RENCANA UTAMA

Jangan takut jalani rawatan kemoterapi

Jangan takut jalani rawatan kemoterapi



SEJAK setengah kurun yang lalu, kemoterapi berperanan dalam usaha mengekang penyakit kanser. Namun, di sebalik jasa dan kepentingan kemoterapi yang agak terkehadapan dalam bidang perubatan, rawatan tersebut tidak lari daripada dimomokkan dengan kepercayaan karut dan salah faham.

Lebih mendukacitakan, hampir kebanyakan daripada kita hakikatnya tidak mempunyai pengetahuan bagaimana ia berfungsi dalam menangani penyakit pembunuh nombor satu itu. Pengalaman keluarga terdekat yang menghidap kanser payudara sedikit sebanyak mengubah persepsi negatif penulis terhadap rawatan kemoterapi.

Hasil pemerhatian penulis mendapati selepas sesi kemoterapi dijalankan, pesakit mengalami keguguran rambut selepas beberapa minggu. Pesakit juga mendakwa mudah letih, namun tidak pula mengadu sakit yang melampau akibat kemoterapi.

Tepis perasaan

Pengalaman yang sama turut dirasai seorang pesakit kanser payudara tahap dua yang hanya mahu dikenali sebagai Izzah, 44. Dia baru sahaja selesai menjalani tiga sesi kemoterapi daripada keseluruhan enam sesi.

Selepas disahkan menghidap penyakit tersebut pada bulan Julai tahun lalu, Izzah terus melakukan pembedahan diikuti dengan rawatan radioterapi, 15 sesi pada payudara dan 25 sesi pada abdomen.

Beliau kemudiannya dinasihati supaya berjumpa pakar onkologi. Pakar terbabit menyarankannya supaya menjalani rawatan kemoterapi. Namun, Izzah enggan. Beliau terkenang birasnya yang meninggal dunia ketika menjalani rawatan tersebut suatu ketika dahulu.

"Rasa takut menghantui tetapi selepas melihat pemeriksaan kesihatan yang agak stabil, saya menepis perasaan itu dan membuat keputusan menjalani kemoterapi.

"Alhamdulillah, selepas tiga sesi, saya tidak pernah mengalami muntah teruk cuma mudah rasa penat dan mudah terlelap. Rambut pula gugur selepas minggu keempat, sebaliknya emosi saya stabil. Kepala rasa agak berat pada awalnya dan saya perlu minum banyak air, tetapi kesakitan yang dirasa itu sebenarnya sementara sahaja. Jadi jangan takut untuk menjalani kemoterapi," jelasnya Izzah ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Selepas 12 hari menjalani rawatan kemoterapi, Izzah hanya duduk di rumah. Dalam tempoh itu, sistem ketahanan tubuhnya sangat rendah dan mudah diserang penyakit. Tiada pantang dalam pemakanan tetapi saya banyakkan makan buah-buahan dan sayuran," kongsi Izzah.

Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar menjelaskan, kebiasaannya pesakit kanser payudara tahap pertama tidak memerlukan kemoterapi. Kemoterapi hanya perlu berpandukan kepada beberapa faktor.


GAMBAR rajah di atas menunjukkan perebakan sel kanser payudara ke bahagian tulang dan nodus limfa.


Penentu rawatan kemoterapi kanser payudara dinilai berdasarkan risiko yang dihadapi pesakit, tahap kesihatan tanpa mengambil kira umur dan penyakit lain yang dihidapi pesakit.

Menurut Azrif, daripada 80 peratus pesakit yang bertemu pakar onkologi, 20 peratus membuat keputusan untuk tidak menjalani kemoterapi. Selepas perbincangan, terdapat pesakit yang enggan melakukan kemoterapi dan selesa dengan radioterapi sahaja.

Bagi kanser payudara, kemoterapi perlu dijalankan sebanyak enam sesi untuk setiap tiga minggu. Ia diikuti dengan pemeriksaan semula setiap tiga atau empat bulan bagi tiga tahun pertama, setiap enam bulan untuk empat hingga lima tahun dan sekali setahun selepas lima tahun.

"Kemoterapi merupakan rawatan pilihan. Doktor hanya memberi saranan tetapi keputusan dibuat oleh pesakit selepas mempertimbangkan risiko dan perbincangan dengan keluarga.

"Ada juga pesakit yang berhenti kemoterapi di tengah jalan dan memilih rawatan alternatif l seperti perubatan tradisional atau mengikut kepercayaan agama masing-masing. Selalunya, mereka akan berjumpa doktor semula disebabkan sel kanser kembali agresif," jelas beliau.

