, pilihan rakyat adalah Barisan Nasional (BN). Sebab itulah soal utamanya adalah kebolehpercayaan,” katanya semasa berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin pada majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dataran Krian di sini semalam.

Mengulas lanjut, Pengerusi BN itu memberitahu, slogan yang kononnya mengandungi ‘madu’ itu telah dirasai oleh rakyat di empat buah negeri yang ditadbir pakatan pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Katanya, pembangkang ternyata gagal menunaikan janji-janji rakyat di kesemua negeri tersebut apabila kehendak dan aspirasi mereka yang sentiasa inginkan perubahan dipinggirkan.

“Maka, suka saya ingatkan rakyat agar tidak sesekali tertarik dengan ungkapan ‘ubah’ sebab tiada apa-apa yang mereka (pembangkang) lakukan sebelum ini selepas diberi amanah oleh rakyat di negeri berkenaan.

“Pada masa sama, saya mahu rakyat di negeri ini (Sarawak) menjadikan kegagalan kerajaan pakatan pembangkang iktibar dengan tidak memberi peluang kepada calon parti berkenaan untuk menjadi pemimpin,” tegasnya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM8.8 juta untuk melaksanakan projek menaik taraf projek bekalan air bersih di Parlimen Saratok.

Katanya, menerusi dana tersebut, kerja-kerja menggantikan batang-batang paip lama yang bocor dapat dilakukan sekali gus meningkatkan keupayaan kapasiti bekalan air bersih dan berkualiti di kawasan berkenaan.

Varia!»

Berhutang dalam Islam

ISLAM tidak melarang umatnya berhutang tetapi perlu melalui kontrak yang berlandaskan syarak.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15