RENCANA UTAMA

Telekung Vietnam popular di Malaysia

Telekung Vietnam popular di Malaysia



LENGGOK bicaranya lembut, tutur katanya diatur kemas walaupun digabungkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Meskipun bait kata yang lahir daripada mulut wanita berusia 57 tahun itu kedengaran canggung pada telinga, ia sudah cukup membuatkan pelanggan yang bertamu di premisnya itu faham apa yang dibicarakan.

Wanita dengan ketinggian sederhana dan agak berisi itu sangat ramah. Nama Hajah Basiroh cukup popular dalam kalangan ‘kaki’ berbelanja atau tauke-tauke kain yang sering berulang-alik dari Malaysia ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Sebut sahaja nama Hajah Basiroh atau nama penuhnya Hajah Basiroh Haji Aly, ia begitu sinonim dengan persalinan solat atau telekung. Telekung yang dijual dengan label jenama namanya sendiri itu memang tinggi permintaannya dalam pasaran Malaysia.

“Saya mula berniaga telekung sejak tahun 2000 secara kecil-kecilan di rumah. Dua tahun selepas itu perniagaan saya semakin memberangsangkan.

“Dulu, tidak ramai rakyat Malaysia datang ke sini, bahkan permintaan telekung juga tidak banyak,” katanya yang berasal dari Kampung Chau Giang, wilayah An Giang.

Ibu kepada Siti Aisah, 8, ini memberitahu telekung yang dijualnya khusus untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia sahaja kerana orang Melayu Champa di Vietnam mampu membuat telekung sendiri.

Menurut cerita Hajah Basiroh, pada mulanya dia membantu seorang rakan sekerja dari Malaysia untuk mencari dan membeli telekung.

Dia membawa rakannya ke sebuah tempat membuat dan menjual telekung, tetapi telekung yang dijual biasa sahaja. Dari situ Hajah Basiroh mendapat idea untuk menjahit telekung dengan labelnya sendiri.

Bermula daripada menjual telekung dan tudung, Hajah Basiroh meluaskan perniagaannya menjual barangan lain seperti baju kurung, jubah, blaus dan pelbagai jenis cenderamata.

Wanita berketurunan Melayu Champa itu mahir menyulam dan menjahit sejak umurnya sembilan tahun kerana majoriti kanak-kanak di kampungnya didedahkan dengan kemahiran tersebut sejak kecil.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik perempuan itu, kebanyakan wanita Melayu Champa menguasai kemahiran menjahit sulaman termasuklah perhiasan bilik, pintu dan tingkap lengkap dengan sulaman tangan.

Menurut Hajah Basiroh, apabila ada majlis perkahwinan, perhiasan tirai di dalam bilik pengantin disulam secara gotong-royong oleh ahli keluarga.

“Saya menawarkan 30 jenis corak sulaman. Antaranya ialah corak bunga timbul lapan, timbul 11, timbul 20, timbul 34, timbul 51, timbul 60, kerawang segi empat sama, kerawang penuh, kerawang tinggi dan kerawang labah-labah yang paling sukar ditiru oleh pesaing.


PASTIKAN anda menjalankan urus niaga telekung Hajah Basiroh di premis ini bagi mengelakkan diri ditipu.


“Semua 30 jenis telekung ini dijual antara harga RM30 hingga RM90,” katanya yang menjalankan urus niaga menggunakan mata wang Malaysia, Amerika Syarikat (ASD) dan Vietnam (Dong).

Telekung jenama Hajah Basiroh menggunakan material membuatkan si pemakai berasa sejuk, lebih tenang dan selesa ketika bersolat.

Material yang digunakannya untuk menghasilkan telekung diperbuat daripada benang khas dari China dan Korea.

“Telekung edisi istimewa yang dijual di sini ialah telekung sulaman tangan. Ia dijual pada harga RM90 kerana proses membuatnya rumit dan memerlukan ketelitian bagi menghasilkan sulaman yang halus dan berkualiti.

“Walaupun menawarkan pelbagai jenis telekung, kami juga menerima tempahan telekung mengikut rekaan yang dikehendaki pelanggan,” ujarnya yang kerap melayari laman-laman web di internet untuk mencari ilham menghasilkan reka corak baharu.

Berikutan kesukaran yang dialami para pelanggan untuk mencari premisnya di 159 Huynh Van Street, Ward 12, Phu Nhuan, mantan Qariah Vietnam tahun 1997 itu membuka sebuah premis kecil di 33, Nguyen An Ninh Street, District 1, Bandar Ho Chi Minh berdekatan Pasar Ben Thanh.

Namun, cawangan tersebut hanya menawarkan lima jenis telekung sahaja berbanding 30 jenis telekung lain yang dijua; rumahnya bagi mengelakkan produknya ditiru.

