URBAN

Hidupkan semula semangat rock Tamil

Hidupkan semula semangat rock Tamil



V. DANNY KUMAR, 27, sedar betapa aliran muzik rock begitu menebal dalam dirinya. Kumpulan rock fenomena seperti Iron Maiden dan Metallica memang menjadi paksi dalam dirinya. Namun, sehangat genre tersebut digilai di seluruh dunia termasuk di Malaysia, Danny masih merasakan ada suatu kekurangan.

Genre muzik itu baginya, kurang mendapat pendedahan apatah lagi diperjuangkan dalam kalangan orang India. Menyedari hakikat itu, jurutera teknologi maklumat itu mengambil iktibar untuk mengetengahkan muzik rock dalam bahasa ibundanya.

Inisiatif itu bermula empat tahun lalu, apabila dia sendiri bersama beberapa orang rakan terlibat dalam band rock berasa kecewa kerana tiada platform untuk mengetengahkan bakat mereka.

Mereka kemudiannya mengumpul kenalan dan bakat-bakat terpilih untuk bekerjasama dalam mengusahakan sebuah persembahan. Pada awal November lalu, penganjuran Tamil Rock Gig 2012 yang mirip sebuah konsert itu akhirnya berjaya dilangsungkan di Paparazzi Club, SSTwo Mall, Petaling Jaya.

“Orang ramai khususnya peminat muzik kaum India mempunyai persepsi yang kurang elok mengenai genre rock. Berbunyi bising, berat dan memaparkan imej yang tidak manis dipandang, semua itu membawa kepada penolakan terhadap muzik tersebut.


KEMERIAHAN suasana sewaktu persembahan ala konsert Tamil Rock Gig sedang berlangsung.


“Sedangkan pada masa yang sama, trend muzik hip hop, muzik jalanan dan balada mendominasi muzik Tamil di Malaysia,” kata Danny yang juga menjalankan laman portal hiburan India tempatan, MyTamilChannel bersama tiga rakan yang lain, M. Pushparaaja, 27, J. Vishnuwaren, 22, dan B. Pravin, 23.

Menjadi satu acara bersejarah dalam senario muzik Tamil, Tamil Rock Gig dilihat sebagai inisiatif yang mencapai kejayaan.

Era tahun 1990-an pernah menamakan beberapa pemuzik band rock Tamil tempatan seperti Kashmir Stone, Darkkey dari Keys dan Agni. Walau bagaimanapun, kekurangan platform untuk mempamerkan bakat menyebabkan penggiat muzik tersebut terus lenyap.

“Kini, ramai penggiat muzik rock generasi semasa terdiri daripada mereka yang berpelajaran tinggi, profesional dan elit. Anjakan ini mungkin mengubah persepsi lama dan saya yakin akan mengembalikan populariti rock dalam kalangan masyarakat India,” kata Pushparaaja.

Acara persembahan rock Tamil yang diadakan pada 4 November lalu menyaksikan lima kumpulan rock beraksi di atas pentas iaitu Dhesam 7, Intermezzo, Suruthi Kama, Rajhula dan RPGIO.

Dihoskan oleh pengacara terkenal, Magen atau lebih dikenali sebagai Vikadakavi, pementasan dimulakan dengan persembahan oleh Drummer Sivam dengan drum solonya.


ANTARA penggerak Tamil Rock Gig, (dari kiri) Magen, Danny dan Brahma daripada kumpulan Kashmir Stone iaitu perintis genre rock Tamil.


Ia diikuti persembahan Dhesam 7 yang menawan penonton dengan persembahan signatur mereka bertema Billa 2 dan lagu RagasiyaKadhal serta IthuthanKadhal. Kesemua lima kumpulan itu masing-masing membuat persembahan selama 30 minit. Mereka mempersembahkan sebuah lagu era 80-an dan diikuti lagu-lagu sendiri.

“Ini adalah kali pertama kesemua lima band rock Tamil membuat persembahan di atas satu pentas. Pendedahan ini sendiri satu kejayaan dan kami berbangga serta berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pentas ini akan terus dijadikan acara tahunan,” kata Danny merujuk kepada kejayaan persembahan Tamil Rock Gig yang mengumpul 500 orang penonton.

“Kami juga percaya, kejayaan ini akan terus menyumbang kepada pementasan persembahan rock Tamil pada masa akan datang. Walaupun dikenakan bayaran RM30 seorang, persembahan berdurasi selama tiga jam ini turut disertai penonton selain India, seperti Melayu dan Cina,” ujar Pushparaaja lagi.

Turut memeriahkan majlis ialah selebriti-selebriti popular India tempatan, Mista G, Rabbit Mac, Sheezay, Stylomannavan dan perintis Rock Tamil, Brahma dari Kashmir Stone.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0