SUKAN

Hoki: Malaysia tercorot

Hoki: Malaysia tercorot


AKSI antara Malaysia (jersi kuning) dengan New Zealand semalam yang berkesudahan Malaysia tewas 1-2.


MALAYSIA menamatkan kempen pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2012 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam dengan berada di tangga tercorot.

Jaringan emas melalui gol padang oleh pemain New Zealand, Kane Russel pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, meleburkan impian skuad negara untuk sekurang-kurangnya menduduki tempat kelima daripada enam pasukan yang bertanding.

Pada aksi pusingan awal menentang New Zealand sebelum ini, skuad Projek 2013 negara itu turut dibelasah 5-2.

Kejohanan pada edisi kedua ini juga menyaksikan prestasi hambar skuad remaja negara itu apabila kalah dalam empat perlawanan dan mencatatkan keputusan seri 3-3 ketika menentang India kelmarin.

Malaysia hanya menang sekali pada aksi pertama perlawanan menentang Jerman dengan menundukkan lawan mereka itu 3-2.

Dengan rekod buruk itu, harapan skuad bimbingan jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk mengulangi kejayaan pada tahun lalu berkecai sama sekali.

Pada edisi pertama tahun lalu, Malaysia muncul juara selepas berjaya mengejutkan Australia 3-2 pada perlawanan akhir.

Kejohanan Piala Sultan Johor ini diadakan buat pertama kali tahun lalu dengan menyaksikan enam pasukan bersaing di Johor Bahru.

Muhammad Dharma yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap kekalahan yang memalukan itu berkata, anak-anak buahnya telah bermain dengan cemerlang, namun nasib sekali lagi tidak menyebelahi mereka.

Sementara itu, Jerman muncul juara selepas menewaskan India 3-2 pada perlawanan akhir.

Jerman mendahului jaringan menerusi Jonas Gomoll pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti sebelum India menyamakan kedudukan menerusi Satbir Singh minit ke-24.

Jerman kembali mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua menerusi jaringan Joshua Delarber dan Florian Adrians sebelum Akashdeep Singh merapatkan jurang pada minit ke-31, namun gol India itu sudah terlambat untuk menyekat kemaraan Jerman.

Process time in ms: 63