DUNIA

Tragedi berdarah Hari Kekasih

Tragedi berdarah Hari Kekasih


GAMBAR yang disiarkan semalam oleh pihak Ice Models menunjukkan wajah Steenkamp. - AFP


PRETORIA - Polis Afrika Selatan semalam mendakwa atlet paralimpik terkenal di negara ini, Oscar Pistorius kerana menembak mati kekasihnya yang juga model, Reeva Steenkamp di rumahnya.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Pistorius menembak mati model berusia 30 tahun kerana menyangka dia seorang perompak.

"Saya boleh mengesahkan bahawa seorang suspek telah didakwa. Dia didakwa melakukan pembunuhan," kata seorang pegawai polis, Leftenan Kolonel Katlego Mogale kepada agensi berita AFP.

Pistorius yang berusia 26 tahun dikenali kerana menggunakan dua bilah kaki palsu semasa dia berlari.

Dia akan bermalam di lokap sebelum dihadapkan ke mahkamah pada hari ini.

Polis enggan membenarkan Pistorius diikat jamin.

Menurut polis, kekasih pelari itu ditembak empat kali di kepala dan tangan.

Peluru itu dilepaskan dari sepucuk pistol yang dimiliki oleh atlet tersebut, jelas polis.

"Ia merupakan pistol berlesen. Lesen itu kepunyaan Pistorius," kata jurucakap polis, Denise Beukes.

Motif kejadian masih belum diketahui.

Pistorius menjadi selebriti antarabangsa apabila dia menjadi atlet paralimpik bertanding pada Sukan Olimpik di London.

Dia berjaya bertanding sehingga ke peringkat separuh akhir 400 meter pada sukan tersebut.

Penangkapannya itu menggemparkan Afrika Selatan kerana dia dianggap sebagai hero negara.

"Kami terkejut," kata bapanya, Henke Pistorius.

Menurutnya, dia kini berada bersama polis dan mahu pihak berkuasa menyelesaikan kes tersebut.

Steenkamp yang pernah menjadi penghias kulit majalah FHM dianggap sebagai manusia paling baik dan manis oleh agensi pengurusannya, Sarit Tomlins.

Kedua-dua kakinya dipotong dari paras lutut semasa berusia 11 bulan kerana dia tidak mempunyai tulang kaki semasa dilahirkan.

Sebelum ini dia dilarang bertanding pada Sukan Olimpik di Beijing oleh Persekutuan Persatuan Atlet Antarabangsa kerana menganggap kaki palsunya memberi kelebihan kepadanya berbanding peserta lain.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan. - Agensi

Process time in ms: 47