TERKINI

Tembak menembak berlaku di 3 lokasi Tg Batu, Lahad Datu - KPN

Tembak menembak berlaku di 3 lokasi Tg Batu, Lahad Datu - KPN

06/03/2013 8:29pm

KUALA LUMPUR Tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah petang ini tatkala pasukan keselamatan meneruskan operasi susulan dan penggeledahan dalam Ops Daulat.

Pasukan keselamatan negara mula membuat pemeriksaan di perkampungan itu pada pukul 3 petang untuk menjejaki musuh yang memasuki kawasan kampung berkenaan.

"Pada kira-kira 4.15 petang berlaku tembak menembak di tiga lokasi kampung itu dan kami percaya ada musuh yang gugur, tetapi waktu ini saya tidak dapat sahkan jumlah musuh yang terkena tembakan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain pada pukul 6 petang ini, berkata tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan tiada yang dijadikan tawanan pihak musuh.

Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan dari rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

"Kami yakin masih ada saki baki pengganas di kawasan Kampung Tanduo, katanya.

Kedua-dua pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menghantar SMS kepada mereka memberi sokongan dan semangat serta diiringi doa untuk keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.

BERNAMA

Process time in ms: 16