NEGARA

Peserta Soulstar 2012 teruja berduet

Peserta Soulstar 2012 teruja berduet

ZULHAMIZAM


KUCHING – Para peserta akhir Soulstar 2012 teruja untuk membuat persembahan secara berduet pada konsert mingguan ketiga program realiti itu yang akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak di sini hari ini.

Rata-rata 22 peserta yang ditemui menganggap persembahan secara berduet itu sebagai mencabar kerana perlu mengimbangi kehebatan pasangan masing-masing.

Bagi Zulhamizam Samat, 19, persembahan yang bertemakan ‘Kau dan Aku’ seharusnya diberikan perhatian kerana ia akan memberi peluang kepada dirinya dan pasangan duet meningkatkan kualiti.

“Jika sebelum ini, saya hanya menyertai pertandingan nyanyian secara solo tetapi esok (hari ini) saya dan pasangan berpeluang membuat persembahan bersama untuk menjadi penghibur yang baik.

“Bagi saya, soal undi tinggi atau rendah bukan menjadi ukuran namun sekurang-kurangnya persembahan secara berduet ini menjadi satu landasan untuk menunjukkan kebolehan kepada peminat kami,” katanya di sini semalam.

Pada konsert tersebut, Zulhamizam berpasangan dengan Saiful Nepis dan lagu pilihan mereka ialah Next To You.

Seorang lagi peserta, Celine Bong, 17, memberitahu, apa yang pasti pasangan yang kreatif dengan penampilan persembahan mantap mempunyai peluang untuk menarik perhatian juri profesional dan penonton.

Katanya, sememangnya pada persembahan secara duet, setiap pasangan bukan sahaja dikehendaki mempamerkan kolaborasi keharmonian vokal antara peserta malah perlu kreatif dalam membuat susunan muzik bagi lagu yang dipilih.

“Apa yang dimahukan pada persembahan itu nanti tentunya kelainan dari segi kreativiti mencorakkan sesebuah lagu yang dipilih mengikut keupayaan pasangan masing-masing,” katanya yang akan berduet bersama Mohd. Baihaqi Abdul Razak dengan lagu Mengegar Dunia.

Program Soulstar 2012 adalah anjuran Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala akhbar Kosmo! menjadi rakan media.

Untuk urusan pembelian tiket, sila hubungi talian 082-846 108.

Process time in ms: 32