TERKINI

Lahad Datu: Penceroboh mulakan dahulu serangan

Lahad Datu: Penceroboh mulakan dahulu serangan

01/03/2013 7:47pm

PEKAN — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah telah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau telah memberi mandat kepada Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

Najib turut mengesahkan dua anggota keselamatan Malaysia terbunuh dan tiga lagi cedera manakala 10 hingga 12 anggota kumpulan penceroboh itu terbunuh.

"Mereka (polis dan tentera) akan diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dengan apa saja mengikut budi bicara mereka tetapi kumpulan ini mesti ditumpaskan dan mereka mestilah diambil tindakan yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan penceroboh yang diketuai adik Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram, yang telah berkubu di Felda Sahabat 17 di Tungku, Kampung Tanduo, daerah Lahad Datu sejak 9 Februari lepas.

"(Kini) sama ada mereka (penceroboh) menyerah diri atau mereka terima apa jua kesan daripada tindakan mereka,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu kini dikepung sepenuhnya dan pasukan tentera laut negara telah meningkatkan tahap keselamatan di perairan bagi mengelakkan kumpulan itu melarikan diri.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu kerana sepatutnya pertumpahan darah mahu dielak daripada berlaku, akibatnya kini negara kehilangan dua anggota keselamatan.

Terdahulu Najib melancarkan jentera pilihan raya kawasan parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang. — BERNAMA

Process time in ms: 15