HORIZON

Menjenguk kepelbagaian Banting

Menjenguk kepelbagaian Banting



KEHIDUPAN sebagai nelayan di Pengkalan Jeti Kelanang, Banting, Kuala Langat, Selangor, merupakan pekerjaan harian bagi Salim Mat, 48, untuk menyara keluarganya.

Jeti yang terletak kira-kira 13 kilometer dari bandar Banting itu merupakan kawasan pelabuhan bagi bot atau dipanggil kotak jaring oleh masyarakat di situ meredah Laut Kelanang setiap hari.

Laut yang terletak kira-kira lima batu nautika dari jeti tersebut merupakan lubuk baginya untuk menangkap ikan tenggiri dan parang.

Kemudian, hasil tangkapan itu dijual kepada pemborong dan pembeli yang pasti akan tiba seawal pukul 7 pagi setiap hari di jeti itu.

"Biasanya saya akan ditemani anak saya. Kami turun ke laut pada pukul 5 petang dan pulang pula pukul 3 pagi keesokan harinya. Sebelum turun ke laut, persediaan utama saya adalah menjahit jaring pukat hanyut yang putus," ujarnya.

Senario harian yang dilalui oleh Salim merupakan secebis kisah yang dilalui oleh kebanyakan masyarakat di daerah Kuala Langat itu.

Berdekatan dengan jeti Pengkalan Kelanang, sebuah pantai yang menjadi menjadi tarikan dengan rimbunan pokok rhu dan kayu bakau iaitu Pantai Kelanang.

Pantai yang berada tujuh kilometer dari pesisiran Pantai Morib itu menjadi lokasi wajib dikunjungi oleh orang ramai untuk beriadah selain mencari ketenangan jauh daripada hiruk-pikuk kota.

Pengunjung juga dapat melihat penduduk sekitar datang untuk menangkap siput di gigi pantai ketika air mulai surut terutamanya pada waktu petang.


PANGKALAN Jeti Kelanang merupakan destinasi utama penduduk sekitar Banting mendapatkan hasil laut yang segar.


Istana Bandar

Banting merupakan salah satu daerah daripada sembilan daerah yang terdapat di negeri Selangor.

Bandar itu juga sarat dengan kisah sejarah yang berada dalam lipatan historiografi negeri Selangor. Dahulunya, Jugra atau dikenali sebagai Bandar Temasya dalam daerah Kuala Langat menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor sebelum ia berpindah ke Klang.

Istana Bandar merupakan tempat yang menyimpan seribu satu kisah di Selangor. Terletak dalam kawasan Jugra, istana itu dibina oleh Sultan Selangor kelima pada tahun 1905 iaitu Sultan Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Pengunjung boleh melihat ciri-ciri seni bina Islam dari India dan Timur Tengah daripada kayu cengal dan batu marmar. Baginda Sultan juga bersemayam di istana itu selama 33 tahun sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.


KEDIAMAN Othman Johari antara 30 homestay yang menjadi tumpuan pelancong di Kampung Lang Tengah.


Istana tersebut sedang dalam proses baik pulih dan dijangka akan dibuka kepada umum pada penghujung tahun ini.

Tidak berapa jauh daripada istana itu, pengunjung boleh singgah di Masjid Bandar yang juga dibina pada tahun yang sama dengan pembinaan Istana Bandar.

Dengan pengaruh daripada kerajaan Deli, Medan, mimbar kayu di dalam masjid itu merupakan tempat Sultan Alaeddin menyampaikan khutbah kepada sekalian rakyat.

Industri kerepek

Di dalam kawasan Jugra juga, terdapat Muzium Insitu Jugra yang mendokumentasikan segala maklumat di daerah Kuala Langat.

Muzium yang dahulunya dikenali sebagai rumah pasung atau balai polis lama itu menyediakan tiga seksyen untuk informasi pengunjung mengenai Kuala Langat khususnya Banting.

