MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Tiada kerusi menang tanpa ditandingi dalam PRU13 - SPR

Tiada kerusi menang tanpa ditandingi dalam PRU13 - SPR

21/04/2013 12:30am

PUTRAJAYA - Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya tempatan sejak 1955, tidak ada kerusi yang menang tanpa ditandingi apabila proses penamaan ditutup semalam dengan 1,900 calon disahkan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.

Pertembungan berbilang penjuru mendominasi PRU13 hasil kemunculan ramai calon Bebas selain pertandingan sesama parti pembangkang di enam kawasan.

Barisan Nasional (BN) yang menyasarkan untuk menang lebih banyak kerusi kali ini selepas pencapaian majoriti dua pertiganya merosot pada 2008, bertanding satu lawan satu di 132 daripada 222 kerusi parlimen.

Baki 90 kerusi melibatkan pertembungan tiga penjuru di 57 kerusi, empat penjuru (24 kerusi), lima penjuru (7 kerusi), satu kerusi enam penjuru dan satu lagi tujuh penjuru, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kamaruddin Mohamed Baria dalam kenyataan, di sini. Pecahan calon kerusi parlimen menunjukkan 221 BN, 99 PKR, 73 Pas, 51 DAP, 28 daripada Parti Reformasi Negeri Sabah (STAR), sembilan calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), lapan calon Parti Maju Sabah (SAPP), enam daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP), dua calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), dua daripada Parti Cinta Malaysia (PCM), seorang calon Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dan 79 calon Bebas.

Pertandingan 505 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak menyaksikan pertembungan satu lawan satu di 320 kerusi manakala 107 kerusi membabitkan saingan tiga penjuru, 42 pertandingan empat penjuru, 25 membabitkan lima penjuru, 10 kerusi dengan enam penjuru dan satu menyaksikan tujuh calon bertanding.

Pecahan 1,321 calon DUN ialah 505 BN, 236 Pas, 172 PKR, 102 DAP, 49 STAR, 41 SAPP, 11 calon KITA, lima daripada Berjasa, empat calon Bersama, tiga daripada PCM, dua calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan 191 Bebas.

Bilangan calon lelaki mengatasi wanita iaitu 523 orang berbanding 56 di peringkat parlimen manakala DUN pula merekodkan 1,209 calon lelaki dan 112 wanita.

Lapan calon kerusi parlimen berusia antara 21 dan 29 tahun, 77 orang berusia antara 30-39 tahun, 145 (40-49 tahun), 223 (50-59 tahun) dan 126 (60 tahun ke atas).

Bagi kerusi DUN, 26 calon berusia antara 21-29 tahun, 176 (30-39 tahun), 455 (40-49 tahun), 492 (50-59 tahun) dan 172 (60 tahun ke atas), katanya.

"Sepanjang tempoh penamaan calon, SPR tidak menerima sebarang laporan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku yang menjejaskan proses penamaan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Sehubungan itu SPR merumuskan proses penamaan berjalan lancar. Pihak Suruhanjaya juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan aman,” kata Kamaruddin. - Bernama

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31