SUKAN

Noor Amira perit sambar emas

Noor Amira perit sambar emas


NOOR AMIRA (tengah), diapit Merrey (kiri) dan Lily Hartini menunjukkan pingat masing-masing di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil semalam.


KECEDERAAN kaki bukan penghalang buat pemegang rekod kebangsaan, Noor Amira Mohamad Nafiah meraih pingat emas dalam acara lompat kijang wanita pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu melakukan lompatan sejauh 12.58 meter untuk mengatasi pencabar terdekatnya, Merrey Gabali dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang melakukan catatan 11.30m.

Lily Hartini Ahmad Zamri daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih pingat gangsa dengan catatan 11.19m.

"Saya kurang berpuas hati dengan pencapaian ini, memang nak buat yang terbaik tetapi saya kena berjaga-jaga kerana tumit kaki saya masih dalam proses rawatan. Demi UPM, saya sanggup ketepikan rasa sakit.

"SUKIPT ini adalah pemanas badan buat saya sebelum ke temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos bulan depan. Saya mahu buat rekod di Laos untuk layak mewakili negara pada temasya Sukan SEA, Myanmar tahun depan," kata Noor Amira.

Noor Amira cedera tumit kaki ketika mencipta rekod kebangsaan iaitu 13.90m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia bulan lalu.

Sementara itu, seorang lagi atlet kebangsaan, K. Ganthimathi turut cemerlang meraih pingat emas buat UPM dalam acara 1,500m wanita dengan catatan masa 4 minit 53.74 saat (s).

Dia mengalahkan Nur Hazimah Idris daripada Kolej Komuniti Pulau Pinang (KKPP) yang mencatatkan masa 5:22.80s manakala C. Shamala Jeanne (UPM) meraih pingat gangsa dengan catatan masa 5:40.90s.

Bagi kategori 1,500m lelaki, atlet pelapis kebangsaan, Nik Hafiz Nik Mohamad dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) meraih pingat emas dengan catatan masa 4:07.65s.

Tempat kedua disandang oleh Omar Ahmed Abdi Essa yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan catatan 4:10.18s. Muhammad Auf Afibukhari daripada Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) meraih gangsa dengan masa 4:11.12s.

Di padang ragbi UPM, Serdang, UPM muncul juara acara itu apabila mengalahkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 26-12 pada aksi final.

Pada perlawanan penentuan pingat gangsa, UiTM menumpaskan Universiti Malaya 17-12.

Di gelanggang karate, UPM muncul juara keseluruhan apabila merangkul sembilan pingat emas, diikuti oleh UTM dua emas, tiga perak dan dua pingat gangsa di Dewan Gemilang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Acara bola tampar pantai lelaki menyaksikan UKM meraih pingat emas menundukkan UiTM 21-17, 21-18 manakala pingat gangsa diraih oleh UTM apabila mengalahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 21-11, 21-18.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 32