"Seksyen A menceritakan mengenai hal ehwal salasilah Sultan Selangor. Seksyen B mengenai arkeologi rumah pasung ini suatu ketika dahulu, manakala seksyen C pula mencatatkan kisah-kisah sejarah di daerah Kuala Langat," ujar Pembantu Muzium Insitu Jugra, Mohd. Jangi Zaimin.

Tambahnya, Istana Bandar, Masjid Bandar, Makam Al-Marhum Sultan Selangor keempat, Sultan Abdul Samad dan bangunan bersejarah di sekitar Jugra telah dipelihara dibawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 oleh Jabatan Warisan Negara.

Kegiatan ekonomi penduduk di Banting tertumpu di sepanjang Jalan Sultan Abdul Samad dengan pelbagai deretan kedai dan perniagaan di tepi jalan tersebut.

Selain itu, penduduk sekitar Banting turut menjalankan perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), malah tidak sah sekiranya anda ke daerah tersebut tanpa membawa pulang kudapan yang popular iaitu kerepek.

CENDOL Banting menjadi pilihan ketika cuaca terik sewaktu bercuti di sana.


Seorang pengunjung dari Gombak, Azman Shah, 36, memberitahu, dia yang amat menggemari kerepek pisang tanduk yang dijual syarikat Ros Kerepek di Kanchong Darat sebagai destinasi utama apabila ke Banting.

Menurutnya, sebulan sekali dia akan berkunjung ke rumah kakaknya di Banting dan pasti akan memborong kerepek pelbagai perasa dalam kuantiti yang banyak untuk hidangan keluarga serta rakan-rakan di pejabat.

"Harga kerepek yang ditawarkan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di ibu kota. Rasanya juga garing kerana ia diproses segar," ujar penjawat di sektor swasta itu.

Sementara itu, Pengurus Ros Kerepek, Muhammad Fauzi Roslan, 24, memberitahu, selain kerepek kedainya juga menjual rempeyek, baulu dan kuih-kuih tradisional.

Tambahnya, keistimewaan Ros Kerepek yang mula beroperasi sejak tahun 1989 itu juga terletak kepada kepelbagaian perasa dan rempah dalam setiap hidangan kerepek seperti lada hitam dan barbeku.

Penginapan

Bagi menghilangkan dahaga, pelancong boleh mencuba cendol yang terkenal di Banting iaitu Restoran Cendol Ibrahim Banting yang mula dibuka pada waktu tengah hari.

Terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, restoran yang menghidangkan cendol dan rojak itu mula beroperasi di Banting sejak lebih 50 tahun lalu.

Rasa lemak santan, gula merah dan kacang merah dalam semangkuk hidangan cendol pasti menggamit selera pengunjung.

Bagi pelancong yang ingin merancang percutian di Banting, kemudahan penginapan tidak menjadi masalah utama dalam percutian anda.

Dengan hanya RM60 semalam, pelancong boleh memilih untuk tinggal di homestay Kampung Sungai Lang Tengah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Bandar Banting.

Terdapat 30 buah rumah penduduk tempatan yang turut dijadikan homestay untuk pelancong yang berkunjung ke kampung yang menerima pengiktirafan Anugerah Desa Cemerlang menerusi kategori Desa Harapan 2010 itu.

Penyelaras homestay kampung, Silim Dasman, 72, memberitahu, setiap pemilik homestay menyediakan bilik dan tandas khas untuk kegunaan pelancong.

"Di kampung ini, terdapat lapan zon. Setiap zon mempunyai homestay. Kemudahan yang disediakan juga selesa untuk pelancong.

"Sekiranya pelancong menginap di sini selama tiga hari dua malam, pelbagai aktiviti akan dirancang untuk mereka seperti membuat kuih-muih tradisional, rendang dan melawat sekitar Banting," ujarnya yang juga memperuntukkan sebuah rumah untuk dijadikan homestay di laman rumahnya.

Process time in ms: 63