SUKAN

'Ramdan belum sempurna'

'Ramdan belum sempurna'


RAMDAN diramal mampu mengambil alih status Chong Wei selaku jaguh No. 1 di Malaysia.


KETUA jurulatih perseorangan, Rashid Sidek berharap para peminat sukan badminton tanah air tidak terlalu meletakkan harapan tinggi kepada pemain muda negara, Misbun Ramdan Misbun.

Terdahulu, Ramdan melakar kejutan apabila merangkul gelaran juara Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan 2012 di Dewan Badminton KBA, Alor Setar, Kedah, Ahad lalu.

Kejayaan itu hadir selepas dia menewaskan pemain pilihan kedua, Chong Wei Feng 13-21, 21-18, 21-18 pada aksi final.

Peminat-peminat sukan badminton negara menganggap kejuaraan tersebut menjadi petanda awal bahawa Ramdan mampu mengambil alih status Datuk Lee Chong Wei selaku jaguh No. 1 Malaysia seandainya terus diberi pendedahan sewajarnya di pentas antarabangsa.

Begitupun, Rashid ada pandangan tersendiri mengenai peningkatan prestasi yang dipamerkan Ramdan itu.

Bukan mahu menidakkan kemampuan Ramdan dalam bergelar jaguh No. 1 negara, sekali gus mengganti- kan tempat Chong Wei tetapi Rashid menganggap perjalanan pemain berusia 22 tahun itu masih jauh.

"Perjalanan Ramdan masih jauh sebagai pemain badminton. Dia perlu menguatkan lagi mentalnya bagi menghadapi pemain-pemain bertaraf dunia dari negara lain terutama China.

"Jika kita lihat sepanjang saingan tahun lalu, Ramdan sering kali tewas di tangan pemain-pemain yang berada di bawahnya. Ini disebabkan tekanan tinggi yang dialaminya kerana diletakkan sebagai pemain pilihan.

"Namun, situasi menjadi berbeza apabila dia turun menentang pemain pilihan. Sebagai contoh, ketika dia menentang Wei Feng yang mana dia beraksi tanpa sebarang tekanan.

"Ini kerana, bukan dia yang diletakkan sebagai pilihan, sebaliknya Wei Feng. Sebab itu dia boleh beraksi dengan tenang dan tanpa dijangka boleh mencatatkan kemenangan," kata Rashid.

Bagaimanapun, Rashid menganggap kemenangan yang dilakar Ramdan itu mampu memberikan tonik serta meningkatkan lagi semangat anak kepada bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek itu untuk terus konsisten pada masa akan datang.

"Konsistensi sangat penting untuk menjadi pemain bertaraf dunia. Jika Ramdan boleh mengekalkan konsistensinya, saya percaya dia boleh menjadi salah seorang pemain bertaraf dunia.

"Apa yang perlu dilakukannya adalah terus komited ketika menjalani latihan bagi meningkatkan lagi tahap prestasi.

"Yang pasti, kemenangan pada GP Akhir itu memang bagus untuk Ramdan bagi meningkatkan lagi semangatnya. Kini, terpulang kepada dirinya sendiri untuk membuktikan kemampuannya," kata Rashid.

Peluang Ramdan untuk membuktikan kemampuan sebenarnya bakal hadir apabila membuat penampilan pertama pada kejohanan bertaraf Siri Super iaitu Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil bermula 15 Januari ini.

Begitupun, dia akan memulakan cabaran dengan menghadapi saingan peringkat kelayakan menentang Chen Yuekun dari China.

Varia!»

Warung lambang perpaduan rakyat

SUHAIMI menggunakan material bahan buangan seperti kayu yang diletakkan bersilang, bekas minuman, batu lesung dan kereta sorong dalam karyanya.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31