SUKAN

Spekulasi Guardiola bakal urus kelab England makin panas

Spekulasi Guardiola bakal urus kelab England makin panas

MADRID - Bekas jurulatih Barcelona, Pep Guardiola dilaporkan bersedia kembali mengendalikan mana-mana kelab England selewat-lewatnya Februari depan.

Difahamkan, Guardiola menyuarakan hasrat tersebut bersama rakan-rakan rapat beliau baru-baru ini.

Seandainya ia menjadi kenyataan, beberapa pengurus kelab England pastinya 'tidak senang duduk' dengan hasrat terkini Guardiola itu.

Sebelum ini, Guardiola membuat keputusan berehat seketika daripada mengendalikan mana-mana pasukan apabila gagal membantu Barcelona mempertahankan trofi Liga Sepanyol musim lalu di tangan Real Madrid.

Jika Guardiola menarik semula keputusannya sebelum ini, dia dijangka menjadi calon utama menggantikan Roberto Mancini selaku pengurus Manchester City.

Pengendali Chelsea, Roberto Di Matteo juga tidak terkecuali gara-gara pemilik kelab, Roman Abramovich dilaporkan telah lama memburu khidmat Guardiola.

Masa depan Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal juga menimbulkan tanda tanya jika kelab itu mahu mendapatkan khidmat Guardiola musim depan.

"Guardiola pasti kembali sebagai jurulatih musim depan dan dia mahu masa depannya diputuskan selewat-lewatnya sebelum Februari depan," kata sumber terdekat dengan Guardiola semalam.

Sumber itu memberitahu, Guardiola pastinya mahu menjadi sebahagian daripada perancangan mana-mana kelab yang bakal mendapatkan khidmatnya selepas ini. - Agensi

Process time in ms: 0