RENCANA UTAMA

Komitmen DBKL atasi kesesakan

Komitmen DBKL atasi kesesakan


PROJEK Aliran Transit Massa fasa pertama yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang dijangka siap akhir tahun 2016.


BILAKAH agaknya jawapan kepada soalan, 'kenapa lambat?' tidak lagi dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas oleh mereka yang bekerja di ibu kota. Bilakah masanya petugas dapat tiba awal, dalam keadaan relaks dan ceria ke tempat kerja?

Taraf hidup yang lebih baik dan jumlah kenderaan yang semakin banyak antara faktor penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Kemudahan pengangkutan awam juga cuba dipertingkatkan tetapi penggunaannya masih perlu dioptimumkan kerana ketika ini hanya 19 peratus yang mengisi ruang-ruang pengangkutan awam di ibu kota.

Bagi kerajaan kecekapan pengangkutan awam memang diberi perhatian serius dalam usaha mensejahterakan kehidupan warga kota. Ini termasuk penambahbaikan secara komprehensif dan memperkasa perkhidmatan bas, rel yang merangkumi sambungan jajaran monorel serta Aliran Transit Ringan (LRT), integrasi antara mod pengangkutan awam serta rangkaian pengangkutan awam itu sendiri.

Fasa pertama

Kerajaan juga dalam proses melaksanakan projek Aliran Transit Massa (MRT) yang dijangka menjadi antara alternatif menyelesaikan kerumitan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota. Fasa pertama projek itu yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang dijangka siap mengikut jadual pada akhir tahun 2016. Ia melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memikul tanggungjawab menjayakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Dalam pelan itu, disasarkan pada tahun 2020 nisbah pisah ragam antara pengguna pengangkutan awam dan pengangkutan persendirian ialah 40-60.

Antara inisiatif yang digaris dalam merealisasi matlamat anjakan peraturan penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi, kawalan perancangan pembangunan melalui pembangunan berorientasikan sistem rel diberi perhatian.

Ini mengorak kepada peranan DBKL dalam memberi kelulusan kepada mana-mana projek pembinaan pembangunan.

"Kami memberi kelulusan perancangan pembangunan dengan melihat kepada kedudukan, tata letak bangunan itu. Umpamanya, sekarang ini kita mempunyai kawasan yang direntasi kemudahan LRT dan monorel.


MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri) melihat gambar foto pembinaan jalan selepas merasmikan pembukaan jalan keluar masuk ke Kampung Sungai Penchala melalui jalan Datuk Sulaiman Taman Tun Dr. Ismail sambil diperhatikan oleh Ahmad Phesal.


"Kawasan-kawasan ini akan kami beri tumpuan. Kawalan pembangunan akan tertumpu kepada pembangunan di sekitar koridor rel," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Tambah beliau, penumpuan pembangunan yang berpusat kepada kawasan koridor rel akan menggalakkan warga kota memilih pengangkutan awam.

Selain itu, konsep Park n Ride turut dilaksanakan untuk memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan di kawasan tertentu dan menggunakan sistem pengangkutan rel atau bas untuk masuk ke pusat bandar.

Setakat ini, dua projek diberi kelulusan untuk pelaksanaannya iaitu di Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan.

Projek Park n Ride di Stesen LRT Sungai Besi telah siap dan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini.

Menerapkan elemen mesra pengguna bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), kemudahan setinggi tiga tingkat itu di Stesen LRT Sungai Besi turut dilengkapi 220 parkir, lif, kamera litar tertutup, tandas, gerai makan dan laluan pejalan kaki yang menghubungkannya dengan Stesen LRT Sungai Besi.

Dalam pada itu, kesesakan lalu lintas tidak sekadar difokuskan kepada faktor penjalanan kenderaan keluar masuk ke pusat ibu kota, malahan ia berpunca daripada kelambatan pemanduan semasa carian lot tempat letak kereta.

Menyedari permasalahan itu, DBKL dalam proses merangka sistem maklumat, paparan elektronik yang akan dipasang di sekitar bandar raya ini bagi membekalkan informasi kepada orang awam berhubung lot tempat letak kereta berdekatan yang masih kosong.

Laluan bas

"Sistem tempat letak kereta ini akan memudahkan kami menyelaras laluan bas. Jadi, apabila mereka meletakkan kenderaan di sini, mereka juga boleh menggunakan bas contohnya perkhidmatan Go KL City Bus untuk ke lokasi sekitar laluan bas Go KL," katanya.

Ketika ditanya mengenai konsep Dibenarkan Membelok Kiri di Kuala Lumpur atau Authorised Left Turn yang dilancarkan tahun lalu, beliau berkata pelaksanaannya memberi kesan positif dalam melancarkan perjalanan trafik.

Justeru, DBKL akan menambah bilangan di persimpangan lain dan dijangka lapan lagi persimpangan akan dilaksanakan.

Setakat ini, hanya enam lokasi pelaksanaannya iaitu di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja ke Jalan Parlimen, Jalan Raja Abdullah ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda Musa Abdul Aziz ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Dalam strategi perancangan DBKL, pusat-pusat pertumbuhan baharu yang terdiri daripada Pusat Pertumbuhan Daerah, Pusat Pertumbuhan Kejiranan dan Pusat Pertumbuhan Tempatan diwujudkan bagi tujuan mengurangkan tekanan tinggi atau kesesakan melampau kepada rangkaian jalan raya di pusat bandar.

Melalui inisiatif ini, pusat beli-belah, bank-bank, institusi pendidikan dan pusat perubatan diwujudkan di kawasan pertumbuhan baharu di luar Pusat Daerah Perniagaan.

"Seperti yang ditetapkan dalam perancangan, usaha supaya kami untuk mewujudkan pusat kejiranan ini ialah sebagai langkah mengurangkan semua urusan tertumpu terus ke pusat bandar. Dengan wujudnya pusat kejiranan ini, orang ramai tidak perlu masuk ke bandar dan inilah satu daripada perkara yang akan kami beri tumpuan," kata Ahmad Phesal. - Bernama

Process time in ms: 0