HIBURAN

Lelaki pengarah drama hits

Lelaki pengarah drama hits


FEROZ (duduk dua dari kiri) bergambar bersama kru dan pelakon telefilem terbaharunya, Serindu Taj Mahal untuk TV3.


NAMANYA Mohamed Feroz Abd. Kadir Sahib, sering juga diringkaskan menjadi Feroz Kadir atau Feroz Abd. Kadir bahkan dalam kalangan rakan-rakan dalam industri dia lebih dikenali sebagai Feroz Khan. Apa jua sebutannya, wajah itulah pemilik kepada nama yang sering tertera pada skrin televisyen usai atau bermulanya tayangan puluhan telefilem dan drama bersiri.

Judul-judul seperti Tentang Dhia, Chinta, Mentua vs Menantu, Pengantin Untuk Dijual, Matahari, Asmaradana, Janji Kekasih, Suria Di Cardoba dan Adamaya, itu semua cukup kukuh terisi menjadi profil pengarahannya yang bermula secara rasmi pada tahun 2004.

Ketika itu syarikat produksi berlumba-lumba menerbitkan filem versi cakera padat digital (DVD). Feroz sendiri tersenyum saat menyebut judul Neon sebagai naskhah pertama yang menyaksikan namanya terpahat sebagai pengarah.

"Zaman itu banyak cerita Melayu dibikin untuk pasaran DVD. Saya buat drama bertajuk Neon yang membariskan seramai 66 orang pelakon, pelakon utamanya Allahyarham Faizal Yusof. Drama itu tercatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai drama paling ramai pelakon.

"Dari situlah saya buat keputusan untuk namakan syarikat produksi saya sebagai Neon Entertainment, sempena nama naskhah pertama saya," mukadimah pengarah prolifik itu memperkenalkan diri.

Dalam nada berseloroh sempat juga Feroz meluahkan kekeliruan ramai tentang dirinya.

"Orang juga selalu keliru antara saya dengan Fairuz Loy. Begitu juga Feroz Khan atau Feroz Kadir. Feroz Khan nama yang jadi panggilan oleh kawan-kawan sejak di Akademi Filem Kebangsaan dahulu," tambahnya lagi.

Ada sebab kemunculan Feroz sebagai pengisi Sensasi Bintang minggu ini. Jika Neon menjadi filem versi DVD pertama arahan dan terbitan syarikatnya, tahun 2013 sekali lagi membuka lembaran baharu kepada Feroz.

Setelah hampir 10 tahun bergerak sebagai pengarah sama ada untuk terbitan sendiri atau pengarah bebas bersama rumah produksi orang lain, baru tahun ini Feroz mendapat kepercayaan menerbitkan dan mengarahkan drama bersiri bersiri terbitan sendiri.

"Saya tiada masalah untuk jadi pengarah bebas tapi untuk dapatkan slot terbitkan drama rantaian dengan mana-mana stesen televisyen memang banyak tapisan. Saya kena ada rekod terbitkan beberapa telefilem dulu, kalau stesen puas hati barulah permohonan terbitkan drama bersiri akan diterima.

"Tahun 2013 kiranya satu pencapaian untuk syarikat saya. Kami berjaya terbitkan drama bersiri Cinta Qaseh dan seronoknya drama itu juga jadi pembuka tirai slot Lestary di TV3," kongsi Feroz tentang pencapaiannya.

Pernah tercalon sebagai antara pengarah terbaik Anugerah Skrin 2012 menerusi telefilem Aku Mahu Terbang, akan datang Feroz bakal menampilkan drama bersiri terbaharunya Sehangat Asmara lakonan Adi Putra dan Rita Rudaini. Selain drama cinta, Feroz juga sedang dalam proses akhir untuk drama bersiri slot Aksi, Carlos yang menampilkan Syawzwan Zulkifly sebagai hero baharunya.

Process time in ms: 16