NEGARA

Korban terjunam dari jambatan

Korban terjunam dari jambatan


ORANG ramai melihat kereta yang terjunam ke dalam laut di Kilometer 7.9 menghala George Town di Jambatan Pulau Pinang sebaik kereta itu diangkat menggunakan kren semalam.


GEORGE TOWN – Seorang lelaki terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar penghadang Jambatan Pulau Pinang sebelum melambung dan menjunam ke dalam laut pagi semalam.

Dalam tragedi ngeri pada pukul 3.30 pagi di Kilometer 7.9, mangsa yang terbunuh ialah Tan Kean Loon, 24. Semasa kemalangan, mangsa memandu seorang diri dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke Pulau Pinang.

Difahamkan, kereta Proton Persona yang dipandu Kean Loon hilang kawalan lalu melanggar tembok penghadang jambatan sebelum melambung kemudian terjunam ke laut.

Kean Loon, anak bongsu daripada tiga beradik dan masih bujang itu dipercayai mati lemas selepas kereta miliknya tenggelam ke dasar laut.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah kilang perabot di Sungai Bakap tinggal bersama neneknya di Air Itam selepas kedua-dua ibu bapanya berpisah beberapa tahun lalu.

Kejadian hanya disedari pasukan peronda Jambatan Pulau Pinang selepas mereka curiga menjumpai sebiji tayar kereta dengan serpihan bampar depan kereta di tepi jambatan.

Sebatang tiang lampu di kawasan tersebut tumbang ke dalam laut.

Pasukan peronda yang mengesyaki ada kenderaan terjunam ke laut menghubungi polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan penyelamat yang disertai polis marin dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira tujuh jam sebelum berjaya mengesan lokasi kereta Persona itu terbenam.

“Pasukan penyelamat dapat mengesan kereta itu pada pukul 9.35 pagi iaitu kira-kira 12 meter di dasar laut di Pulau Pinang.

“Kereta tersebut diangkat menggunakan kren pada pukul 12.30 tengah hari dan di dalam kereta itu polis menemui mayat Kean Loon tersepit di tempat duduk pemandu,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Abdul Rahim memberitahu, polis masih menyiasat punca kemalangan tetapi tidak menolak kemungkinan tragedi itu berlaku selepas kereta itu dipandu laju.

Kemalangan tersebut menyebabkan jambatan yang menghubungkan Seberang Perai dan Pulau Pinang mengalami kesesakan teruk hampir lima jam.

Ini merupakan kemalangan maut kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu di jambatan itu selepas kejadian pada Ahad lalu yang mengorbankan tiga mangsa.

Bagaimanapun, dalam kemalangan sebelum ini, kereta Proton Perdana yang dinaiki mangsa-mangsa tidak terjunam ke laut.

Sementara itu, teman wanita mangsa, Chee Jia Ying, 19, ketika ditemui di HPP berkata, dia ada berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan mangsa beberapa jam sebelum kemalangan tersebut.

Katanya, mangsa memberitahu sudah sampai di rumah neneknya di Air Itam dan mahu tidur kerana keletihan.

“Kean Loon tidak pula beritahu ingin keluar malah tiada apa-apa perubahan pada mangsa,” kata Jia Ying.

Jia Ying memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang keluarganya bahawa Kean Loon terlibat dalam kemalangan.

Jia Ying dan Kean Loon sudah berkenalan sejak lima tahun lalu.

Bapa saudara Kean Loon yang mahu dikenali sebagi Oon pula berkata, mangsa yang merupakan ejen insurans secara sambilan merupakan seorang yang baik hati.

“Baru dua hari lalu saya membeli polisi insurans dengan Kean Loon. Sepatutnya bulan depan dia ke Genting Highlands untuk menonton persembahan orkestra China di pusat peranginan itu,” ujarnya.

Process time in ms: 32