RENCANA UTAMA

Kejutan politik

Kejutan politik


NAJIB (tengah) dalam majlis pelancaran Sara 1Malaysia pada awal tahun 2012.


SEPANJANG tahun 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan pelbagai program bagi memberi manfaat kepada rakyat. Antaranya ialah Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) dilancarkan pada Januari 2012 memberi peluang rakyat berpendapatan rendah membuat pelaburan sebanyak RM5,000 dalam Amanah Saham 1Malaysia.

Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada Jun pula membolehkan seramai 66,538 pemandu teksi di seluruh negara menerima baucar bernilai RM520 setiap seorang bagi menggantikan tayar kenderaan masing-masing.

Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) dengan peruntukan berjumlah RM100 juta bertujuan merangsang aktiviti sukarelawan dalam kalangan belia dilancarkan Julai lalu.

Pada Ogos lalu, 1Malaysia Privilege Card khusus bagi anggota tentera dan polis membabitkan 241,000 pegawai dan anggota dilancarkan membolehkan mereka mendapat diskaun harga belian barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh kira-kira 20 syarikat yang mengambil bahagian.

Sejak September lalu, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) membolehkan 1.5 juta pelajar institusi pengajian tinggi menikmati potongan harga pembelian dan perkhidmatan sehingga 60 peratus.

Veteran Angkatan Tentera Malaysia turut menerima manfaat atas pelancaran Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) bagi memperkasa dan meningkatkan tahap sosioekonomi veteran tentera di seluruh negara pada 15 Disember lalu.

Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diteruskan tahun ini. Selain di Nusajaya, Johor, ia juga dilancarkan di Seremban dengan pembinaan sebanyak 5,700 unit rumah mampu milik.

Sementara itu, kira-kira 1.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah akan diberi perlindungan skim insurans dengan had RM100,000 yang merangkumi perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian.


TANAH di Taman Manggis jadi mangsa kekecohan politik.


PPR Taman Manggis

BARISAN Nasional (BN) Pulau Pinang bertindak dengan membayar wang pendahuluan sebanyak RM224,073 pada 3 Oktober lalu bagi membeli tanah seluas 0.445 hektar berharga RM22 juta di Taman Manggis, George Town daripada kerajaan negeri bagi membina rumah pangsa mampu milik.

Bagaimanapun, dalam satu mesyuarat Exco, 7 Disember lalu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng memutuskan kerajaan negeri menolak penjualan tanah tersebut.

Tanah tersebut yang sepatutnya dibina projek perumahan rakyat fasa kedua telah dijual kepada sebuah syarikat swasta, Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd.


DISKAUN PTPTN diharap dapat mengganda rentak pembayaran semula dalam kalangan peminjamnya.


Diskaun PTPTN

SELEPAS sekian lama menjadi perdebatan sehingga sesetengah pihak cuba mempolitikkannya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akhirnya menawarkan insentif pemberian diskaun 20 peratus dan insentif pemberian diskaun 10 peratus kepada peminjam PTPTN.

Pemberian diskaun 20 peratus itu diberikan kepada peminjam PTPTN yang membuat penyelesaian hutang pinjaman atau pembiayaan PTPTN dalam tempoh bermula pada 1 Oktober 2012 hingga 30 September tahun depan.

Process time in ms: 32