URBAN

Kelazatan tersembunyi di atas bukit

Kelazatan tersembunyi di atas bukit


RUMAH tradisional yang didirikan semula di pekarangan restoran selepas dipindahkan dari Melaka.


DEBARAN pasti dirasai apabila seseorang itu buat kali pertama menuju ke sebuah restoran unik yang terletak di Gombak, Selangor. Sejurus membelok ke susur masuk dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), laluan bukit securam 40 darjah perlu dilepasi untuk akhirnya sampai di sebuah halaman istimewa.

Dikelilingi rimbun pokok hutan, tanah seluas 0.6 hektar itu bukan sahaja menempatkan kediaman persendirian milik novelis popular, Ahadiat Akashah, malah landskap luasnya kini turut dijadikan kawasan restoran eksklusif yang terlindung dari pandangan umum.

Masih baru beroperasi dan mempertaruhkan gaya persekitaran desa, restoran yang hanya dibuka pada hujung minggu dan waktu malam itu lantas diberi nama Golek-Golek Suasana Kampung.

Aura tradisional

“Saya mahu orang datang ke sini untuk meraikan waktu santai bersama keluarga dan rakan-rakan. Namanya sahaja sudah memberikan idea tentang momen yang relaks,” ujar Ahadiat berlatarbelakangkan binaan rumah tradisional Melayu berusia lebih 100 tahun yang dipindahkan khas dari lokasi asalnya di Melaka.

Selain rumah lama tersebut yang mencuri tumpuan, restoran itu menerbitkan emosi pengunjung laksana suasana pulang beraya di kampung. Rias taman tropika, pencahayaan remang-remang dan keriuhan terkawal di ruang duduk pelbagai gaya di situ menjadi tarikan.

Itu belum lagi dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu semasa dan malar segar yang disampaikan oleh kuartet berbakat, Adinda Kirana. Sesi kunjungan pastinya sempurna dengan alunan melodi dan aroma kelazatan yang dibawa angin sepoi-sepoi di pinggir bukit tersebut. Ia nyata menjadi terapi berkesan bagi yang mahu lari daripada kesibukan rentak hidup di kota konkrit.

Ahadiat, 47, memberitahu, idea mengenai operasi restoran itu bermula daripada cadangan anak-anak buahnya. Setelah berbincang bersama isterinya, Norhayati Mohd. Fauzi, 33, mereka bersetuju untuk melaksanakan idea tersebut memandangkan prospek niaga yang menjanjikan sambutan dan kemudahan ruang yang sedia ada.

Eksperimen resipi


NORHAYATI (tengah) dan Ahadiat percaya pada layanan peribadi untuk memenangi hati pelanggan.


Penyediaan menu di Golek-Golek Suasana Kampung percaya pada konsep pengkhususan. Tanpa perlu sibuk memikirkan banyak jenis masakan semata-mata untuk memenuhkan senarai menu, mereka sebaliknya menumpukan kepada menu ikan bakar resipi keluarga.

“Setelah banyak membuat eksperimen, akhirnya kami menggabungkan tiga jenis sambal iaitu sambal tumis, sambal cili dan sejenis sambal khas yang bukan sahaja menyedapkan hidangan, malah ia membuatkan isi ikan kami tidak melekat pada daun pisang yang membalutinya ketika dibakar,” terang Norhayati yang mahu lari daripada penggunaan rempah ikan bakar konvensional.

Pesanan menu makanan laut itu bertambah lazat apabila turut dibakar bersama petai. Bagi penggemar ulam yang rangup dan lemak itu, gandingannya bersama nasi putih panas tentunya memacu selera. Sementara ikan dan udang dihidang bersama petai, menu seperti sotong dan kerang pula disediakan dengan potongan sayur bendi atau kacang botor - kombinasi yang hebat untuk menambah suapan nasi seterusnya!

Secara sampingan, pesanan sup ayam, terung ikan masin atau char kuetiau boleh menambah kemeriahan di atas meja makan. Kesemua hidangan itu sangat sesuai jika dinikmati bersama minuman jus buah terutamanya yang menjadi signatur restoran tersebut iaitu jus kedondong segar.

“Bagi memastikan kesegaran, kami tidak menyimpan beku bekalan ikan kami lebih daripada 24 jam. Itu bagi memastikan rasa enak dan kemanisan ikan itu terpelihara. Sebab itulah tempahan awal amat penting supaya kami boleh mendapatkan bekalan mengikut pesanan,” ujar Ahadiat.

IKAN bakar dengan petai resipi keluarga Ahadiat dan Norhayati ibarat menu juara di Golek-Golek Suasana Kampung.


Sementara itu, Norhayati yang peka pada tunas rasa pelanggan membuka rahsia: “Selain faktor bahan mentah yang segar dan terpilih, petua kami dalam penyediaan makanan iaitu ia perlu dimasak dengan ikhlas.”

Lokasi keraian

Walaupun Ahadiat dan Norhayati mengakui seronok melayan tetamu dalam bilangan yang terkawal, Golek-Golek Suasana Kampung sebenarnya mampu memuatkan sehingga 300 orang pada satu-satu masa dengan 200 tempat duduk daripadanya adalah berbumbung.

Sama ada makan di tempat terbuka, di bawah gazebo, di bawah rumah tradisional mahupun di pelantar untuk duduk bersila, terpulang kepada keinginan pengunjung sendiri.

“Restoran ini juga menerima tempahan dalam skala besar untuk majlis keraian tertentu seperti resepsi perkahwinan atau majlis sambutan hari lahir,” ujar Ahadiat.

Tambah penulis novel Lagenda Budak Setan itu, dia dan isteri bersama pekerja restorannya sedaya upaya mahu menghidupkan aura kemesraan di restoran itu.

“Lepas makan, mereka boleh menghabiskan masa santai dengan berbual-bual, menghisap shisha atau ‘bergolek-golek’ di sini. Begitulah asal namanya,” ujarnya.

Norhayati sempat berseloroh: “Nama itu juga datang daripada cara kami ‘menggolek-golekkan’ ikan kami ketika membakarnya.”

Process time in ms: 47