RENCANA UTAMA

Kos operasi cabaran tubuh sekolah tahfiz

Kos operasi cabaran tubuh sekolah tahfiz

Sekolah tahfiz terpaksa menggunakan yuran bulan yang tinggi bagi menampung keperluan pusat tersebut.


LOKMAN mengajar para pelajar membaca al-Quran dari satu ayat ke ayat lain.


TERLETAK di Taman Putra Kajang, Selangor, premis baharu Akademi Darul-Huffaz mudah diakses dari Lebuh raya Sistem Lingkaran Luar Kajang (Silk).

Premis tiga tingkat itu bukan sahaja menempatkan asrama pelajar lelaki, malah pusat pembelajaran, pejabat, sebuah restoran dan kedai alat-alat tulis.

Asrama pelajar perempuan dan kelas pengajian mereka serta pusat bimbangan kanak-kanak terletak di blok berasingan.

Pengurusan akademi tahfiz ini dijalankan secara profesional dan sistematik. Ia bagi memastikan para pelajar mendapat pendidikan berkualiti seiring visi pusat tersebut yang ingin melahirkan golongan tahfiz profesional dan terbaik di dunia.

"Kami benar-benar serius dalam melahirkan golongan tahfiz tanpa mengira peringkat umur. Kami ingin menjadi sekolah tahfiz dan sains terbaik di dunia pada tahun 2015. Kami menyasarkan pembukaan 1,000 francais sekolah tahfiz dan mahu menjadi sebuah universiti terunggul pada tahun 2025.

"Seiring dengan matlamat tersebut, kami perlu mengenakan bayaran tertentu kepada para pelajar. Ia bagi menampung kos operasi dan kelangsungan kami dalam bidang ini," kata Pengasasnya, Lokman Shazly Al-Hafiz Al-Maulawi Zaharin.

Cabaran besar akademi tahfiz berkenaan ialah kos operasi yang tinggi merangkumi sewa bangunan, gaji guru, bil-bil utiliti dan makanan pelajar yang melebihi ratusan ribu ringgit sebulan.

Para pelajar juga perlu membayar kos pengajian sebanyak RM990 sebulan bagi pengajian peringkat sekolah rendah.

"Yuran bulanan tersebut nampak agak mahal tetapi ia masih belum mencukupi untuk menampung kesemua kos operasi Akademi Darul-Huffaz. Ia hanya dapat menampung 95 peratus daripada kos operasi akademi. Jika ada pihak luar menghulurkan sumbangan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami.

"Bagi anak Selangor, Lembaga Zakat Selangor membantu mereka sebanyak RM150 sebulan tetapi jumlah tersebut kecil berbanding yuran yang dibayar. Jika kadar yuran lebih rendah, saya yakin lebih ramai ibu bapa mampu menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz sains," katanya.


TINGKAT atas bangunan kedai dijadikan tempat riadah para pelajar di Akademi Darul-Huffaz, Kajang.


Bantuan kewangan

Justeru, Lokman Shazly berharap kerajaan dapat memberi bantuan kewangan atau menampung sebahagian daripada yuran para pelajar terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Akademi Al-Quran Cinta Madinah, Beranang juga turut berdepan kekangan sumber kewangan. Kadar yuran bulanan RM350 bagi setiap pelajar masih tidak dapat menampung operasi akademi tahfiz berkenaan.

Pengasasnya, Rahimi Shamsuddin berkata, pihaknya menyewa rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan pada kadar RM550 sebulan. Kutipan yuran itu turut digunakan untuk perbelanjaan makan minum pelajar, bil air dan elektrik.

"Fokus untuk melahirkan pelajar tahfiz menguatkan semangat kami dalam meneruskan perjuangan ini. Bantuan dan sumbangan badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan secara tidak langsung dapat meringankan beban tersebut.

"Sekiranya kerajaan turut membantu pasti akademi tahfiz akan lebih kukuh sekali gus melahirkan ahli tahfiz yang berkualiti dan mempunyai sahsiah tinggi," katanya.

Bagi Sekolah Menengah Islam IQKL di Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, lokasi bangunan yang strategik menyebabkan sekolah berkenaan dapat beroperasi dengan baik.

"Syukur, kami dapat melatih dan melahirkan ramai pelajar yang hebat dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Masyarakat sekeliling juga banyak memberi sumbangan terhadap sekolah dan ia digunakan untuk perjalanan sekolah ini.

"Dalam pada itu, para pelajar juga dikenakan yuran bulanan sebanyak RM650. Seramai 25 pelajar anak yatim IQKL ditaja oleh pihak-pihak tertentu," kata pengetuanya, Nor Azimah Mohd. Ghazali.

Process time in ms: 15