PESONA

Siapkan 40 tempahan sauh dalam seminggu

Siapkan 40 tempahan sauh dalam seminggu



TANPA rasa gusar, bahang api arang kayu yang dibakar bagaikan sudah sebati dengan jiwa wanita berusia 55 tahun itu tatkala melembutkan batang besi dalam penghasilan sauh.

Sesekali Khatijah Mohamed pantas mengelap peluh di dahi tanpa menghiraukan percikan bara arang yang terkena pada baju kurung yang disarung pada tubuhnya sehinggakan bajunya kelihatan berlubang-lubang.

Namun, semua itu sedikit pun tidak melenturkan semangat kental ibu kepada lapan orang anak itu mengusahakan pembikinan sauh sampan dan bot kecil di sebuah bengkel kayu berdekatan laluan utama, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, dekat Kampung Rhu Dua, Marang, Terengganu.

“Saya mula berkecimpung dalam bidang pembuatan besi kira-kira 18 tahun lalu. Pada waktu itu, saya hanya melakukannya secara sambilan dengan membantu arwah suami menjalankan perniagaan menghasilkan peralatan yang diperbuat daripada besi.

“Selepas suami, Wan Abdul Khadir Wan Jusoh, 73, meninggal dunia kira-kira satu tahun setengah lalu akibat sakit tua, saya mengambil keputusan meneruskan kesinambungan warisan pembuatan peralatan besi ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khatijah memberitahu, dia tidak pernah menjalani sebarang latihan khusus membuat sauh besi yang diusahakan bersama dua orang anaknya.

Bahkan, nenek kepada lima orang cucu itu menjelaskan, dia hanya mempelajari selok-belok pembuatan sauh besi secara tradisional melalui pemerhatian dan tunjuk ajar daripada arwah suaminya.

KHATIJAH tidak merasakan kerja-kerja membuat sauh sesuatu yang membebankan kerana ia sudah sebati dalam dirinya.


Kaedah tradisional

“Dalam penghasilan sauh besi ini, saya tidak menggunakan teknologi canggih tetapi hanya menggunakan kaedah tradisional. Saya juga menghasilkan pelbagai saiz sauh besi mengikut permintaan pelanggan-pelanggan.

“Lazimnya mereka akan memberitahu sama ada hendak sauh yang kecil, sederhana ataupun besar. Dalam tempoh satu minggu saya boleh menghasilkan kira-kira 40 sauh kecil manakala lima sauh besar,” ujarnya.

Khatijah memberitahu, dia sama sekali tidak berasa kekok memilih kerjaya sebagai pembuat sauh apatah lagi sudah lama berkecimpung dalam bidang pembuatan besi.

Katanya, penduduk setempat juga tidak berasa hairan apabila wanita melakukan tugas berat itu kerana mereka sudah biasa melihat dia melakukan kerja pertukangan di dalam bengkel berkenaan. “Mungkin orang luar yang berkunjung ke bengkel ini melihat kerja pertukangan besi dilakukan wanita sesuatu baharu dan membebankan. Bagaimanapun, saya tidak merasakan ia suatu bebanan,” ujarnya yang tidak lekang menguntum senyuman.

Wanita bersuara lemah-lembut itu memberitahu, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum dapat menghasilkan sauh-sauh berkenaan.

Katanya, batang besi perlu diketuk terlebih dahulu dan dibakar bagi membentuk saiz yang sesuai untuk dijadikan sauh.

“Batang besi yang siap dipotong dan diketuk perlu dibakar dengan arang sehingga besi berwarna kemerah-merahan.

“Ia bertujuan untuk memastikan batang besi tersebut menjadi lembut agar mudah dilentur untuk dijadikan sauh,” katanya.

Selepas proses tersebut, batang besi berkenaan akan diketuk dan dibentuk sehingga bengkok untuk menjadi sauh.

Semasa proses tersebut dilakukan, plat besi yang akan menjadi daun sauh akan dilicinkan mengguna peranti.

