HIBURAN

Awi Rafael jadi guru

Awi Rafael jadi guru

AWI RAFAEL pertama kali berlakon dalam drama khas sempena sambutan Hari Guru, Masih Di Awan.


NAMA penyanyi dan penulis lirik kelahiran Singapura, Awi Rafael semakin meniti di bibir peminat muzik tempatan. Lagu-lagu yang ditulisnya sering mendapat sambutan apabila dimainkan di corong-corong radio.

Single beliau berjudul Hari-Hariku yang dilancarkan pada 8 Februari lalu, mendapat sambutan hangat peminatnya. Justeru ia menyebabkan album kedua yang diberi judul Asalkan Aku Ok! turut mendapat penjualan yang memberangsangkan di pasaran Malaysia tidak kurang juga di Singapura.

Sedang hangat menjadi penyanyi, Awi kini melangkah setapak lagi apabila bakal bergelar seorang pelakon. Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Nabawi Gunawan bakal tampil dalam telemovie khas sempena sambutan Hari Guru yang berjudul, Masih Di Awan.

“Saya bersyukur kerana rezeki semakin bertambah dan sejujurnya, ini pertama kali saya akan berlakon. Dua minggu lepas, saya ditawarkan untuk menjadi seorang guru. Pihak produksi memberitahu ia watak yang memang dibuat untuk saya.

“Masih Di Awan mengisahkan tentang seorang bakal guru bernama Adam yang suka bermain muzik dan gitar. Ia juga mengisahkan tentang persepsi serta dugaan menjadi seorang guru.

“Saya diminta oleh pengarah untuk menjadi diri sendiri dan tidak salah untuk saya mencuba perkara baharu,” jelas Awi ketika majlis pelancaran telemovie tersebut bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, kerana ingin mengambil tawaran berlakon, dia terpaksa membatalkan empat persembahan yang telah disusun untuk memberi komitmen penuh terhadap lakonan.

Masih percaya pada rezeki, tutur Awi, walaupun terpaksa membatalkan empat persembahan, namun ia boleh dikatakan berbaloi. Ini kerana, single terbaharu, Hari-hariku telah dipilih untuk menjadi runut bunyi telemovie yang bakal ditayangkan pada 14 Mei ini.

“Saya melihat ia sebagai satu peluang juga untuk mempromosikan single terbaharu saya itu. Kini, saya sudah bersedia untuk menjadi pelakon dan rasakan ia masa yang sesuai kerana karier saya sebagai penyanyi juga boleh dikatakan telah kukuh dalam industri muzik di sini,” jelasnya ringkas ketika ditanya mengapa terfikir untuk berlakon kini.

Hanez tidak mahu Awi aktif berlakon

Mempunyai seorang kekasih yang juga bergelar pelakon, tutur Awi dia banyak berbincang bersama kekasihnya, Hanez Suraya sebelum menerima tawaran ini. Walaupun sentiasa menyokong karier dan keputusan yang dibuat Awi, namun, Hanez tidak menggalakkan teman lelakinya itu aktif dengan dunia lakonan.

“Hanez lebih senang jika saya hanya tumpukan perhatian pada karier nyanyian sahaja. Ini kerana, buat masa sekarang juga, sejujurnya, kami jarang berjumpa kerana masing-masing punya jadual karier yang padat.

“Mungkin dia tahu bagaimana jadual seorang pelakon dan untuk membuat dua kerja dalam dua bidang berbeza, akan padatkan lagi jadual saya kelak. Jadi, dia tidak mahu kami masing-masing terlalu sibuk sehingga tiada masa untuk berjumpa,” akui Awi jujur memberitahu tentang pendapat peribadi Hanez tentang keputusan dirinya untuk menjadi pelakon.

Telemovie Masih Di Awan akan ditayangkan di saluran TV2 pukul 10 malam bersempena Hari Guru pada 14 Mei 2013. Antara pelakon lain yang terlibat ialah Ruby Oii, Fatimah Abu Bakar, Thor Ka Hong, Jefri Sulaiman serta Tania Zahra.

Process time in ms: 16