TERKINI

Vokal terbaik PALMA 2012: Peserta mauritius juara

Vokal terbaik PALMA 2012: Peserta mauritius juara

04/11/2012 2:43am

KUALA LUMPUR – Peserta Mauritius, Olivier Ng Tat Chung, 21, muncul juara Kategori Lelaki dan Vokal Terbaik Pertandingan Akhir Lagu Melayu Antarabangsa 2012 (PALMA) di sini malam tadi.

Beliau berjaya menarik perhatian juri melalui dendangan ”Lagu Untukmu” nyanyian Meet Uncle Hussein dan membawa pulang hadiah wang tunai RM11,000 berserta piala pusingan dan sijil penyertaan.

Peserta Botswana, Tebogo Amogelang Mokone, 26, yang mempertaruhkan lagu nyanyian Jaclyn Victor ”Gemilang” meraih gelaran juara bagi Kategori Wanita untuk memenangi RM10,000, piala pusingan dan sijil penyertaan.

Hadiah Anugerah Khas Juri dimenangi peserta Sudan, Noreldin Mohamed Taha Mansor, 21, yang mempersembahkan lagu ”Lelaki Seperti Aku” dan membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala Persembahan Terbaik dirangkul oleh Chika Kingsley, 23, dari Nigeria, yang mendendangkan lagu ”Sedetik Lebih” nyanyian Anuar Zain untuk membawa pulang RM1,000.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bersama isteri, Datin Seri Masnah Rais, menyampaikan hadiah kepada pemenang.

PALMA 2012, yang membariskan 10 peserta termasuk dari Colombia, Nigeria, Iraq, United Kingdom, China dan Korea, merupakan anjuran kedua Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sejak diadakan tahun lepas dalam usaha memartabat bahasa kebangsaan serta memperkembangkannya ke peringkat antarabangsa. – BERNAMA

Process time in ms: 16