SUKAN

'Lupakan Ronaldo'

'Lupakan Ronaldo'


MOURINHO (kiri) yakin Ronaldo tidak akan
meninggalkan Stadium Santiago Bernabeu.


MADRID - Pengurus Real Madrid, José Mourinho memberi amaran keras kepada Manchester City supaya melupakan hasrat bagi mendapatkan Cristiano Ronaldo.

Mourinho berkata, penyerang Portugal yang telah meledakkan 150 gol sepanjang 149 perlawanan bersama Real itu tidak akan meninggalkan Stadium Santiago Bernabeu.

Bekas pengurus Chelsea itu tampil memberikan amaran selepas ditanya mengenai percubaan City untuk membawa Ronaldo ke Stadium Etihad menjelang pertemuan Liga Juara-Juara antara Real dan City awal pagi Rabu ini.

"Saya mahu mengingatkan mana-mana kelab agar melupakan Ronaldo.

"Jangan membuang masa kerana Ronaldo dan Real sangat serasi apabila bersama," kata Mourinho.

Sementara itu, Mourinho enggan mengulas lanjut situasi Ronaldo selepas dia menjaringkan dua gol ketika menewaskan Granada 3-0 pada aksi Liga Sepanyol baru- baru ini.

Mourinho berkata, beliau tidak menghiraukan 'kesedihan' yang dialami Ronaldo sekiranya bintang Portugal itu mengekalkan aksi cemerlang bersama Real.

Ketika ini, Real mengalami tekanan selepas hanya mampu mengutip empat mata daripada tiga perlawanan pertama Liga Sepanyol musim ini.

Situasi itu menyebabkan mereka ketinggalan lima mata di belakang musuh tradisi, Barcelona.

Mourinho berkata, Ronaldo turut meletakkan dirinya dalam situasi tertekan.

"Sekiranya dia bermain dengan teruk dan keletihan, saya akan mengeluarkannya pada minit ke-75, sama seperti pemain lain.

"Akhirnya, selepas 15 hari bercakap mengenai Ronaldo, ini adalah perlung terbaik untuk melihat situasi sebenar yang berlaku. Ronaldo perlu ketenangan, pantas dan bermain bola sepak dalam situasi terbaik," katanya.

- Agensi

Process time in ms: 0