SUKAN

Skuad hoki negara terpaksa korban cuti Tahun Baru Cina

Skuad hoki negara terpaksa korban cuti Tahun Baru Cina

CHUA Boon Huat (kiri) terpaksa melupakan perayaan Tahun Baru Cina demi tugas dengan skuad hoki negara.


SKUAD hoki lelaki senior negara bakal turun dalam tiga siri perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Ireland bermula hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Siri perlawanan ujian tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada beberapa pemain veteran serta pemain muda menunjukkan peningkatan mereka.

Selepas beberapa bulan ketua jurulatih, Paul Revington mengambil alih pasukan kebangsaan, siri ujian itu diharap dapat meningkatkan momentum serta prestasi pasukan yang sebelum ini mencatatkan keputusan membanggakan bermula pada Cabaran Hoki Juara-Juara 1 di Argentina tahun lepas serta Trofi Juara-Juara Asia.

Beberapa pemain senior yang 'digugurkan sementara' sebelum ini, kembali disenaraikan untuk perlawanan ujian kali ini seperti Mohd. Amin Abd. Rahim, Chua Boon Huat, Jivan Mohan dan Ismail Abu.

Selain itu, pemain veteran dan berpengalaman negara, Chua Boon Huat terpaksa melupakan seketika perayaan Tahun Baru Cina yang disambut hari ini kerana terpaksa memikul tanggungjawab lebih besar bagi mengharumkan nama negara.

"Perlawanan ujian itu penting buat barisan kejurulatihan memberi pendedahan antarabangsa buat pemain-pemain negara serta memperbaiki sebarang kekurangan yang ada.

"Kami tidak menyenaraikan penjaga gol, S. Kumar dan penyerang, Faizal Shaari yang masih bermain di Liga Hoki India manakala Nabil Fiqri, Izwan Firdaus dan Hafifi Hafifiz masih cedera manakala Baljit Singh masih bercuti kerana baru melangsungkan perkahwinan," kata pengurus pasukan, George Koshy.

Menurut Koshy, turut tidak disenaraikan kali ini ialah M. Jiwa, Mohd. Noor Faeez Ibrahim, Mohd. Syamim Yusof dan Mohd. Sallehin Ghani.

"Selain itu juga, jurulatih ingin menggunakan perlawanan ujian ini bagi menguji pemain-pemain baharu yang tidak tersenarai ke Argentina dan Doha dahulu.

"Selepas tiga aksi ini, kami masih ada dua perlawanan ujian menentang New Zealand sebelum jurulatih mengumumkan senarai penuh yang akan menggalas cabaran pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah bulan depan," kata Koshy.

Dalam pada itu, pasukan negara bakal menghadapi dua kejohanan besar tahun ini iaitu separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru dan Piala Asia di Ipoh yang mana kedua-duanya menawarkan tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2014.

Senarai skuad negara:

Amir Farid, Azlan Misron, Chua Boon Huat, Faiz Helmi, Ismail Abu, Jivan Mohan, Kairulnizam Ibrahim, Roslan Jamaluddin (penjaga gol), Hazrul Faiz, Sukri Mutalib, Izad Hakimi, Fitri Saari, Shahrun Nabil (kapten), Amin Rahim, Azammi Adabi, Ramadan Rosli, Amerullah Aziz, Marhan Jalil, Razie Rahim, Norhizzat Sumantri, Tengku Ahmad Tajudin.

Process time in ms: 16