URBAN

Patung Monster High berjiwa baik

Patung Monster High berjiwa baik


WATAK patung Monster High semakin mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak.


JIKA dahulu kebiasaannya patung mainan kanak-kanak lebih berbentuk comel, cantik dan montel, tetapi peredaran waktu tidak lagi mengekalkan unsur demikian.

Biarpun alat permainan kanak-kanak, khususnya si cilik perempuan obses dengan patung cantik dan lembut, namun imej dan persembahan patung sudah melalui revolusi.

Terkenal sebagai antara pilihan patung permainan utama di banyak negara, figura patung Monster High oleh Mattel Asia Tenggara Sdn. Bhd. kini menemui kanak-kanak di Malaysia dengan membawa perwatakan serba baharu dan misteri.

Pengenalan itu seiring dengan trend pemilihan patung mainan di beberapa negara Barat yang pesat menghadapi perubahan. Jika patung Barbie misalnya pernah mendominasi minat kanak-kanak dengan gaya persembahan, fesyen pemakaian, ukiran wajah ayu, namun cita rasa tersebut sama sekali berubah.

Baru-baru ini, satu laporan Walmart di Amerika Syarikat menamakan patung Monster High, sebagai antara pilihan alat permainan kanak-kanak tertinggi apabila berada dalam senarai 20. Alat permainan popular itu di rangkaian stor tersebut mengatasi koleksi Barbie Sisters Cruise Ship dan Holiday Barbie 2012 Doll.

"Figura patung berimej raksasa, hantu atau serigala yang dipersembah oleh Monster High tidak sama sekali membawa konsep jahat. Cuma, niat Mattel adalah untuk membimbing kanak-kanak perempuan iaitu pasaran sasaran kami untuk tampil berkeyakinan dengan siapa sahaja diri mereka," demikian kata Pengurus Jenama Monster High, Kelly Yip.

Mengimbas jalan cerita watak baharu itu, Monster High sebenarnya berpusat kepada kisah tentang sekumpulan remaja yang menyertai sekolah tinggi tetapi mereka tentu sekali bukan pelajar biasa.

"Kami membawa watak-watak ini secara lebih dramatis dalam jalan cerita yang menarik. Setiap patung ini mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri yang menjadikan mereka unik. Bukan itu sahaja, mereka turut ditemani haiwan peliharaan yang menambah nilai kepada watak makhluk tersebut," kongsi Kelly.

Fesyen dan trendy

Sungguhpun begitu, patung itu dipersembah dengan penuh nilai fesyen dan trendy di samping sifat-sifat tersendiri yang khusus memperlihatkan kelainan masing-masing secara jelas.

Ia sama seperti kehidupan seorang kanak-kanak pra remaja atau remaja yang mempunyai kelainan, tetapi dahagakan nilai fesyen yang tinggi di samping rakan-rakan yang lain. Mengambil kira sasaran remaja itu, Monster High percaya patung-patung yang diperkenal itu boleh melekat lebih dekat di hati kanak-kanak di sebalik perwatakan makhluk pelik dan hantu.

Sejak mula dilancarkan pada tahun 2010, jenama Monster High menjadi antara jenama terkenal dalam kalangan patung 12 inci di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan beberapa negara Eropah.

Berikutan kejayaan tersebut di lebih 30 negara, Mattel percaya pengenalan jenama itu di Malaysia akan memberikan trend penerimaan yang serupa atau lebih baik.


MONSTER High turut dipaparkan dalam bentuk kartun dalam laman webnya.


"Kami sedang mempromosi Monster High menerusi laman web www.monsterhigh.com, dengan memaparkan pelbagai siri kartun episod mini, pengenalan kepada watak dan bimbingan kepada setiap gaya serta fesyen patung-patung itu," kata Kelly lagi.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Monster High melalui figura patung itu adalah bukan semua imej yang buruk sebenarnya jahat.

Malah, figura-figura pantulan drakula, frankenstein, warewolf dan mummy itu dizahirkan semula dengan watak positif sebagai karakter anak-anak iaitu Frankie Stein, Draculaura, Clawdeen Wolf, Ghoulia Yelps, Laguna Blue dan sebagainya.

"Kami mahu membuktikan, tidak kira siapa kita, bagaimana perwatakan atau persembahan diri, yang penting adalah keyakinan dan bangga dengan diri sendiri," ujar Kelly lagi.

Pelancaran koleksi patung itu diadakan di sebuah bilik gelap di Pusat Persembahan Seni Kuala Lumpur (KLPac).

Malah, lebih menggerunkan apabila model-model lengkap dengan solekan makhluk dan raksasa turut tampil di dalam bilik mengikut karakter Monster High.

Process time in ms: 16