WALAUPUN pada usia 55 tahun, Khatijah mempunyai kudrat yang kuat untuk membentuk besi sauh dengan menggunakan tukul besi.


Proses mengecat

“Selepas semua proses berkenaan siap dilakukan, baru kita kimpal kesemua bahan-bahan berkenaan menjadi sebuah sauh.

“Apabila selesai, barulah sauh-sauh tersebut dicat dengan warna perang agar kelihatan kemas. Ia kemudian dikeringkan sebelum dijual kepada orang ramai,” jelas beliau.

Dalam pada itu, anak ketiganya, Mohd. Hisham Ramli, 30, memberitahu, semasa proses mengetuk ia perlu dilakukan dua orang untuk memastikan ketepatan bentuk sauh berkenaan.

“Proses mengetuk memerlukan kesabaran yang tinggi kerana jika tersalah ketuk ia membuatkan sauh itu tidak sempurna.

“Selain itu, kita juga perlu mengetuk berulang kali untuk memperoleh bentuk sauh dingini,” katanya yang baru berkecimpung secara serius dalam pembuatan sauh sejak dua tahun lalu.

Bagi Wan Raimi Wan Abdul Kadir, 20, pula memberitahu, lazimnya dia mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengimpal sebuah sauh besar.

“Bagi sauh bersaiz kecil pula, saya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dikimpal. Ia nampak mudah tetapi kita perlu melakukannya dengan teliti supaya kimpalan kelihatan kemas.

“Selain itu, kita juga perlu mengukur dengan baik agar ia seimbang dalam proses mengimpal sauh ini,” ujar anak keenam Khatijah itu.

Khatijah memberitahu, penjualan sauh tidak menentu memandangkan ia merupakan objek yang tahan lama.

“Kadangkala saya tidak menjual langsung sauh ini dalam masa sehari tetapi adakalanya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


SETELAH sesebuah sauh siap dibentuk, ia akan dicat kemas sebelum dijual kepada pelanggan.


“Bagaimanapun, pada musim tengkujuh, penjualannya kurang memberangsangkan kerana kebanyakan nelayan tidak turun ke laut untuk menangkap ikan,” ujarnya.

Justeru itu, dia memberitahu, semasa musim tengkujuh sauh-sauh akan dibuat untuk dijadikan stok pada tahun hadapan.

Bagi menampung kehidupan seharian, Khatijah turut membuat peralatan lain yang diperbuat daripada besi.

“Satu ketika dahulu, sekitar tahun 90-an penjualan sauh-sauh ini begitu memberangsangkan tetapi sejak akhir-akhir ini ia agak merosot,” imbau Khatijah.

Dia berkata, kebanyakan sauh-sauh buatannya dibeli oleh penduduk setempat dan kawasan sekitar Terengganu tetapi ada juga pelanggannya yang datang dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, kesukaran mendapat kayu untuk dijadikan arang turut menjadi cabaran kepada dirinya dalam meneruskan warisan pembuatan sauh tersebut.

“Selain itu, saya juga berdepan dengan harga besi yang tidak menentu,” katanya.

Khatijah menambah, dia merancang untuk menaiktaraf dan membesarkan bengkelnya suatu hari nanti.

Beliau berharap dapat melakukan dalam masa terdekat kerana apabila hujan bengkelnya akan dimasuki air.

Dia juga tidak keberatan untuk menurunkan ilmu mengenai pembuatan sauh jika ada golongan muda yang minat mempelajarinya.

Rencana Utama!»

Peluang miliki tanah, rumah sukar ditolak

DARI KIRI: Mat, Heng Bung dan Appachi melihat gambar-gambar lama peneroka asal di Muzium Felda Lurah Bilut.

Horizon!»

Smurfs ubah kehidupan penduduk Juzcar

Salah satu patung watak animasi Smurfs yang menghiasi kampung Juzcar, Sepanyol.

Varia!»

Penjajahan secara kawalan jauh

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dijaga dengan baik demi masa depan generasi akan datang. – Gambar hiasan

Process time in ms: 46