HIBURAN

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah



PUAS menyaksikan tiga episod awal drama arahan Zul Huzaimy yang diberi judul Bunga Merah Punya pada sesi tayangan bersama peminat dan media di Auditorium P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada minggu lalu.

Bukan hanya tumpuan dan garapan sempurna diberikan kepada dua pelakon cilik, Izz Ilham Zulkifly dan Puteri Sasha yang masing-masing mendukung peranan Merah dan Bunga semasa kanak-kanak dalam drama itu, tetapi juga kekuatan bertunjang pada keupayaan menjayakan dua watak penting drama tersebut ketika dewasa itu yang dijayakan pula oleh Izzue Islam dan Sharifah Sakinah.

Mengakui berdepan kesukaran pada awal penggambaran, namun kata Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior banyak membantunya mencorakkan karakter.

"Cabaran dalam drama ini bukan hanya berlakon tapi saya juga perlu menyanyi dan bermain gitar pada masa yang sama. Saya perlu mendalami perasaan seorang busker (penghibur jalanan) yang sememangnya sukar.

"Mujur pengalaman saya ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu memberikan sedikit sebanyak panduan berguna selain saya turut meninjau kehidupan busker sekitar Bukit Bintang, Sogo dan Pasar Seni setiap minggu," ujarnya.

Tambah Izzue, 23, latar kehidupan penghibur jalanan kini tidak sama seperti yang diceritakan dalam Bunga Merah Punya kerana kebanyakan mereka mempunyai rumah dan keluarga di Kuala Lumpur.

Penghibur jalanan

Mengimbas kembali pengalaman pertama anggota kumpulan Forteen itu ketika mula-mula tiba di ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2009, kata Izzue, dia pernah berdepan pelbagai kesukaran sebelum bergelar artis.

"Saya pernah menjadi busker lima tahun lepas ketika mula-mula berhijrah dan saya juga pernah tidur di bilik stor sebuah kedai jual pakaian terpakai tempat kawan saya berniaga di Kelana Jaya, Selangor. Ia bukan menyeksakan tapi itulah sebenarnya pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk merasainya.

"Oleh kerana itu juga, sampai sekarang saya lebih gemar tidur tanpa tilam tidak kira di rumah sendiri di Kuala Lumpur atau apabila balik ke kampung (Kelantan)," kata Izzue.

MESRA. Izzue dan Sakinah sudah tidak kekok bergandingan dalam produksi lakonan.


Percaya pada rezeki yang dianugerahkan kepadanya hari ini, getus Izzue, dia pasrah sekiranya perjalanan hidupnya kembali ke keadaan asal ketika mula-mula berada di Kuala Lumpur.

"Saya terima jika saya menjadi seperti mana diri saya yang sebelum ini malah, menjadi seorang artis sekarang ini tidak bermakna saya hidup mewah. Cuma perlu menjaga penampilan lebih daripada sebelum ini.

"Tiada siapa yang mahu kembali kepada kisah silam dan harapnya tidak. Pastinya setiap hari kita mahu semakin maju ke depan," ujarnya yang baru selesai penggambaran telefilem Mencari Syifa yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada bulan April nanti.

Selain itu, sebuah drama 13 episod berjudul Aku Tak Percaya Cinta sedang rancak ditayangkan menerusi saluran RTM di TV1 setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 6.05 petang yang menggandingkan Izzue bersama Sura Sojangi dan Reen Rahim.

Tiada keghairahan menyanyi

Bunga Merah Punya yang bersiaran setiap hari Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora TV9 pula menyaksikan permainan emosi, percintaan, persahabatan dan kehidupan mengenai Bunga yang diamanahkan untuk mencari Merah yang melarikan diri itu ketika berusia 10 tahun oleh Tuk Baen iaitu penjaga mereka sejak kecil.

Drama 13 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu juga memuatkan 15 buah lagu baharu yang ada antara lirik lagunya ditulis sendiri oleh pengarah Zul Huzaimy, sekali gus dinyanyikan oleh Izzue dan Sakinah.

Bagi Izzue, menyanyi mungkin tidak menjadi masalah besar namun berbeza pula perspektif Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, mengenai dunia nyanyian.

"Pertama kali menyanyi dalam drama lakonan adalah menerusi drama bersiri Hotel Mania tapi ketika itu peranan yang diberikan kepada saya cuma watak kecil sahaja.

"Kali ini saya perlu menyanyikan beberapa buah lagu dan dibantu oleh Izzue walaupun ada antara lagu-lagu itu dirakam pada saat-saat akhir tanpa latihan yang cukup. Namun Alhamdulillah, hasil akhirnya sedap didengar.

DRAMA BUNGA MERAH PUNYA turut menampilkan lakonan pelakon Sura Sojangi (kiri) yang bergandingan bersama Sakinah dan Izzue.


"Saya tidak suka menyanyi dan bagi saya, menyanyi hanya sekadar hobi. Lagipun pasaran semasa sudah terdapat ramai penyanyi berbakat dan saya tidak berminat untuk menceburi bidang nyanyian secara serius.

"Minat saya lebih kepada berlakon dan saya langsung tiada keghairahan untuk menyanyi. Kalau jadi penyanyi pun saya mungkin buat sambil lewa, tidak segigih berlakon," kata Sakinah.

Menerusi drama tersebut, Sakinah menyanyikan tiga buah lagu iaitu Sampaikan Rindu, Oh Bulan dan Rajuk.

Perlu jadi pendiam

Bagaimanapun tegas Sakinah, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menyanyi, malah ada antara kerja pengacaraannya memerlukan dia turut menyanyi.

"Saya boleh membuat persembahan nyanyian tapi perlu ada latihan dan individu yang menyokong serta membimbing saya," simpulnya.

Sakinah mengakui drama Bunga Merah Punya menuntut permainan emosinya yang lebih serius dan mendalam berbanding naskhah lakonan sebelum ini antaranya, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.

"Sebelum mula penggambaran lagi saya perlu mula berdiam diri untuk mendapatkan karakter Bunga yang serius dan lemah-lembut.

"Watak ini sangat berlawanan dengan karakter sebenar saya dan saya berbesar hati dapat berlakon di bawah arahan Zul Huzaimy," tambah Sakinah.

Selain Bunga Merah Punya, Sakinah bakal muncul dalam telefilem Gadis Penjual Petai dan Racun Menantu serta sebuah dram berjudul, Tiga Abdul.

Bunga Merah Punya turut dilakonkan oleh Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Zalfie Roul, Idzham Ismail, Roslan Madun, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan Nasir Bilal Khan.

Process time in ms: 63