TERKINI

Kerajaan Jepun tawar biasiswa tahun akademik 2014

Kerajaan Jepun tawar biasiswa tahun akademik 2014

11/03/2013 1:31pm

KUALA LUMPUR Kerajaan Jepun mempelawa rakyat Malaysia memohon biasiswa bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah dan lepasan ijazah di negara itu bagi tahun akademik 2014.

Dalam kenyataan hari ini, kedutaan Jepun berkata, biasiswa Monbukagakusho bagi pengajian di peringkat ijazah terbuka kepada mereka yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau O-Level serta telah mengikuti sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan formal, dan mereka yang telah menamatkan pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), UEC, Matrikulasi atau Diploma.

Pemohon mestilah berumur antara 17 dan 22 tahun pada 1 April 2014 serta menguasai bahasa Inggeris dengan baik, kata kenyataan itu.

Mereka yang layak akan diberi 117,000 yen (kira-kira RM3,900) sebagai elaun bulanan dan permohonan mestilah sampai ke kedutaan itu sebelum pukul 4 petang pada 17 Mei.

Bagi pengajian di peringkat lepasan ijazah pula, pemohon mestilah berumur bawah 35 tahun pada 1 April 2014, memiliki ijazah sarjana muda atau sarjana dengan mendapat sekurang-kurangnya 3.4 CGPA, dan pelajar peringkat ijazah sarjana muda yang sedang menuntut pada tahun akhir di universiti, kata kenyataan itu.

Penjawat awam juga layak memohon, tetapi permohonan mestilah dibuat melalui Jabatan Perkhidmatan Awam dengan melayari www.jpa.gov.my atau menghubungi jabatan itu melalui nombor 03-8885 3555 atau 03-8885 3519.

Pelajar peringkat lepasan ijazah akan diberi 143,000 yen (kira-kira RM4,700) sebagai elaun bulanan dan tempoh akhir permohonan bagi bukan penjawat awam ialah sebelum 4 petang pada 12 April, manakala bagi penjawat awam pada 5 April.

Kenyataan itu berkata, pemohon yang berjaya akan dikecualikan daripada membayar yuran peperiksaan, matrikulasi serta tuisyen dan diberi tiket penerbangan pergi dan balik.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.my.emb-japan.go.jp atau menghubungi kedutaan Jepun melalui talian 03-2177 2600 (sambungan 146 bagi pengajian di peringkat ijazah dan sambungan 157 bagi pengajian di peringkat lepasan ijazah). BERNAMA

Process time in ms: 0