URBAN

Filem aksi terakhir Jackie Chan

Filem aksi terakhir Jackie Chan


CZ12


FILEM CZ12 sudah pasti menjadi filem yang ditunggu-tunggu bagi peminat filem aksi lakonan Jackie Chan.

Perkara yang menjadikan ia unik adalah hampir keseluruhan pembuatan filem berkenaan menggunakan khidmat pelakon yang juga penerima anugerah kategori Taurus Honorary Award di World Stunt Awards (2002) itu.

Jackie yang bertindak selaku penulis, pengarah dan pelakon utama filem itu membelanjakan sebanyak RM186 juta untuk menghasilkan filem yang bakal ditayangkan pada 20 Disember ini di pawagam seluruh Asia.

Dalam filem itu, ia mengisahkan mengenai misi pengembaraan Jackie mengembalikan semula kepala patung zodiak Cina ke tempat asalnya yang pernah dirampas tentera Perancis dan British.

Sementara itu, pada minggu ini juga, bagi penggemar filem tempatan, filem Adik Manja Returns bakal ditayangkan kepada umum. Ia merupakan sekuel yang ditunggu-tunggu peminatnya hasil kejayaan filem Adik Manja hasil sentuhan kreatif sutradara Othman Hafsham pada tahun 1979.

Saksikan bagaimana Cikgu Azmi lakonan Dharma menggunakan formulanya bagi memulihkan dan mendamaikan dua kumpulan pelajar perempuan yang pada mulanya sukar untuk disatukan.

Selain itu, filem berunsur penyiasatan lakonan Tom Cruise dalam filem Jack Reacher juga bakal ditayangkan pada hari yang sama.

Dalam pada itu, dua buah filem mandarin turut menanti kaki wayang pada minggu ini ialah Ah Boys To Men dan filem komedi, The Collector.

CZ12

Tarikh tayangan: 20 Disember 2012

Durasi: 2 jam 3 minit

Genre: Aksi, Pengembaraan

Pengarah: Jackie Chan

Pelakon: Kwone Sang Woo, Laura Weissbecker, Yao Xing Tong, Liao Fan, Zhang Lan Xin, dan Steve Yoo Seung Jun.

Sinopsis: Filem ini berkisar mengenai Jackie Chan yang memegang peranan sebagai pemburu harta karun. Plot bermula dengan kerumitan misinya untuk menguruskan pencarian dan penghantaran semula artifak penting.

Barangan berharga itu ialah kepala patung bagi 12 haiwan zodiak Cina yang diambil dari simpanan Old Summer Palace di Beijing oleh tentera Perancis dan British semasa Perang Candu Kedua (1856-1860).

Peminat Jackie Chan tentu dapat mengaitkan jalan cerita filem ini dengan siri animasi Jackie Chan Adventures. Dalam musim pertama siri kartun tersebut, Jackie turut terlibat dalam misi mencari barangan lama dengan tanda zodiak Cina.

Adik Manja Returns

Tarikh tayangan: 20 Disember 2012

Durasi: 1 jam 49 minit

Genre: Komedi

Pengarah: Dharma Harun Al Rashid

Pelakon: Scha Al-Yahya, Rozita Che Wan, Jihan Raja Lawak, Kenchana Devi, Faezah Elai, Dharma Harun Al Rashid

Sinopsis: Filem ini mengisahkan mengenai kenakalan para pelajar perempuan di Kolej Professional Skill. Hal itu amat merungsingkan pengetuanya, Sofia (Rozita) yang merasakan dirinya tidak mampu mengawal situasi. Sebagai penyelesaian, Sofia terpaksa mengambil khidmat bekas pensyarah lelaki kolej tersebut iaitu Cikgu Azmi (Dharma).

Namun, langkah tersebut tidak semudah yang disangka. Banyak cabaran yang terpaksa Cikgu Azmi hadapi bagi memulihkan para pelajar di situ terutama sekali perangai dua kumpulan pelajar yang sering mendatangkan masalah disiplin iaitu kumpulan Bib (Faezah) dan kumpulan Su (Juliana).

Filem yang sarat dengan drama dan komedi ini, walaupun cuba mengimbas elemen nostalgia sebuah filem lama, turut memaparkan gaya hidup remaja kini yang gemarkan tarian shuffle dan hip-hop.


ADIK MANJA RETURNS.


Jack Reacher

Tarikh tayangan: 20 Disember 2012

Durasi: 2 jam 10 minit

Genre: Aksi, Drama

Pengarah: Christopher McQuarrie

Pelakon: Tom Cruise, Rosamund Pike, Richard Jenkins, Werner Herzog, David Oyelowo and Robert Duvall

Sinopsis: Sebuah bandar menjadi kecoh apabila enam tembakan kedengaran. Sementara satu daripadanya terklepas sasaran, lima orang telah mati angkara penembak tepat itu. Tidak lama selepas itu, pasukan polis berjaya memberkas seorang suspek namun orang tersebut mengatakan bahawa dia bukanlah orangnya, sebaliknya memberitahu nama individu lain iaitu Jack Reacher.

Dari situ bermulanya kehadiran watak Reacher (Tom Cruise) yang datang ke bandar tersebut selepas mendapat tahu mengenai dakwaan terhadapnya melalui laporan berita. Dia sebenarnya amat mengenali penembak tepat itu dan dia berasa musykil kerana salah satu tembakan tersebut tidak mengenai sasaran.

Dalam kegawatan membongkar muslihat, Reacher yang mendapat bantuan seorang peguam muda yang jelita mendapati bahawa mereka semakin dekat dengan musuh tersembunyi yang menjadi dalang bagi setiap kekecohan melibatkan dirinya.

Process time in ms: 15