NEGARA

Kontraktor bertanggung jawab

Kontraktor bertanggung jawab

Cukup menjengkelkan melihat sampai tidak dikutip di tempat letak kenderaan Kementerian Kewangan, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Rata-rata warga Putrajaya dan orang ramai yang berurusan di pusat pentabiran kerajaan Pusat di sini melahirkan rasa kurang puas hati dengan kualiti penyelenggaraan bandar baharu kebanggaan negara itu.

Perasaan tidak puas hati mereka itu turut dikongsi dengan wartawan Kosmo! yang melakukan tinjauan selama sejam di kawasan Putrajaya berkenaan semalam.

Tinjauan rambang itu mendapati banyak sampah tidak dikutip oleh kontraktor, rumput tidak dipotong, lantai pejalan kaki berlumut dan pokok tidak dipangkas oleh kontraktor yang dilantik.

Suasana menjengkelkan itu terdapat di tempat letak kenderaan bersebelahan Kementerian Kewangan di Presint 2, kawasan taman bunga di pintu masuk Kediaman Rasmi Perdana Menteri di Presint 10 serta kawasan berhampiran tapak bazar Ramadan.

Keadaan tidak menyenangkan itu mengesahkan teguran Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat bahawa kontraktor yang dilantik untuk menyelenggara, menjaga kebersihan serta kecantikan Putrajaya tidak menjalankan tugas dengan baik.

Seorang peniaga makanan di Putrajaya, Apendi Hussin, 46, yang turut menyokong kenyataan Aseh itu berkata, pertukaran kontraktor yang kerap berlaku mungkin menjadi punca masalah tersebut berlaku.

"Kalau sudah selalu sangat tukar kontraktor, memang kita tidak boleh harapkan sangat kontraktor baru akan lebih baik daripada yang lama," ujarnya.

Kelmarin Aseh dalam pertemuannya dengan para kontraktor penyelenggaraan di Putrajaya telah menegur mereka kerana tidak menjalankan kerja dengan baik meskipun Perbadanan Putrajaya membelanjakan sebanyak RM179 juta setahun untuk tujuan itu.

Seorang peniaga minuman, Irwan Ahmad, 30, turut mengakui keadaan landskap di Putrajaya memang kurang memuaskan.

"Putrajaya ini akan kelihatan lebih cantik jika keadaan pokok, rumput, pejalan kaki dan sebagainya dijaga dengan rapi, kalau rumput panjang sedikit, memang kena potong agar ia kelihatan kemas," ujarnya

Sementara itu, Amalina Ahmad, 28, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) berkata, keindahan Putrajaya perlu dikekalkan agar identitinya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tidak tercemar.

"Sebenarnya Putrajaya ini sebuah kawasan bandar baharu yang perlu dikekalkan keindahannya. Jadi kontraktor yang bertanggungjawab menyelenggara kawasan ini perlu menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Seorang kakitangan di Kementerian Kewangan, Indera Krishnasamy, 30, berkata, semua pihak termasuk penduduk harus bertanggungjawab terhadap keindahan Putrajaya.

"Bagi saya Putrajaya ini cukup indah berbanding Kuala Lumpur. Bukan sahaja kontraktor perlu bertanggungjawab, malah penduduknya juga perlu memainkan peranan," ujarnya.

Seorang kakitangan di Kementerian Pertanian, Norafizah Mamat, 30, berkata, dia juga kurang berpuas hati dengan kerja-kerja penyelenggaraan di Putrajaya.

"Kadang-kadang ada juga pemandangan di sesetengah tempat yang menyakitkan mata misalnya pejalan kaki berlumut, rumput tidak dipotong dan sampah tidak dikutip," katanya.

Process time in ms: 15