RENCANA UTAMA

Sakit kerana gigi bongsu

Sakit kerana gigi bongsu

PEMBEDAHAN kecil diperlukan untuk membuang gigi bongsu.


RASA sakit gigi yang datang tiba-tiba menyebabkan Izwan Ali Imran Wazani, 24, pergi ke Hospital Balik Pulau yang berdekatan dengan rumahnya di Pulau Pinang.

Selepas diperiksa, doktor mendapati gigi bongsunya baru hendak tumbuh di hujung gusi bawahnya.

Menurut Izwan, pada awalnya dia menyangka ada giginya yang rosak atau berlubang.

"Hasil pemeriksaan doktor menunjukkan semua gigi saya masih dalam keadaan baik. Rasa sakit yang dialami itu berpunca daripada gigi bongsu yang sedang tumbuh," ujarnya.

Doktor menyarankan Izwan menjalani satu pembedahan kecil untuk membuang gigi bongsu tersebut.

Menurut Izwan, dia amat terkejut apabila mendengar pembedahan perlu dilakukan dan dia mula membayangkan kesakitan yang bakal ditempuhinya.

"Walaupun agak takut, memandangkan saya sudah tidak dapat menahan kesakitan, saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan yang disarankan oleh doktor," cerita Izwan.

Pembedahan membuang gigi bongsu itu berjalan lancar. Kini, rasa sakit yang dialaminya dahulu sudah hilang.

Izwan berkata, selepas pembedahan itu, doktor menasihatinya supaya tidak mengambil makanan dan minuman panas di samping makan makanan yang lembut.

Sementara itu, Nurul Adila Awaludin, 24, berkata, pada peringkat awal gigi bongsunya tumbuh, rasa sakit yang dialami sama seperti sakit gigi yang biasa. Cuma yang menambahkan rasa sakitnya ialah apabila gusi membengkak.

"Setelah membuat pemeriksaan X-ray, doktor menasihatkan saya supaya membuang gigi tersebut," katanya.

Gigi bongsu merupakan gigi terakhir yang tumbuh, biasanya semasa seseorang berumur antara 18 hingga 30 tahun.

Menurut pemilik Klinik Pergigian Syarifah, Dr. Syarifah Fazlina Seyed Fadzir, selalunya gigi bongsu tidak dapat tumbuh dengan sempurna disebabkan ruang gusi yang tidak mencukupi.

"Lantaran itu, gigi bongsu akan mengasak gigi geraham yang berada di depannya. Situasi ini menyebabkan rasa sakit pada gigi," jelasnya.

Beliau berkata, masalah ini dapat diatasi dengan mencabut gigi bongsu yang baru tumbuh itu. Sekiranya gigi bongsu berada dalam posisi yang sukar dicabut, gigi geraham yang berada di depannya terpaksa dicabut sebagai ganti.

"Ruang yang ada itu akan membolehkan gigi bongsu tumbuh dengan baik," beritahu beliau.

Sisa makanan

Tambahnya, gigi bongsu yang tidak tumbuh dengan sempurna boleh menyebabkan berlaku pengumpulan sisa makanan di antara celahan gusi dan gigi bongsu.

"Situasi ini mampu mencetuskan sakit gigi ekoran wujudnya bakteria penyebab jangkitan dan kesakitan.

Selain itu, Syarifah Fazlina menyatakan, kemunculan gigi bongsu pada posisi yang tidak betul juga boleh mengakibatkan hentaman pada tisu lembut atau tulang.

"Seringkali pesakit mengadu sakit dan bengkak di belakang gigi bongsu kedua.

"Keadaan yang dinamakan sebagai perikornitis ini tidak dialami oleh semua orang manakala individu yang mengalaminya tidak semestinya mempunyai gigi bermasalah," terang beliau.

Pesakit perikornitis perlu menjalani pemeriksaan bagi mengetahui sama gigi bongsu mereka itu mendatangkan masalah dan perlu dicabut sebelum ia memberi kesan yang lebih teruk.

Menurut Syarifah Fazlina, jika dibiarkan tanpa pemeriksaan, penyakit periodontal boleh menghakis akar gigi bersebelahan dan menyebabkan ketumbuhan.

"Apabila ini berlaku, pesakit yang kebanyakannya sudah melepasi usia remaja terpaksa melakukan pembedahan yang mungkin mengambil masa yang lama untuk sembuh," katanya.

Pakar Pergigian, Prof. Dr. Rahimah Abdul Kadir dalam tulisannya bertajuk Gigi Bongsu Terimpak berpendapat, gigi bongsu yang terimpak hanya boleh dikeluarkan melalui pembedahan ringkas. Satu torehan akan dibuat pada gusi bagi menampakkan tulang rahang.

Sekiranya bahagian torehan yang dibuat agak panjang, doktor akan menjahit gusi tersebut. Jahitan ini bertujuan mengelakkan pendarahan.

Tulang rahang yang menghalang korona gigi bongsu akan dipotong dan dibuang menggunakan satu alat khas.

Selepas itu, gigi tersebut akan dicungkil keluar. Doktor akan menyuntik ubat bius sebelum pembedahan dilakukan untuk mengelakkan rasa sakit.

Namun, tidak semua pembedahan akan disuntik ubat pelali. Suntikan ini untuk kes tertentu sahaja.

Menurutnya, pesakit tidak perlu risau akan impak selepas pembedahan seperti rasa sakit dan bengkak kerana doktor akan membekalkan ubat untuk meredakan rasa sakit.

Pesakit juga dinasihatkan supaya tidak mengorek bahagian torehan dengan jari atau sebarang alat. Perbuatan mengorek tersebut boleh mengakibatkan infeksi atau keradangan pada luka.

Infiniti!»

Perabot daripada kayu pain terpakai

KAYU pain disimpan rapi di dalam bengkel untuk mengekalkan ketahanannya sekali gus tidak mudah rosak.

Varia!»

Melahirkan jutawan bidang penternakan

SITI FATONAH (dua dari kanan) bersama Mohamad Jamil (dua dari kiri) di hadapan Akedemi Usahawan MJ Fatonah di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15