Sudah menjadi adat berniaga, apa yang dihasilkan pasti ada edisi fotokopi dan telekung Hajah Basiroh tidak terkecuali.

Bagi memastikan telekungnya sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan, Hajah Basiroh sentiasa tampil dengan corak baharu.

Ramai peniaga di Pasar Ben Thanh tidak dinafikan kebanyakan corak telekung yang dijual di pasar itu hasil plagiat karya reka corak Hajah Basiroh, namun ia masih tidak mampu menandingi kualiti telekungnya.


ANTARA reka corak telekung yang boleh dipilih oleh pelanggan yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM90 sahaja.


“Apabila saya tampil dengan corak baharu, setahun atau dua tahun kemudian mereka akan mengeluarkan produk yang meniru corak yang saya hasilkan.

“Malah ada dalam kalangan rakan-rakan mereka beli telekung daripada saya semata-mata untuk meniru. Atas sebab inilah saya perlu sentiasa mengubah corak rekaan telekung,” katanya yang mempunyai pekerja seramai 30 orang.

Sejak jumlah pelanggannya meningkat dan permintaan terhadap telekung berganda, operasi membuat telekung yang bermula di rumah diperluaskan menjadi kilang sejak lima tahun lalu.

Mengambil masa dua jam perjalanan dari bandar Ho Chi Minh, kilang yang dimaksudkan berupa sebuah rumah persis industri kecil dan sederhana (IKS) di beberapa buah tempat.

Demi menjaga kualiti, Hajah Basiroh mempunyai kira-kira sendiri bagi memantau kualiti telekung yang dihasilkan.

“Satu tempat hasilkan telekung, di tempat lain pula buat sulaman tangan, dan beberapa rumah lagi buat sulaman biasa dan akhirnya dihantar ke rumah saya untuk memastikan kualitinya terjaga sebelum dijual kepada pelanggan.

Tambah isteri kepada Ahmad Abu Bakar, 65, itu penghasilan telekung yang rosak memang tidak dapat dielakkan.

“Dalam 1,000 helai, lebih kurang 10 helai akan rosak. Istilah rosak bermakna telekung tersebut bukan rosak teruk tetapi hanya mengalami kekotoran dan tali pengikat tercabut ketika proses membasuh menggunakan mesin.

“Jumlah telekung yang dihasilkan lebih kurang 5,000 helai sebulan dan permintaannya meningkat sekali ganda tiga bulan sebelum bulan Ramadan,” katanya yang mempunyai pelanggan dari Brunei dan Singapura.

Selain menjual borong di kedai, Hajah Basiroh juga menyediakan perkhidmatan kiriman barangan yang ditempah pelanggan. Para pelanggan yang datang akan membeli lima hingga enam pasang telekung paling sedikit untuk ahli keluarga dan 30 pasang ke atas bagi yang berniaga.

Dalam pada itu, seorang pekerja Hajah Basiroh, Abdul Aziz Zakariya, 27, memberitahu, selain menjadi tumpuan pelanggan untuk membeli telekung, pelanggan juga datang untuk membeli baju kurung jubah dan tudung.


JIKA di Malaysia, baju kurung berlabuci harganya dijual dalam lingkungan harga RM160 ke atas, di premis Hajah Basiroh ia dijual pada harga antara RM50 hingga RM60 sahaja.


“Baju kurung Pahang yang dihiasi jemeki di bahagian dada, lengan dan bahagian bawah baju dijual antara RM50 hingga RM60,” katanya.

Farah Shazwani Ali, 29, yang mengunjungi Vietnam buat kali pertama bersama teman-temannya sangat teruja apabila dibawa oleh pemandu pelancong ke rumah Hajah Basiroh.

“Telekung yang dijual sangat cantik dan murah. Telekung Hajah Basiroh boleh didapati pada harga RM30 di sini tetapi dijual RM100 ke atas di Malaysia.

“Selain harga yang murah, layanan mesra kepada pelanggan membuatkan saya dan teman-teman yang lain senang sekali membeli-belah di sini,” ujarnya.

Turut berkongsi pendapat yang sama ialah Noor Hayati Mamat, 30, yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Menurut Noor Hayati, telekung yang dijual sangat berkualiti dan sukar untuk mencari kualiti yang sama pada harga murah di Malaysia.

“Material yang digunakan sejuk dan selesa. Tidak hairanlah kalau ada yang datang memborong telekung Hajah Basiroh dan menjualnya tiga kali ganda di Malaysia,” katanya yang mahu mencadangkan kepada teman-teman supaya berkunjung ke kedai Hajah Basiroh.

Rencana Utama!»

Saat manis bersama Kanang

KANANG kelihatan ceria sambil menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang diterimanya.

Varia!»

Lensa patriotik empat jurufoto

TIEW KIM HU, 65, menghayati kemerdekaan dengan menghias basikalnya dengan Jalur Gemilang.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0