GARAJ

Terbukti jimat bahan api

Terbukti jimat bahan api


SESI pandu uji kali ini melibatkan ujian keefisienan penggunaan bahan api Mirage.


SELEPAS dilancarkan secara rasmi pada 19 November 2012, pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menganjurkan satu sesi pandu uji Mirage melibatkan sekumpulan pengamal media baru-baru ini.

Bertujuan menguji kecekapan bahan api yang mampu ditawarkan oleh Mirage, destinasi yang dituju melibatkan perjalanan sejauh lebih 200 kilometer (km). Sesi pertama pandu uji bermula dari Petaling Jaya, Selangor menuju ke Avilion Resort, Port Dickson sejauh 135km membuatkan semua peserta berada dalam mode kompetitif kerana kami perlu mencatatkan penggunaan bahan api terbaik.

'Pertandingan' kali ini berbeza sedikit berbanding apa yang pernah saya pernah sertai sebelum ini. Peserta tidak dibenarkan untuk mengubah suhu pendingin hawa (18 darjah selsius) dengan kipasnya berada pada kedua untuk varian manual dan tiga bar (transmisi automatik).

Bagi mengelakkan mana-mana peserta mengubah setting tersebut, pita pelekat dilekatkan pada tombol kawalan pendingin hawa. Jadi, memang tidak boleh menipu. Justifikasinya mudah, mana ada orang pandu kereta tidak pasang pendingin hawa sambil tutup cemin dan memandu pada kelajuan bawah 100 kilometer sejam (km/j) di Malaysia.

Bukan itu sahaja, bagi mengelakkan peserta daripada memandu terlalu perlahan, kami perlu sampai dalam tempoh dua jam setengah. Saya digandingkan dengan wartawan Harian Metro, Erywan Norshal dan memandu Mirage bertransmisi manual.


PAPAN pemuka Mitsubishi Mirage ini cukup ringkas dan kemas.


Secara kasarnya, memang varian itu memberi kelebihan kepada kami. Tetapi percaya atau tidak, penjimatan varian transmisi CVT sebenarnya adalah lebih baik jika dipandu dengan betul.

Selepas memandu dalam kelajuan sekitar 80 hingga 100km/j, kami berjaya memperoleh catatan yang baik iaitu 28.53 kilometer bagi setiap liter petrol (km/l). Catatan itu nyata melebihi apa yang didakwa oleh Mitsubishi, sekitar 21 km/l. Apa yang memeranjatkan saya, ada kumpulan yang memandu varian CVT mampu mencatatkan penggunaan minyak 30.56 km/l! Boleh tahan juga jimatnya Mirage ini.

"Tujuan pandu uji ini diadakan adalah untuk membuktikan bahawa penggunaan minyak sekitar 21.1 km/l memang boleh dicapai dalam kondisi pemanduan sebenar," kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tetsuya Oda.

Habis sudah pertandingan, sesi kedua yang berbaki 80 kilometer membolehkan saya menguji karekter sebenar Mirage manual. Pendek kata, sebagai sebuah kereta kompak yang memang direka untuk penjimatan bahan api, prestasinya tidaklah mengecewakan.

Enjin tiga silinder dapat berkolaborasi dengan kotak gear lima kelajuan itu dengan baik, penukaran enjinnya lancar. Bagi mengurangkan keletihan kaki jika terpaksa memandu dalam kesesakan jalan raya, klacnya cukup lembut.


KAPASITI ruang simpanan barangan dalam kereta kompak baharu ini agak memuaskan.


Jalan kampung yang berbengkang-bengkok dengan selekoh tajam turut menguji pengendalian Mirage. Walaupun ada masanya olengan tubuhnya agak terasa. Ini disebabkan oleh titik gravitinya tidaklah serendah kereta Lotus. Namun keadaan itu masih boleh dimaafkan. Moralnya, jangan pandu terlalu laju, tahu kemampuan kereta anda.

Keesokan harinya, juara dua kali Rali Dakar, Hiroshi Masuoka membuat demonstrasi pemanduan lasak Mirage di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) yang terletak di Ayer Keroh, Melaka.

Selain mahu menunjukkan keupayaan Mirage mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi, pandu uji tersebut juga membuktikan jentera itu boleh bertahan jika dipandu dengan lasak.

Walaupun nampak kompak, ruang kabinnya terasa agak luas. Ruang kepala dan kaki memberikan kelegaan kepada pemandu dan penumpangnya. Fabrik warna hitam yang digunakan pada tempat duduk nampaknya boleh bertahan untuk beberapa tahun akan datang tanpa sebarang masalah.

Papan pemuka Mirage kemas dengan unit audio binaan dalam jenama Kenwood. Bukan sekadar mudah dioperasi, malah lampu latarnya juga boleh bertukar warna. Bagi varian manual, banyak ciri yang lebih mewah seperti butang Start/Stop atau sistem kemasukan tanpa kunci tidak disertakan bersama.

Ditawarkan dalam tiga varian iaitu GL (manual), CVT GL dan CVT GS, anda boleh memiliki Mirage pada harga bermula RM55,328 hingga RM63,120 (di atas jalan tanpa insurans).

Memang betul, ia tidaklah semurah kereta jenama nasional. Tetapi saya boleh katakan bahawa jika anda tidak kisah berbelanja lebih sedikit, Mirage mungkin boleh memenuhi ekspektasi anda.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16