NEGARA

Porsche di pusat pameran disamun

Porsche di pusat pameran disamun


PUSAT pameran Porsche di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang diceroboh penjenayah hingga menyebabkan sebuah kereta mewah hilang semalam. Gambar kecil, Mohd. Azri yang dicari polis.


KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang memasuki sebuah pusat pameran kereta di Jalan Bukit Bintang di sini dengan mudah berjaya melarikan kereta mewah Porsche Panamera 4 bernilai hampir RM1 juta dari premis itu semalam.

Imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pameran Porsche itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian kemeja putih lengan panjang dan bertopi dengan selamba memasuki premis berkenaan sebaik pusat pameran kereta itu dibuka pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, suspek itu kemudian naik ke tingkat atas pusat pameran kereta tersebut sebelum menggeledah sebuah meja dan mengambil satu sampul surat berisi kunci sebuah kereta Porsche.

“Lelaki itu kemudian dilihat keluar dari pusat pameran tersebut sambil menekan alat penggera kereta bagi mengetahui di mana kedudukan kereta yang ingin dilarikan.

“Selepas mengetahui lokasi kereta terbabit diparkir, lelaki itu terus memandu keluar sebuah Porsche Panamera warna emas bernilai RM900,000 yang diletak di luar pusat pameran itu,” kata beliau pada sidang akhbar itu di sini.

Menurut Zainuddin, enam buah lagi kereta Porsche pelbagai model lain yang berada di luar pusat pameran tersebut tidak diusik.

Difahamkan semasa kejadian di dalam pusat pameran itu terdapat beberapa buah kereta Porsche lain yang diletakkan di situ.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 47