RENCANA UTAMA

Kongsi ilmu bersama masyarakat

Kongsi ilmu bersama masyarakat



MULA meneroka bidang teknologi satelit sejak tahun 1985, pengetahuan yang dimiliki oleh Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad, 50, menjadi ilmu yang sangat berharga untuk dikongsi bersama masyarakat.

Kecintaan beliau terhadap bidang satelit sebenarnya bertitik tolak daripada rasa kagum dan hormatnya kepada ahli astronomi Malaysia, Allahyarham Mohd. Khair Mohd. Taib.

Sewaktu mula memasuki sekolah menengah dan meningkat remaja, Noordin memang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dunia astronomi atau elemen dalam sains angkasa.

"Tetapi, ketika itu saya amat teruja dengan bidang tugas Allahyarham Mohd. Khair. Pengiraan falak beliau yang berasaskan astronomi digunakan sebagai rujukan dalam semua kalendar waktu solat serta penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

"Maka dari situlah saya menanam keazaman untuk menimba ilmu dalam bidang berkaitan," jelas Noordin dalam satu pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini.

Halangan dalam penyelidikan

Apabila meningkat dewasa, Noordin memilih untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan ukur tanah yang banyak menggunakan data dari cerapan matahari dan bintang di angkasa bagi tujuan pengiraan arah, masa dan kedudukan.

Berdasarkan sejarah, kaedah itu juga telah digunakan oleh pedagang-pedagang zaman silam untuk merantau ke seluruh dunia. Akhirnya beliau berjaya membawa pulang Ijazah Sarjana Juruukur daripada Universiti Melbourne pada tahun 1984.

"Semasa belajar di Melbourne, saya kemudian tertarik untuk mengkaji teknologi berkaitan satelit ketenteraan memandangkan ia merupakan antara teknologi paling canggih di dunia ketika itu.

"Tambahan pula, penggunaan teknologi satelit amat terbatas di Malaysia. Malah, tiada anak Malaysia yang mempunyai kelulusan dalam bidang tersebut. Meskipun teknologi tersebut agak terhad pada masa itu, namun ia membuat saya lebih berminat untuk mengetahui rahsia di sebaliknya," ujar Noordin sambil memberitahu banyak cabaran yang dihadapi ketika mahu melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang tersebut.

Antaranya termasuklah cabaran dalam mendapatkan maklumat berkaitan teknologi satelit. Berbeza pada zaman sekarang, maklumat kerahsiaan tentang teknologi satelit telah banyak 'dibongkar' kepada masyarakat.


PUSAT Kawalan Satelit sesebuah negara berupaya memantau ruang angkasa daripada sebarang anasir asing.


Kata Noordin, namanya juga pernah ditapis oleh pihak Barat terutama Amerika Syarikat (AS) sebelum diberi kebenaran meneruskan kajian mengenai teknologi mereka.

"Selain menjalani proses penapisan yang kemudian diluluskan, saya juga terpaksa menghubungi beberapa syarikat komersial dari AS untuk mendapatkan sokongan mereka bagi membuat penyelidikan dalam bidang teknologi satelit," ungkapnya.

Berkongsi cerita mengenai pengalaman untuk menyiapkan tugasan sewaktu pengajian di peringkat PhD, Noordin memberitahu sekitar hujung tahun 80-an, satelit yang dikaji hanya melalui United Kingdom (UK) pada waktu awal pagi.

"Ini bermakna saya perlu menunggu antara pukul 1 hingga 3 pagi semata-mata untuk mencerap data-data yang dihantar satelit navigasi tersebut.

"Bayangkan dengan cuaca sejuk dan mata yang mengantuk, ia memang mencabar kekuatan fizikal diri. Namun, demi minatnya, saya tetap hadapinya sebaik mungkin," tutur anak kelahiran Kuala Ketil, Kedah itu tersenyum.

Selepas tamat pengajian, beliau mendapati bidang tersebut mempunyai potensi yang sangat tinggi dalam membantu pembangunan negara.

Justeru, Noordin telah menggabungkan teknologi itu dengan aplikasi-aplikasi yang digunakan untuk kegunaan awam.

Sejak awal tahun 90-an hingga kini, antara sumbangan utama beliau kepada negara ialah mengaplikasi teknologi satelit dalam beberapa bidang pembangunan fizikal seperti pemetaan, perancangan bandar, landskap, kejuruteraan awam dan sebagainya.


NOORDIN mahu lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang pembangunan teknologi satelit.


Menurut Noordin, sungguhpun Malaysia masih di peringkat awal dalam bidang pembangunan teknologi satelit, namun negara tidak begitu terkebelakang dalam menggunakannya.

"Malangnya, teknologi ini sering dikaitkan dengan ketenteraan. Kawalan yang ketat oleh negara-negara yang mempunyai teknologi satelit melalui beberapa regim seperti International Traffic in Arms Regulation (ITAR) dan Missile Technology Control Regime (MTCR) membuatkan negara yang ingin melibatkan diri dalam bidang ini terpaksa melalui proses yang berliku.

"Kejayaan Malaysia menghantar beberapa jurutera ke UK untuk mempelajari teknologi membangunkan satelit pada tahun 90-an telah membuka mata negara membangun lain untuk mengikut jejak kita. Malah, ketika ini Malaysia dianggap sebagai negara pendahulu dalam teknologi satelit di Asia Tenggara," terang Noordin.

Minat anak muda

Menjelaskan lebih lanjut, Noordin berkata, teknologi satelit sebenarnya merupakan platform untuk kita merealisasikan pelbagai perkara yang lebih besar.

"Buat masa ini, Angkasa lebih menekankan kepada industri hiliran dan penggunaan teknologi satelit. Pembangunan teknologi ini akan dilaksanakan bersama institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi penyelidikan secara berhemah demi memenuhi mandat rakyat kepada Angkasa," katanya sambil memberitahu, negara masih kekurangan tenaga kerja dalam bidang satelit.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menarik minat generasi muda menyertai bidang pembangunan satelit.

"Melalui Angkasa dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kami berusaha untuk melebarkan pembangunan insan bersama IPT dan industri. Ia satu visi yang besar tetapi kami yakin kerjasama sebegini akan mempercepatkan proses pembangunan teknologi ini.

"Jika dahulu sains roket dikira sebagai teknologi yang tidak dapat dijangkau oleh negara seperti Malaysia, kini kita telah mendekati sekolah, universiti dan industri untuk sama-sama melihat kepada kepentingan teknologi ini dalam menjadi negara maju menjelang tahun 2020," terangnya lagi.

Stailo!»

Mengangkat warisan Scotland

STOKING dipakai hingga mencecah paras lutut dalam gaya pemakaian kain tartan.

Varia!»

Nilai moral rakyat Malaysia mula terhakis

PERISTIWA model memakai pakaian dalam dan menjalani sesi fotografi di tempat awam di Ipoh telah mengejutkan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16