NEGARA

Seorang lagi mati ditembak

Seorang lagi mati ditembak


POLIS memerhati mayat penjenayah yang mati ditembak di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Kuala Krai semalam.


KOTA BHARU - Polis menembak mati seorang lagi anggota Geng Aime, kumpulan penjenayah yang giat merompak menggunakan senjata api, ketika suspek cuba menetak seorang pegawai polis dengan sebilah pedang di kawasan berhampiran air terjun Gunung Stong, Kuala Krai semalam.

Suspek berusia 27 tahun tersebut mati ditembak pada pukul 11.45 pagi. Selain merampas pedang berukuran 75 sentimeter, polis turut menemui wang RM6,150 dan beberapa biji pil kuda daripada suspek yang berasal dari Paka, Terengganu itu.

Difahamkan, suspek diburu selepas dia dan seorang rakannya berjaya meloloskan diri ketika serbuan di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Ahad lalu. Dalam serbuan pukul 1 petang itu, dua lagi rakannya mati ditembak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bergegas ke kawasan air terjun tersebut selepas menerima maklumat daripada orang kampung pada pukul 10.30 pagi mendakwa ternampak kelibat suspek sedang berjalan kaki di situ.

"Ketika sedang membuat kepungan, suspek cuba menetak salah seorang pegawai berpangkat Inspektor dengan pedang. Untuk mempertahankan diri, pegawai berkenaan telah melepaskan satu das tembakan ke arah suspek yang menyebabkan kematiannya," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, polis menembak mati dua penjenayah bergelar Geng Aime yang aktif melakukan rompakan bersenjata sejak setahun lalu di Kampung Sungai Sam. Dua lagi rakan mereka ketika itu berjaya melarikan diri dalam kejadian berbalas tembak tersebut.

Kejadian pukul 1 petang itu berlaku apabila polis mengesan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki empat suspek tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Semakan mendapati, sebelum itu, mereka telah menyamun seorang kerani berusia 23 tahun di sebuah syarikat di Kuala Krai yang baru mengeluarkan wang RM50,000 daripada sebuah bank.

Menurut Jalaluddin, pihaknya kini sedang memburu seorang lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Process time in ms: 16