HORIZON

Tinggalan perang di Batu Maung

Tinggalan perang di Batu Maung


BAHAGIAN dalam kompleks pertahanan yang dipercayai tempat menyimpan peluru meriam British.


DARI bawah Bukit Batu Maung, Pulau Pinang kelihatan sekumpulan anggota tentera dengan seragam seluar khaki berwarna hijau tua segak berbaris dengan raifal jenis Lee Enfield Mk III tersandang di bahu. Sayup-sayup terdengar suara lantang pegawainya memberi arahan, lalu barisan anggota tentera yang memakai helmet besi itu mengatur langkah pantas menyusuri jalan untuk naik ke puncak bukit.

Mereka adalah anggota Bateri Pertahanan Pantai Pulau Pinang yang bertanggungjawab mengendalikan Kompleks Pertahanan Rejimen Artileri British di bukit itu bagi melindungi Pulau Pinang daripada ancaman musuh.

Terletak di ketinggian 75 meter dari aras laut, kedudukan Bukit Batu Maung atau juga dikenali sebagai Bukit Punjab oleh penduduk tempatan kerana diawasi tentera British berbangsa Punjab sangat strategik.

Kompleks artileri Batu Maung digeruni kerana menempatkan dua laras meriam Mk. 24 berkaliber enam inci dan empat meriam empat inci yang cukup ampuh untuk memusnahkan kapal-kapal musuh sehingga pada jarak sejauh 24 kilometer (km).

Meriam-meriamnya itu juga boleh berpusing pada kedudukan sehingga 180 darjah, sekali gus mampu melindungi kira-kira tiga perempat daripada kawasan Pulau Pinang.

Ia juga kalis serangan udara kerana turut mempunyai bilik kawalan bawah tanah yang dibina dengan dinding konkrit tebal serta kubu-kubu bagi melindungi anggota tentera.


SALAH satu tempat kurungan tentera Jepun yang boleh disaksikan di Muzium Perang Pulau Pinang.


Kalis serangan udara

Kompleks pertahanan yang berkeluasan kira-kira lapan hektar itu dibina oleh Kor Jurutera Diraja Britsh dan buruh-buruh tempatan sekitar tahun 1938 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian.

Ia sebahagian daripada pelan menggandakan kekuatan tentera British di Pulau Pinang setelah pulau itu dinaik taraf sebagai kota pertahanan kedua terpenting bagi Empayar Inggeris di Tanah Melayu selepas Singapura pada 1937.

Malangnya, kompleks pertahanan Batu Maung yang disifatkan tentera British sebagai yang terkuat di utara Tanah Melayu bagaimanapun sekadar gah pada nama.

Mengikut catatan sejarah, tiada sebutir peluru pun sempat dilepaskan daripada laras meriam-meriam di situ semasa tentera Jepun mara ke Pulau Pinang selepas menggempur Jitra, Kedah.

Jangkaan tentera Jepun melancarkan serangan dari arah laut meleset. Sebaliknya serangan pertama dilancarkan menggunakan 85 pesawat pengebom ke atas Pelabuhan Pulau Pinang dan George Town pada 12 Disember 1941.

Muzium perang

Tentera Jepun kemudian mengambil alih Kompleks Pertahanan Bukit Batu Maung dan menjadikannya pusat tahanan dan penyeksaan selama lebih dua tahun sehingga Ogos 1945 setelah Perang Dunia Kedua berakhir.

Sejak itu, kubu pertahanan Batu Maung ditinggalkan sepi sehingga ditumbuhi hutan belukar. Sejak itu pelbagai kisah dijaja dari mulut ke mulut oleh penduduk tempatan.


SEBAHAGIAN gambar lama dipamerkan memberikan gambaran suasana sebenar kompleks berkenaan suatu masa dahulu.


Ada yang bercerita kubu Batu Maung merupakan kawasan keras dan berhantu kerana pernah dijadikan kem menyeksa tahanan perang Jepun. Tidak kurang juga mendakwa pernah melihat bayangan hantu tentera Jepun walaupun kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, selepas lebih 60 tahun, kubu Batu Maung dipulihara untuk dijadikan sebuah muzium terbuka oleh pihak swasta iaitu Penang War Museum Sdn. Bhd. diketuai pengurusnya, Johari Shafie.

Muzium Perang Pulau Pinang yang dibuka kepada orang ramai pada tahun 2002 bagi merasai serta melihat kehebatan kompleks meriam dan pertahanan tinggalan Perang Dunia Kedua hasil teknologi kejuruteraan British.

Struktur kubu-kubu konkritnya dibiarkan dalam keadaan asal seperti mana semasa digunakan oleh tentera British dahulu. Kesan-kesan peluru dan letupan bom juga dapat dilihat pada beberapa dinding kubu.

Kunjungan ke Muzium Perang Pulau Pinang dengan menyusuri laluan pejalan kaki yang disediakan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melawat keseluruhan kompleks yang di kelilingi belukar.

Bagaimanapun bagi peminat sejarah ketenteraan, dua atau tiga jam di sini tidak mencukupi untuk bernostalgia sambil menggambarkan suasana peperangan yang pernah berlaku suatu ketika dahulu.

Process time in ms: 31