NEGARA

Usaha perkasakan pewaris Felda

Usaha perkasakan pewaris Felda


NAJIB bergambar bersama pelajar-pelajar generasi baharu Felda di Seri Perdana, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Kerajaan sentiasa berusaha membangunkan generasi baharu Felda serta memperkasakan generasi itu dengan peluang menimba ilmu yang sebaik mungkin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, selain itu mereka turut diberi peluang menimba pengalaman-pengalaman baharu dan pengetahuan terkini sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Saya berbangga bahawa apa yang diimpikan sejak 2005 di bawah strategi baharu abad ke-21 dan 50 tahun akan datang, kita telah menggariskan salah satu terasnya... mesti berusaha membangunkan pewaris-pewaris kita iaitu generasi baharu Felda.

"Kalau generasi pertama meneroka tanah, generasi kedua dan ketiga menjadi peneroka minda dalam abad ke-21," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar generasi baharu Felda di Seri Perdana di sini semalam.

Majlis anjuran Universiti Limkokwing itu adalah bagi meraikan 100 pelajar Felda yang dipilih mengikuti Program Jelajah Pembelajaran Generasi Baharu ke London bermula 24 September ini hingga 18 Januari.

Perdana Menteri berkata, kejayaan Felda selama ini adalah kerana berbudi kepada tanah menerusi titik peluh dan susah payah para peneroka.

"Transformasi pertama ialah (peneroka) daripada tidak memiliki tanah kepada mereka yang memiliki tanah dengan pendapatan boleh dikatakan jauh lebih baik dan lebih terjamin," katanya.

Justeru, Najib berkata, punca-punca kejayaan secara tradisional sebelum ini perlu digantikan dengan asas kekayaan baharu pada abad ke-21 menerusi ilmu, teknologi dan inovasi.

"Sebab itu itulah kita buat program sebagai persediaan meniti arus globalisasi agar tidak ketinggalan dalam persaingan dunia.

"Berbeza dengan ada puak-puak di luar yang cuma pandai mengkritik dan lebih dahsyat menabur fitnah, tetapi mereka tidak ada jasa kepada masyarakat Felda. Tolak ke tepi puak-puak itu kerana masa depan kita ialah mencari ilmu dan membina generasi baharu," katanya. - Bernama

Process time in ms: 0