Menurut Azrif, pada waktu itu, ia mungkin sudah terlambat untuk membunuh sel-sel kanser secara menyeluruh ekoran rawatan yang tidak lengkap sebelum itu. Jadi, kemoterapi yang diberikan adalah untuk pengawalan, bukan penyembuh. Azrif mengakui selepas menjalani sesi pertama kemoterapi, pesakit mula membiasakan diri meskipun rasa takut masih ada.

Antara punca yang kerap diterima Azrif apabila berdepan pesakit kanser yang enggan menjalani kemoterapi ialah pengaruh cakap orang yang telah terbentuk dalam diri, harapan samar selepas rawatan dan tekanan saat disahkan mendapat kanser itu masih belum hilang.

Rawatan kemoterapi sebenarnya berbeza mengikut jenis kanser. Penghidap kanser limfoma atau kanser kelenjar tahap empat, Abdul Muizz Muhammad, 26, mula disahkan menghidap penyakit itu. pada bulan Mei tahun lalu.

Memandangkan kanser dalam kes Muizz tidak boleh dibuang dengan pembedahan, dia menjalani radioterapi dan sesi kemoterapi sebanyak enam kali. Selama lima hari berturut-turut, Muizz melalui sesi kemoterapi dan kesannya mula dirasai pada hari ke-11.


UBAT kemoterapi yang disuntik akan membunuh sel kanser dalam keseluruhan badan.


Kesan berbeza

Selepas rawatan itu, rambutnya mula gugur. Dia demam, sakit mulut dan muntah-muntah.

"Nasib saya kurang baik, selepas habis kemoterapi, sel-sel kanser masih agresif dan doktor mencadangkan saya menjalani transplan. Bagaimanapun ia melibatkan pemindahan darah yang berisiko tinggi.

"Sebelum rawatan itu dijalankan, saya perlu menjalani dua lagi sesi kemoterapi dan saya agak takut dengan rawatan kali ketujuh itu. Ramai meninggal dunia ketika tempoh ini. Alhamdulillah saya berjaya bertahan dan kini sedang menunggu hasil transplan yang telah dijalankan," cerita pelajar kejuruteraan awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor itu ketika ditemui di Hospital Ampang, Selangor.

Pakar hematologi, Dr. Muhd. Zanapiah Zakaria memberitahu, setiap kemoterapi direka khas untuk kanser tertentu. Jadi, kesan kemoterapi kanser yang berbeza tidak boleh dijadikan perbandingan.

"Hematologi merangkumi kanser darah iaitu leukemia dan kanser limfoma. Terdapat pelbagai jenis leukemia dan kanser limfoma dan setiap jenis mempunyai prosedur kemoterapi yang tersendiri.

"Sebagai contoh, leukimia mieloid akut, ia perlu dilakukan setiap hari selama seminggu. Dalam tempoh tiga minggu, mereka perlu melakukan kemoterapi sekali lagi.

"Sel kanser leukemia ini mengalir dalam darah dan disebabkan itu hanya kemoterapi mampu menghapuskan sel stem yang bermasalah. Hampir 70 peratus pesakit menerima respons positif dari segi penghapusan sel stem selepas kemoterapi.


Izzah menghidapi kanser payudara tahap dua dan telah menjalani tiga sesi kemoterapi daripada keseluruhan enam sesi.


"Tetapi, hanya 30 hingga 40 peratus pesakit akan kekal sembuh menerusi kemoterapi. Jadi, pesakit leukimia disaran melakukan transplan kerana kemungkinan untuk pulih sepenuhnya sangat tinggi sekiranya sel stem bermasalah digantikan dengan yang baharu," jelas Muhd. Zanapiah yang menambah transplan selalunya melibatkan dua kaedah iaitu autologus dan alogeneik.

Menangkis kisah negatif tentang kemoterapi, Muhd. Zanapiah tidak menafikan bahawa kemoterapi mendatangkan kesan sampingan tetapi segala-galanya demi kebaikan pesakit. Doktor melihat kemoterapi sebagai rawatan jangka panjang bagi pesakit kekal pulih yang disasarkan untuk tempoh lima hingga 10 tahun.

"Pesakit perlu berkorban kesakitan dan masa untuk kemoterapi selama enam bulan hingga setahun. Ia memang agak lama tetapi faedahnya pasti datang kemudian. Mereka yang masih ragu-ragu dengan keupayaan kemoterapi disarankan bertanya terus kepada pesakit kanser yang telah sembuh dan bukannya mendengar cerita rawak daripada masyarakat," pesan Muhd. Zanapiah.

Rencana Utama!»

Saat manis bersama Kanang

KANANG kelihatan ceria sambil menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang diterimanya.

Varia!»

Lensa patriotik empat jurufoto

TIEW KIM HU, 65, menghayati kemerdekaan dengan menghias basikalnya dengan Jalur Gemilang.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15