VARIA

Derita mangsa dera emosi

Derita mangsa dera emosi

TINDAKAN ibu bapa yang menghukum secara memukul menyebabkan anak-anak menjadi trauma dan tertekan. - Gambar hiasan


TERSEBARNYA video yang menunjukkan seorang pembantu rumah mendera bayi berusia empat bulan di Kuantan, Pahang dengan cara yang agak 'pelik' seolah-olah memberikan isyarat kepada kita bahawa ibu dan bapa kandung sahajalah sebagai penjaga terbaik untuk setiap kanak-kanak.

Bagaimanapun, dalam rutin hidup kita hari ini, ia menjadi hal yang sangat mustahil, terutamanya bagi mereka yang hidup di kota besar. Suami dan isteri perlu bekerja kerana itu sahajalah cara untuk menyara kehidupan berkeluarga dengan lebih selesa.

Sebenarnya, kisah pembantu rumah atau penjaga bayi yang terlibat dengan penderaan berlaku di seluruh dunia. Kisah yang mungkin boleh dianggap 'aneh' adalah penderaan yang dilakukan oleh seorang wanita di pusat jagaan kanak-kanak di Plymouth, United Kingdom sekitar tahun 2008 hingga 2009.

Kepuasan yang gila

Vanessa George, seorang penjaga bayi dikatakan mendera sama ada secara seksual atau fizikal terhadap 30 kanak-kanak di pusat jagaan Little Ted's.

Menjadi lebih aneh, perbuatan itu memberi Vanessa satu kepuasan. Dia malah merakamkan gambar kanak-kanak tadi untuk dikongsikan dengan seorang lelaki, Colin Blanchard, yang tinggal di kawasan yang lain.

Peliknya, mereka mempunyai kesukaan yang sama. Mereka berkongsi gambar kanak-kanak yang sedang didera melalui e-mel atau sistem pesanan ringkas. Perlakuan seumpama ini biasanya dilakukan oleh manusia yang tidak normal.

Bagaimanapun, realitinya semakin ramai manusia normal yang sebenarnya sedang mendera anak-anak mereka tanpa disedari. Ia mungkin bukan dalam bentuk penderaan fizikal atau seksual seperti yang sering dilaporkan.

Penderaan fizikal mudah dikesan dengan melihat kepada perubahan fizikal. Namun, apabila ada anak-anak yang diabaikan atau diancam emosinya, ia juga bentuk penderaan. Ia hal yang selalu terjadi walaupun tidak ramai yang menyedarinya.

KAUNSELING merupakan langkah terbaik supaya kanak-kanak tidak mengalami trauma yang serius. - Gambar hiasan


Ingat, kanak-kanak tidak boleh dilayan seperti manusia dewasa. Tidak memberikan kasih sayang, menghina mereka dengan kata-kata yang kesat, memperkecilkan keupayaan mereka atau apa sahaja tindakan yang menyebabkan kanak-kanak berasa terganggu emosi juga penderaan.

Tindakan-tindakan seperti itu biasanya akan menjejaskan mereka untuk membesar bagi menjadi individu yang sempurna.

Penderaan psikologikal itu mungkin sesuatu yang sangat sukar untuk difahami. Dalam konteks budaya kita, anak-anak diminta patuh sepenuhnya pada setiap yang dikatakan oleh ibu bapa.

Tatkala anak-anak tidak dibenarkan meninggi suara terhadap orang tua, malang sekali tiada pula halangan untuk ibu bapa menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak-anak.

Tidak mempersoalkan

Dalam keadaan tertentu, ada ibu bapa yang mengeluarkan kata-kata seperti 'anak haram' kepada anak mereka sendiri. Oleh kerana anak-anak kecil itu tidak mampu mempersoalkan perkara yang dilakukan terhadap mereka, adakalanya ibu bapa merasakan boleh melakukan apa sahaja.

PENDERAAN datang dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, mental, emosi atau seksual.- Gambar hiasan


Bagaimanapun, harus diingat dalam menghukum kesalahan anak-anak, ada hukuman yang mungkin boleh menjejaskan perkembangan diri mereka. Hukuman seperti tidak memberikan makanan, membiarkan mereka kesejukan di bilik air atau meninggalkan anak-anak di rumah bersendirian adalah bentuk penderaan yang patut dihindarkan.

Walaupun kita mungkin tidak bermaksud untuk mendera kanak-kanak, tetapi ia boleh ditafsirkan sebagai 'pengabaian' yang sebenarnya juga merupakan penderaan.

Pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga, perceraian atau kesulitan ekonomi biasanya sering berdepan dengan masalah seperti ini.

Walaupun tidak melakukan sebarang tindakan yang mencederakan kanak-kanak secara fizikal, tetapi emosi anak-anak telah terjejas dengan teruknya.

Lebih buruk, kita mungkin sedang membesarkan anak-anak menjadi manusia yang bakal menjadi manusia yang buruk perilakunya.

Kajian-kajian sejauh ini menunjukkan bahawa anak-anak yang mengalami masalah seumpama ini biasanya menjadi manusia bermasalah pada kemudian hari.

Child Welfare Information Gateway pada tahun 2008 melaporkan bahawa kanak-kanak yang didera adalah 11 kali ganda berpeluang untuk ditangkap kerana salah laku juvana, 2.7 kali ditahan kerana kesalahan berkait keganasan ketika dewasa dan 3.1 kali berpotensi untuk terlibat dengan jenayah.

Semua ini adalah petunjuk bahawa apa yang dilakukan oleh manusia dewasa terhadap kanak-kanak bakal membentuk mereka sama ada menjadi manusia berjaya atau durjana.

Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya.

Infiniti!»

Terbang, rakam dan analisis imej

PELAJAR UTM (dua dari kiri) menerangkan bagaimana UAV dikawal menggunakan perisian khas dari paparan skrin komputer.

Varia!»

Belia Islam Belgium kunjungi Terengganu

TERUJA. Ahli-ahli belia islam Belgium tidak ketinggalan mencuba memainkan alat muzik tradisional

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0