RENCANA UTAMA

Pemimpin hati batu yang sensitif

Pemimpin hati batu yang sensitif



BARANGKALI lakonan Meryl Streep dalam filem The Iron Lady pada tahun 2011 cukup kuat bagi menggambarkan rentetan hidup Margaret Thatcher.

Filem arahan Phyllida Lloyd itu berjaya mengangkat Streep sebagai penerima Oscar pada Anugerah Academy Ke-84, Anugerah Golden Globe Ke-69 dan Anugerah Akademi Seni Filem dan Televisyen British Ke-65 (BAFTA) bagi kategori pelakon wanita terbaik.

Watak Wanita Besi Britain yang sinonim kepada bekas Perdana Menteri wanita pertama Britain, Thatcher, dibawa Streep dengan efektif.

Di layar perak, Thatcher digambarkan sebagai seorang wanita yang melalui kesepian hidup sebagai warga emas. Halusinasi terhadap suaminya, Denis Thatcher mengisi hampir keseluruhan filem itu menunjukkan betapa teguhnya kasih wanita itu terhadap Denis yang meninggal dunia pada 26 Jun 2003.

Isnin lalu, 8 April 2013, Thatcher, 87, mengikut jejak suaminya. Wanita yang menjadi perlambangan kepada perubahan drastik ekonomi Britain itu menghembuskan nafas terakhir ekoran serangan strok di Hotel Ritz, London.

Menerusi The Iron Lady, sisi peribadi dan profesional Thatcher dirungkai dengan bernas. Permulaan sebagai anak gadis peniaga kedai runcit yang diberi peluang dalam dunia politik Britain membuktikan azam Thatcher dalam mengejar cita-citanya sebagai ahli politik.

Kebebasan berpolitik

Sebelum menerima lamaran Denis pada tahun 1951, Thatcher menetapkan syarat kepada Denis agar beliau diberi kebebasan berpolitik dan enggan menjadi suri rumah sepenuh masa. Syarat yang dipersetujui itu kemudiannya memberikan pasangan itu sepasang kembar, Mark dan Carol Thatcher pada tahun 1953.

Dalam satu babak, Thatcher (Streep) cuba melawan rayuan dua anaknya yang ingin mengikutnya ke tempat kerja. Situasi itu menunjukkan bahawa hati Thatcher masih tergugat dengan pujukan anak-anaknya namun tetap mengutamakan tanggungjawab terhadap profesionnya.

Enam tahun sebelum Thatcher diangkat sebagai Perdana Menteri Britain, beliau muncul dalam satu rancangan bual bicara di sebuah stesen televisyen, Val meets the V.I.P terbitan BBC TV. Katanya: “Saya tidak akan berpeluang melihat seorang wanita menjadi Perdana Menteri.”

Kenyataan itu kemudiannya dijadikan wadah Parti Konservatif yang diketuai Thatcher bermula tahun 1975 untuk direalisasikan. Hasilnya, Parti Konservatif yang merupakan pihak pembangkang ketika itu menang mudah pada pilihan raya 3 Mei 1979, sekali gus memahat nama Thatcher selaku Perdana Menteri wanita pertama di Britain.

Dalam dunia realiti, kewibawaan Thatcher sebagai Perdana Menteri mula dicabar pada awal tahun 1980-an. Tahap pengangguran yang tinggi, masalah kewangan dan sosial Britain yang gagal ditangani Parti Buruh yang memerintah sebelum beliau menekan Thatcher untuk bertindak.

Mungkin kekacauan di Kepulauan Falkland yang tercetus antara Argentina dan Britain menjadi titik tolak bagi Thatcher menunjukkan bahawa beliau bukan pemimpin sembarangan.


RATU ELIZABETH II (kiri) berbual dengan Thatcher (kanan) pada majlis pembukaan bahagian baharu Galeri Potrait Negara di London.


Pada 2 April 1982, tentera Argentina berjaya menawan Kepulauan Falkland dan Thatcher didesak membuat keputusan pantas. Menolak idea rundingan damai, Thatcher mengarahkan Menteri Pertahanan Britain ketika itu, Sir John Nott, melancarkan serangan balas.

“Kita tidak akan beri muka kepada mereka (Argentina). Ketegangan ini dimulakan mereka dan kita akan mengakhirinya,” tegas Thatcher yang akhirnya memaksa Argentina menyerah kalah pada Jun 1982 selepas digempur tentera Britain.

