NEGARA

Hutan digondol tanpa kawalan

Hutan digondol tanpa kawalan

BEGINILAH keadaan kawasan hutan yang didakwa digondolkan tanpa kawalan untuk kegiatan pertanian di Lojing.


GUA MUSANG – Aktiviti pembersihan dan penggondolan hutan di kawasan Lojing di sini bagi tujuan pertanian didakwa dilakukan tanpa sebarang kawalan dan pemantauan pihak berkuasa sehingga berlaku pencemaran alam yang serius.

Presiden Orang Muda Bersatu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad (gambar kecil) mendakwa, keadaan Sungai Belatop yang merupakan sumber air masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan yang kini tercemar adalah bukti kerja-kerja yang dijalankan tidak mengikut piawaian atau prosedur yang ditetapkan.

Dakwanya, walaupun aktiviti berkenaan dijalankan melalui proses perundangan yang betul, sebahagian kawasan yang dimajukan tidak mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

“Kerja-kerja tersebut mendapat kebenaran daripada Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Namun, saya berani katakan sebahagian kawasan yang dimajukan tidak mendapat kelulusan EIA kerana untuk melakukan pertanian, ia memerlukan satu laporan lengkap membabitkan kecerunan bukit, kedudukan tanah, pembuangan hasil sisa dan salirannya,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Tegasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) didesak agar lebih telus dalam menyatakan kebenaran dan mengemukakan satu laporan yang jelas untuk dimaklumkan kepada rakyat berhubung isu berkenaan.

“Pada saya, JAS adalah jabatan yang betul-betul layak dan ada kredibiliti untuk menjawab persoalan ini khususnya membabitkan alam sekitar, ekosistem dan saliran sungai di kawasan Lojing,” tambahnya.

Beliau mendakwa, selain masalah alam sekitar yang wujud hasil penerokaan tanah yang begitu rakus, kedudukan dan masa depan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan terutama penempatan di sepanjang tebing Sungai Belatop juga perlu diberi perhatian.

Katanya, sebagai masyarakat yang sudah lama menghuni kawasan berkenaan, nasib Orang Asli tidak boleh diketepikan terutama apabila penerokaan itu ternyata menjejaskan kehidupan mereka dari segi punca pendapatan dan sumber air.

“Selama ini, Orang Asli bergantung hidup kepada air sungai tetapi sekarang mereka tidak dapat menggunakannya lagi kerana sudah tercemar teruk.

“Orang Asli juga perlukan tanah untuk pertanian dan kehidupan tetapi apa yang berlaku, kerajaan Pas Kelantan tidak merizabkan tanah pertanian untuk mereka dan jika ada, ia hanyalah tanah penempatan sedangkan ia bertentangan dengan Akta Orang Asli,” dakwanya.

Process time in ms: 31