HIBURAN

Hasrat ke Pulau Kapas tidak kesampaian

Hasrat ke Pulau Kapas tidak kesampaian


MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyampaikan sumbangan kepada Kamariah ketika menziarahi jenazah pelakon itu di Taman Rasmi Jaya, Ampang semalam.


MASIH segar dalam ingatan lakonan pelakon veteran Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang melakonkan watak suami yang beristeri dua dalam filem Seniman Bujang Lapok. Dialog dan gelagatnya yang pandai mengambil hati kedua-dua isterinya begitu berkesan walaupun dia bukanlah teraju utama dalam filem tersebut.

Kini, pelakon berusia 75 tahun itu sudah tiada. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.07 petang kelmarin di Hospital Ampang, Selangor akibat penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar yang dihidapinya sejak empat tahun lalu.

Allahyarham yang berasal dari Singapura meninggalkan dua balu, Fatimah Ahmad, 70, dan Kamariah Mohd. Said, 58, serta sembilan anak, 14 cucu dan seorang cicit.

Ironinya, hasrat Allahyarham yang ingin bercuti ke Pulau Kapas bersama keluarganya jika kesihatannya pulih tidak kesampaian.

Menurut anak ketiganya daripada perkahwinan kedua Allahyarham iaitu Mohd. Irwan, 27, sebelum meninggal dunia bapanya ada meluahkan hasrat untuk pergi bercuti ke Pulau Kapas bersama keluarga.

“Sebelum meninggal, arwah ayah ada beritahu tentang keinginannya ke Pulau Kapas apabila sihat, tetapi hasratnya tidak kesampaian,” ujarnya.

Ujar Irwan, arwah disahkan meninggal dunia dalam keadaan koma selepas mengalami muntah darah.


PADA 7 Oktober lalu, Kuswadinata dimasukkan ke Hospital Ampang kerana mangalami masalah buah pinggang yang kronik.


“Arwah ayah dimasukkan ke Hospital Ampang sejak enam hari lalu dan koma selama tiga hari sebelum menghembuskan nafas terakhir,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Irwan memberitahu bahawa arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Kamariah dan seluruh ahli keluarga.

Jelas Irwan, bapanya telah dikebumikan sebelum waktu Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Ampang, semalam.

Allahyarham yang memulakan kerjaya lakonan di Malay Film Production, Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1957 telah membintangi lebih 30 filem sepanjang hayatnya.

Filem pertama Allahyarham adalah Orang Lichin, di samping Datuk S. Roomai Nor dan selepas itu nama Allahyarham mula dikenali menerusi filem Antara Dua Darjat (1959) arahan Tan Sri P. Ramlee.

Beliau juga pernah berlakon dalam filem Indera Bangsawan bersama Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Sarimah dan Haji Mahadi.

Namun begitu, watak lakonan Allahyarham yang paling diingati ialah sebagai suami beristeri dua dalam filem Seniman Bujang Lapuk arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1961.


KAMARIAH setia menemani suaminya yang sudah terlantar sakit sejak empat tahun lalu.


Beliau yang terkenal sebagai pelakon versatil pernah menerima pengiktirafan Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007.

Filem-filem lain lakonannya adalah Seniman Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, KLU, Kaki Bakar, Tarik-Tarik, Sikit Punya Gila, Jejak Bertapak, Kaca Permata, Kala Malam Bulan Mengambang dan Jalang.

Allahyarham adalah seniman filem Melayu yang banyak berjasa untuk perfileman Melayu. Allahyarham yang dilahirkan pada 8 September 1938 di Jalan Thomson Singapura, akhirnya meninggalkan kita pada 16 Februari 2013 di usia 74 tahun. Al-Fatihah.

Infiniti!»

Projek robotik pelajar ke Rusia

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.

Varia!»

KLwyse imbau nostalgia silam

Pos Malaysia akan meraikan sambutan 160 tahun penggunaan setem di negara ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 32