Wanita tegas

Meskipun tegas dalam membuat keputusan, kelembutan seorang wanita yang ada pada diri Thatcher masih ketara. Ketika tentera Britain bergadai nyawa di medan Perang Falkland, Thatcher dilihat menangis di belakang pentas selepas menyampaikan pengumuman rasmi berkenaan perang tersebut.

Dikhabarkan, belum pernah seorang Perdana Menteri Britain menitiskan air mata kerana negaranya. Thatcher ialah satu-satunya yang berjiwa sensitif namun masih dilabel sebagai pemimpin berhati batu dalam kalangan penduduk Britain.

Populariti Thatcher melonjak susulan kejayaan Britain menumpaskan Argentina. Rakyat Britain terus meletakkan kepercayaan kepada Thatcher pada pilihan raya umum 9 Jun 1983.

Era kegemilangan Thatcher berterusan apabila sekali lagi memenangi pilihan raya umum pada 11 Jun 1987. Selama tiga penggal berturut-turut, wanita dari Grantham, England itu menghuni kediaman rasmi Perdana Menteri Britain di No. 10, Downing Street, London.

Namun, percubaan Thatcher memperkenalkan cukai kepala mula mencalar kepimpinannya. Usul itu telah mencetuskan rusuhan cukai kepala dalam kalangan rakyat Britain pada bulan Mac 1990.

Berundur diri

Kesan daripada itu membuatkan Kabinet partinya sebulat suara menentang Thatcher. Ketegasan dan semangat perjuangan Thatcher terhenti selepas beliau memutuskan untuk mengundur diri sebagai Perdana Menteri Britain pada 28 November 1990.

“Beliau telah mengangkat martabat wanita di Britain ke tahap membanggakan. Budi Thatcher terhadap negara ini teramat besar dan saya rasa tidak sewajarnya anggota partinya berpaling tadah dan cuba menyingkirkannya.

“Selain Winston Churchill, Thatcher merupakan Perdana Menteri terhebat yang pernah Britain miliki sepanjang abad lepas,” kongsi pembantu peribadi Thatcher, Cynthia Crawford yang memegang jawatan itu sejak tahun 1978.

BEKAS Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat Thatcher di pejabat beliau pada tahun 1993.


Tidak disangkal, Thatcher merupakan seorang wanita yang cantik. Dengan ketinggian 166 sentimeter, wanita bermata biru dan berambut perang itu memiliki cita rasa fesyen yang tinggi.

Setiap kali mesyuarat Kabinet diadakan, dewan dipenuhi dengan golongan lelaki yang menggayakan sut formal hitam.

Sudah tentu, sebagai seorang perempuan, hanya Thatcher dilihat berkasut tumit tinggi, menyarung blaus dan skirt serta menjinjit beg tangan Asprey.

Menurut Crawford, Thatcher selesa dengan imej feminin. Beliau tidak pernah sekali memakai seluar sehingga ke penghujung hidupnya. Thatcher gemar berpakaian formal dan kemas walaupun berada di rumah.

Dedah Crawford: “Thatcher mempunyai pakaian kasual yang amat sedikit. Malah beliau juga mengikuti perkembangan fesyen semasa terutama pada era 1980-an. Ketika itu sut wanita dengan pelapik bahu tebal menjadi kegilaan dan Thatcher bersetuju agar pakaian rasminya menjelang pilihan raya 1987 dihasilkan label pakaian Aquascutum.

“Sebagai anak kepada tukang jahit, Thatcher amat arif tentang selok-belok jahitan. Beliau sendiri memberi perincian kepada tukang jahit bagaimana pakaiannya perlu dijahit dan di mana kelepet boleh dibuat.

“Setiap busana mempunyai nama tersendiri. Kebanyakannya dipetik dari tempat di mana beliau pertama kali memakainya. Misalnya, Madrid Pink dan Prague Green. Ia memudahkan saya memilih busana yang hendak dipakai Thatcher pada masa akan datang.”

Infiniti!»

Projek robotik pelajar ke Rusia

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.

Varia!»

KLwyse imbau nostalgia silam

Pos Malaysia akan meraikan sambutan 160 tahun penggunaan setem di negara ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47