SUKAN

Kedah tamatkan khidmat Santos

Kedah tamatkan khidmat Santos

PRESTASI yang mengecewakan dipamerkan oleh Santos (kiri) memaksa Kedah menamatkan kontraknya serta merta.


KHIDMAT pemain import Kedah dari Brazil, Chayene Santos sudah sampai ke penghujungnya apabila dia digugurkan daripada senarai pemain skuad Kenari berkuat kuasa serta merta.

Posisinya sebagai penyerang utama skuad Kenari bakal digantikan dengan seorang pemain import baharu dari Croatia.

Ketua jurulatih pasukan Kedah, Mario Tot berkata, Santos tidak lagi beraksi dengan pasukannya ekoran masalah prestasi kerana gagal menghasilkan gol untuk membantu kemenangan Kedah.

"Kita berterima kasih kepada Santos atas segala usaha yang dilakukannya untuk Kedah dan saya rasa dia kurang bernasib baik di sini.

"Dia masih muda dan merupakan seorang pemain yang bagus, dan nasibnya mungkin akan lebih baik di kelab lain," katanya selepas perlawanan Kedah menentang Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Kedah berpesta gol apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dengan jaringan pertama pada minit ke-63 menerusi tandukan M. Faizal Abu Bakar diikuti Akhmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd. Shazuan Asyraf pada minit-minit akhir permainan.

Kata Tot, beliau pulang ke Croatia hari ini dan akan kembali bersama seorang pemain dari Croatia yang bakal memantapkan lagi bahagian serangan.

"Saya akan pulang pada 21 Mac depan dan saya harap kemunculan pemain dari Croatia ini dapat menyelesaikan masalah Kedah untuk mendapatkan lebih banyak gol pada perlawanan selepas ini," jelasnya yang tidak mendedahkan identiti pemain import baharu tersebut.

Tambahnya, Kedah kini mempersiapkan diri untuk beraksi pada perlawanan terakhir pusingan pertama liga menentang Sarawak di Kuching pada 29 Mac depan dalam misi memburu kemenangan, seterusnya merapatkan jurang dengan pasukan yang mendahului liga.

Process time in ms: 16