URBAN

Kesinambungan cinta Wawa-Bobby

Kesinambungan cinta Wawa-Bobby

SAKSIKAN aksi komedi menarik dalam Wawa Semput.


PERCINTAAN antara seorang eksekutif wanita di sebuah syarikat korporat, Wawa dan seorang mat rempit bernama Bobby berdepan dengan pelbagai konflik dengan kehadiran orang ketiga iaitu Ismat.

Antara Bobby atau Ismat, siapakah yang bakal menjadi pilihan Wawa? Saksikan Wawa Semput di pawagam terdekat minggu ini.

Turut menemui kaki wayang, sebuah filem yang menceritakan perjuangan hidup atau mati seorang pembunuh upahan yang bekerjasama dengan seorang detektif muda untuk menyelesaikan satu kes besar menerusi filem Bullet To The Head lakonan mantap Sylvester Stallone.

Dalam pada itu, sebuah filem aksi berbahasa Tamil yang turut dibintangi supermodel Malaysia, Amber Chia dan pelakon berbakat besar, Afdlin Shauki berjudul Ops Kossa Dappa 3 mengajak penonton meneruskan cabaran adrenalin minggu ini.

Adakah usaha pihak polis yang sedang memburu seorang ketua penjenayah berjalan lancar apabila mereka sering dihalang oleh seorang bomoh yang memiliki kuasa mistik?

Layar Perak minggu ini juga mempersembahkan sebuah filem aksi Bollywood berjudul Race 2. Saksikan pembalasan dendam Ranveer memburu pembunuh kekasihnya, Sonia, tanpa persiapan untuk berdepan ancaman yang menantinya.

Wawa Semput

Tarikh tayangan: 31 Januari 2013

Durasi: 1 jam 30 minit

Genre: Komedi

Pengarah: Ismail Bob Hasim

Pelakon: Yana Samsudin, Angah Raja Lawak, Along Raja Lawak

Sinopsis: Konflik cinta antara Bobby dan Wawa dalam filem Adnan Sempit masih belum selesai. Bobby dan Wawa sedang menghadapi masalah dalam perhubungan mereka apabila Wawa dituduh bermain kayu tiga dengan Ismat.

Wawa yang sudah bosan dengan gaya hidup samseng Bobby bertindak untuk memutuskan hubungan dan pulang ke kampung halamannya. Walaupun Bobby cuba memenangi hatinya semula, Wawa sudah tidak peduli dan enggan memberikan peluang kepada Ismat.

Bobby yang tidak berpuas hati pergi melawat kampungnya, mengakibatkan saingan antara dirinya dengan Ismat wujud demi mendapatkan Wawa. Pada masa yang sama, cinta tiga segi itu berdepan cabaran lain untuk memujuk ayah Wawa, Pak Kudin, menerima mereka. Tanpa diduga kawan baik Wawa, Ayuni, mula menaruh hati terhadap Ismat. Apa yang akan terjadi dalam hubungan yang penuh masalah ini?



Bullet To The Head

Tarikh tayangan: 31 Januari 2013

Durasi: 1 jam 31 minit

Genre: Aksi, jenayah

Pengarah: Walter Hill

Pelakon: Sylvester Stallone, Sung Kang, Jason Momoa, Sarah Shahi

Sinopsis: Sylvester Stallone kembali dengan babak aksinya dan kali ini dia memegang watak pembunuh upahan yang ditugaskan untuk bekerjasama dengan seorang detektif muda dari NYPD menyiasat satu kes besar. Mereka kemudian telah terlibat dalam satu pembunuhan secara tidak langsung dan mereka harus menumpaskan penjahat tersebut dengan apa cara sekalipun walau terpaksa berkorban nyawa.

Ops Kossa Dappa 3

Tarikh tayangan: 31 Januari 2013

Durasi: 1 jam 44 minit

Genre: Aksi

Pengarah: K. Annan Joseph

Pelakon: Priyanka Kothari, Kadhal Dhandabani, Sashitaran, Amber Chia

Sinopsis: Francais Ops Kossa Dappa 3: The Final Dappa menampilkan bintang Bollywood, Priyanka Kothari dan Kadhal Dhandapani serta beberapa artis tempatan antaranya Amber Chia dan Afdlin Shauki. Kisah bermula apabila sekumpulan polis mendapati usaha mereka untuk menangkap seorang ketua penjenayah telah dipermainkan oleh seorang bomoh yang menggunakan kuasa mistik untuk menyelesaikan kes tersebut.


KEMUNCULAN pelakon berbilang kaum dalam Ops Kossa Dappa 3.


Race 2

Tarikh tayangan: 31 Januari 2013

Durasi: 2 jam 26 minit

Genre: Aksi, ngeri

Pengarah: Abbas Burmawalla, Mustan Burmawalla

Pelakon: Saif Ali Khan, Deepika Padukone, John Abraham, Jacqueline Fernandez, Anil Kapoor

Sinopsis: Selepas kematian kekasih dan rakan kongsi Ranveer iaitu Sonia, hati Ranveer dipenuhi kemarahan yang membara. Pelbagai personaliti Ranveer didedahkan semasa dia membalas dendam kematian Sonia dalam Race 2. Ranveer dibantu oleh pembantu peribadi baharunya, Cherry dan teman rapatnya Arman, Aleena dan Omisha untuk menyelesaikan misi tersebut. Armaan Mallick ialah ketua mafia India di Turki dan mendalangi kumpulan penjenayah terhebat di negara itu bersama rakan kongsinya, Aleena.

Process time in ms: 63