SUKAN

Gelaran Wira milik Hafiz

Gelaran Wira milik Hafiz


GAYA tunggangan Hafiz ketika beraksi dalam sesi ujian masa kategori Wira di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.


PELUMBA pasukan Mos Track Pro Yamaha Racing, Mohd. Hafiz Nor Azman mengesahkan status selaku juara keseluruhan kategori Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012.

Hafiz mengesahkan kejuaraan itu lebih awal tanpa perlu membuat perhitungan dalam perlumbaan akhir di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

Selepas sembilan pusingan, Hafiz mendahului senarai kedudukan keseluruhan dengan 165 mata apabila hanya dicabar hebat oleh pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport, Fakhrusy Syakirin Rostam yang berada di kedudukan kedua dengan perbezaan tujuh mata.

Malangnya, Fakhrusy terpaksa menarik diri daripada meneruskan saingan kali ini setelah mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika sesi latihan bebas yang berlangsung pada sebelah pagi semalam.

Tanpa kehadiran Fakhrusy, kedudukan Hafiz gagal digugat oleh mana-mana pelumba lain memandangkan pencabar di tempat ketiga, Tengku Amirul Haffiruddin yang mewakili Motul Yamaha YY Pang jauh berada di belakang apabila sekadar mengumpul 123 mata.

Bagi Hafiz, dia sebenarnya tidak menyangka dapat memperoleh gelaran lebih awal kerana menjangkakan perebutan mahkota keseluruhan akan ditentukan sehingga ke garisan penamat.

"Saya gembira dengan kejayaan merangkul gelaran ini, malah saya rasakan cukup bertuah kerana gelaran dapat ditentukan sebelum perlumbaan bermula lagi.

"Mungkin ini yang dikatakan sebagai nasib baik. Pada masa sama, saya tetap akan memberikan aksi terbaik kerana mahu menamatkan saingan musim ini di atas podium," jelas Hafiz.

Begitupun, Hafiz berkata, dia bersimpati terhadap Fakhrusy kerana dia tidak dapat meneruskan perlumbaan.

"Jika tidak, saya jangkakan kami pasti akan bersaing sengit pada perlumbaan terakhir musim ini sebagaimana yang telah kami tunjukkan sepanjang sembilan pusingan lepas.

"Pasukan juga sebenarnya sudah membuat persediaan serta strategi terbaik bagi memastikan saya layak ke perlumbaan akhir esok (hari ini)," jelas Hafiz.

Pada sesi ujian masa semalam, Hafiz mencatat masa kedua terpantas iaitu 54.801 saat (s) dan berada di belakang Tengku Amirul Haffiruddin yang mencatatkan 54.680s.

Sementara itu, dalam saingan CP130 yang menyaksikan gelaran juara keseluruhan menjadi milik Azlan Shah Kamaruzaman, Mohd. Zamri Baba mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan 53.107s.

Dia meninggalkan pencabar terdekat, Mohd. Affendi Rosli yang mencatatkan masa 53.206s diikuti Mohd. Ramdan Mohd. Rosli iaitu 53.282s.

Dalam kategori CP115, hasrat Mohd. Amirul Ariff Musa untuk menjulang mahkota keseluruhan musim ini semakin hampir setelah dia berjaya mencatat masa terpantas dengan catatan 53.945s.

Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu mengatasi Mohd. Azhar Abd. Jalil yang mencatatkan 54.198s manakala S. Sasitharen berada di kedudukan ketiga dengan catatan 54.489s.

Process time in ms: 16