VARIA

WeChat versi tempatan

WeChat versi tempatan


FUNGSI mesej suara memudahkan pengguna menghantar pesanan tanpa perlu menaip.


LEDAKAN penggunaan telefon pintar turut menukar cara orang ramai berhubung dengan gajet tersebut. Bukan setakat khidmat pesanan ringkas (SMS) atau membuat panggilan, aplikasi-aplikasi komunikasi memudahkan perhubungan. Ia juga percuma kepada mereka yang memiliki pelan data internet mobil.

Aplikasi-aplikasi seperti Line, WhatsApp, Viber dan WeChat mempunyai persamaan iaitu dari segi ruang berbual dan penghantaran fail.

Begitupun, kesemua aplikasi itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan WeChat berbeza dari segi fungsi Push To Talk.

Jika sebelum ini, setiap mesej perlu ditaip namun menggunakan WeChat, pengguna hanya perlu menekan butang, bercakap dan seterusnya mesej dihantar ke penerima.

“Menghantar SMS ketika memandu amat berbahaya tetapi menggunakan WeChat lebih selamat kerana tidak perlu menaip lagi, hanya bercakap dan mesej dihantar,” kata pelakon yang baru memenangi Anugerah Bintang Paling Popular anjuran sebuah akhbar tempatan, Shaheizy Sam.

Dia dan Lisa Surihani ditemui pada majlis pelancaran iklan televisyen versi tempatan berbahasa Melayu di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir, Presiden Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Ba U Shan-Ting.

Iklan televisyen WeChat bahasa Melayu mempunyai tiga versi menarik dengan setiap satunya memberi penekanan yang berbeza.

Dekat kepada masyarakat

Sebelum ini, terdapat empat versi iklan berkenaan yang berbeza bahasa bergantung kepada negara sasaran iaitu Taiwan, Hong Kong, Indonesia dan Thailand.

“Kami perlu dekat kepada masyarakat tempatan dengan cara penerbitan iklan dan pelantikan duta jenama,” kata Timbalan Presiden Tencent International Business, Poshu Yeung.

Jalan cerita iklan tersebut menggambarkan keseronokan dan kemudahan pengguna menggunakan WeChat dan mempunyai durasi selama 30 saat.

Setakat bulan lalu, terdapat lebih kurang 300 juta pengguna WeChat di seluruh dunia.

Menurut Yeung, walaupun penduduk Malaysia sekitar 30 juta orang namun rakyat Malaysia merupakan antara yang paling kerap menghantar dan membaca mesej di dunia.

“Saya boleh melihat dua orang sedang berbual sambil membaca mesej yang dihantar,” ungkapnya.


DARI kiri: Lisa, Yeung, Shan-Ting dan Shaheizy pada majlis pelancaran iklan komersial WeChat di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tambahnya lagi, platform aplikasi komunikasi akan menjadi sebuah industri yang amat menguntungkan. Justeru, tindakan pihaknya menjalankan promosi WeChat di

Malaysia sangat tepat pada waktunya.

WeChat juga mempunyai akaun rasmi yang boleh diikuti oleh pengguna. Akaun rasmi itu milik selebriti dan syarikat-syarikat terpilih.

Pemilik akaun rasmi boleh memuat naik kemas kini pada masa nyata dalam apa bentuk sekalipun sama ada bentuk mesej, kata-kata atau pun emosi.

Lisa dan Shaheizy mempunyai akuan rasmi WeChat. Menurut Yeung, pihaknya sangat memilih selebriti dan syarikat untuk menyertai akaun rasmi tersebut. Ia disebabkan mereka mahu memberikan yang terbaik kepada pengguna WeChat.

Ia juga disokong oleh sambungan WiFi, 3G dan 4G serta boleh dimuat turun pada semua sistem operasi seperti iOS, Android, Symbian, BlackBerry selain Windows.

Sehubungan itu, WeChat dapat digunakan oleh semua platform telefon pintar. Bagi pengguna BlackBerry 10 (BB10) pula boleh memuat turunnya dalam tempoh tiga bulan mendatang.

Ia juga mempunyai 17 bahasa berbeza antaranya, bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Portugis, Vietnam, Rusia dan Thai.

Ciri-ciri lain yang menarik mengenai WeChat ialah plug-in sosial berdasarkan lokasi iaitu Shake, Look Around dan Drift Bottle.

Ia membolehkan pengguna berkawan dan berbual melangkaui sempadan negara.

Process time in ms: 15