SUKAN

Selangor menang, Irfan tetap kecewa

Selangor menang, Irfan tetap kecewa

AMRI (dua dari kiri) menjaringkan gol kemenangan Selangor ketika mereka menewaskan Johor DT 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Larkin malam kelmarin.


PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim memiliki sebab untuk berasa kecewa di sebalik kejayaan anak-anak buahnya mengatasi Johor Darul Takzim 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin.

Menurut beliau, sikap terlalu selesa sebaik mendahului dua gol terhadap lawan yang tempang dengan 10 pemain wajar dikikis jika enggan mengundang malapetaka yang lebih besar dalam mana-mana perlawanan selepas ini.

"Apabila beraksi di tempat lawan, pemain seharusnya berterusan mengasak sehingga perlawanan tamat.

"Dua gol bukan jaringan yang besar, jadi saya mahu pemain Selangor tidak terlalu leka dan cukup selesa dengan kelebihan itu.

"Justeru, ia tidak sepatutnya berulang dalam mana-mana perlawanan selepas ini," katanya selepas tamat perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, kedua-dua jaringan Selangor dicetak Mahali Jasuli (ke-14) dan Amri Yahyah pada minit ke-68 sebelum Mohd. Safee Sali menghidupkan semula sisa-sisa perjuangan tuan rumah apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung babak kedua.

Johor DT sepatutnya dapat menyamakan kedudukan lebih awal apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-55 selepas Peter Chrappan mengasari Safee, namun rembatan Daniel Guiza berjaya ditepis penjaga gol pelawat, Norazlan Razali.

Tuan rumah juga tempang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain gantian, Irfan Abdul Ghani dilayangkan kad merah gara-gara mengasari K. Gurusamy pada pertengahan babak kedua.

Kedua-dua pasukan bakal berentap semula dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 16 April ini.

Ketika ditanya mengenai keputusan pengadil menghadiahkan dua sepakan penalti kepada tuan rumah kelmarin, Irfan berkata: "Jangan tanya saya, saya enggan komen."

Sementara itu, Selangor akan menyambung semula perjuangan dalam aksi Kumpulan H Piala AFC 2013 berdepan kelab Vietnam, Saigon Xuan Thanh di Stadium Shah Alam malam esok.

Mereka sebelum ini tumpas 1-2 kepada lawan yang sama di tempat lawan minggu lalu, sekali gus hanya mengutip satu mata selepas tiga perlawanan kumpulan setakat ini.

Process time in ms: 47