VARIA

Mudarat air ketum sama seperti dadah

Mudarat air ketum sama seperti dadah

PIHAK polis giat melancarkan operasi bagi membendung pengambilan air ketum yang berleluasa terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. - Gambar hiasan


PENAGIHAN dadah dalam kalangan anak muda kita semakin membimbangkan. Munculnya pelbagai jenis dadah moden seperti ice, pil kuda, dan ekstasi bukan sahaja menjadikan cara manusia menghisap dadah berubah, malah menjadikannya merebak dengan begitu cepat.

Kini, di beberapa negeri di utara tanah air, muncul pula kegilaan baharu masyarakat terhadap air ketum. Ia merupakan daun yang diambil dari sejenis tumbuhan yang tumbuh secara melata di beberapa negeri utara tanah air.

Daun ini kemudiannya direbus dan airnya diminum dengan anggapan bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit dan memulihkan tenaga.

Bagaimanapun, yang jarang disedari ialah simptom ketagihan bahan ini. Adalah mustahil ia mampu mengubat penyakit atau memberikan kekuatan jika penggunanya tidak boleh meninggalkannya sama sekali dan perlu bergantung pula pada air ketum setiap hari.

Dalam keadaan seperti ini, air ketum tidak lagi mampu menjadi ubat, sebaliknya sedang menjadi racun yang sedang merosak diri dan masyarakat.

Kesan ketagihan

Benar, kesan ketagihannya mungkin tidaklah sebesar penggunaan dadah hingga menyebabkan ada yang mencuri atau melakukan jenayah lain. Bagaimanapun, ada kesan sosial lain yang lebih buruk daripada penggunaan dadah.

Tidak seperti penggunaan dadah, peminum air ketum ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ia bukan hanya melibatkan anak muda, malah orang dewasa.

Kalau penggunaan dadah biasanya melibatkan mereka yang dianggap sebagai 'rosak akhlak', bagaimanapun peminum air ketum ialah ahli masyarakat yang normal.

Mereka terlibat dengan aktiviti harian lain seperti bekerja, pergi ke masjid dan terlibat dengan kegiatan kemasyarakatan seperti biasa. Dalam erti kata yang lain, mereka ialah manusia budiman.


SESETENGAH pihak sengaja mencampurkan air ketum dengan bahan terlarang lain untuk menambahkan kesannya. - Gambar hiasan


Aktiviti meminum air ketum juga lebih terbuka. Ia diminum di rumah ketika duduk bersantai dan dianggap hal biasa yang tidak merosakkan masyarakat. Malah, dalam banyak keadaan, peminumnya memberi tanggapan positif kononnya ia boleh menghilangkan pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi.

Hakikat yang jarang diselidiki ialah sejauh manakah air ketum ini memberikan kebaikan dibandingkan dengan keburukannya?

Mereka yang telah beberapa kali meminum air ketum biasanya berpotensi untuk terus menjadi penggunanya. Pengguna yang cuba meninggalkannya pula akan berasa mengantuk, tidak senang duduk, malah ada yang mengadu mengalami cirit birit.

Simptom ini sebenarnya sama seperti yang dialami oleh penagih heroin dan ubat batuk, malah penggunaan air ketum yang terlampau menyebabkan kulit muka menjadi seperti terbakar dan kehitaman. Semua ini merupakan kesan buruk yang biasanya tidak disedari oleh penggunanya.

Hakikat lain yang jarang difikirkan ialah penagihan air ketum ini telah menyebabkan kesan sosial yang jauh lebih buruk malah, lebih buruk daripada penggunaan dadah yang lain.

Begitupun, oleh kerana penggunanya ialah orang dewasa dan ada yang 'warak', maka mereka boleh memberikan pelbagai fatwa untuk menghalalkan penggunaannya.

Ini menjadikan ia mampu berkembang dan merebak dengan cepat ke dalam masyarakat. Bayangkan, kini penggunanya melibatkan pelajar sekolah menengah pula.


ANAK-ANAK muda dikhuatiri terbiasa dengan tabiat ketagihan dan sudah tidak mempunyai rasa takut pada orang dewasa. - Gambar hiasan


Persepsi berubah

Ia tidak dianggap sebagai hal terlarang kerana golongan dewasa sendiri telah menganggapnya secara positif. Sekiranya ada anak-anak remaja yang menggunakannya, adakah golongan dewasa mampu memberikan teguran kalau mereka sendiri penggunanya?

Sebenarnya inilah antara isu besar yang sedang melanda kita. Orang dewasa yang menggunakan air ketum ini akan kehilangan 'pengaruh' psikologikal untuk menegur dan membimbing anak-anak remaja sekiranya ada yang terjebak dengan ketagihan air ketum.

Harus diingat, penagihan dadah biasanya berkembang daripada satu tahap ke tahap yang lain. Bayangkan, sekiranya anak-anak ini kemudiannya mula menjinakkan diri dengan dadah. Apakah yang boleh dilakukan oleh orang dewasa untuk menegur mereka?

Bagaimana nanti sekiranya anak-anak ini mula bertanya apakah bezanya mereka, 'ayah menagih air ketum, dan kami pula menagih ganja!'.

Inilah sebenarnya kesan buruk yang mungkin tidak disedari oleh pengguna air ketum. Walau sebesar mana mitos positif mengenai air ketum, ia sebenarnya lebih banyak mengundang kerosakan kepada masyarakat berbanding kebaikannya.

Ia sedang menyumbang kepada beberapa kerosakan lain yang tidak disedari. Mitos kehebatan air ketum hanyalah dongeng seperti yang juga muncul dalam penggunaan dadah yang lain. Berhentilah, kalaupun bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak kita yang kian membesar.

Process time in ms: 47